Friday, January 01, 2021

1/2021: 10 LAGU TERBAIK MENGISI TAHUN 2020

Permulaan tahun baharu yang produktif. Alhamdulillah, selesai temu bual dengan seorang pelajar UITM, Ain, yang perlu menyelesaikan kerja kursusnya mengenai kerja editorial dan penulisan. Beberapa persoalan mengenai keterlibatan saya dalam bidang editorial, cabaran dan tugas serta soalan-soalan tentang penulisan.

Kemudian, menyambung perbualan dengan rakan-rakan blog di dalam WhatsApp mengenai perancangan kembara kami tahun hadapan. Tahniah Kak Emila untuk peluang dan ruang (rezeki) pemulaan tahun yang membahagiakan. Semoga program berjalan lancar dan terus memberi semangat kepada yang lain. 

Kemudian, Norsa'adah berkongsi sebuah blog untuk idea penulisan konsisten. Prompt. Saya membaca blog ini, dan menarik ya 'prompt' yang disediakan untuk kita menulis blog khususnya sepanjang bulan Januari ini. 


Jadi, untuk memenuhi keazaman 'rajin menulis' tahun ini, saya menyahut cabaran untuk diri sendiri, menulis berdasarkan prompt ini. 

Ten songs that made your 2020 and why
alternatively, you can write about an album that made your 2020 if it’s easier.

2020, banyak memerap di rumah akibat PKP, maka boleh dikatakan saya banyak menghabiskan masa dengan melayan Youtube dan drama Korea. Jadi, saya akan kongsikan 10 buah lagu yang memenuhi tahun 2020 ini.

1. Sakit - Zynakal & Yonnyboii



Lagu yang diluncurkan akhir tahun 2019 ini baru saya hayati tahun 2020 ketika awal-awal PKP. Sebuah lagu tentang individu yang mengalami depresi. Dan muziknya yang sedap menjadi terapi kala diri dilanda kemurungan akibat terkurung. Lagu ini katanya sebagai penjelasan terhadap peristiwa 'hitam' yang melanda Zynakal yang menjadi isu tahun sebelumnya. Boleh baca di SINI.

2. Kelabu - Yonnyboii ft Azlan 


Selepas keasyikan dengan lagu Sakit oleh Yonnyboii tadi, saya terjumpa pula lagu ini. Pun bercerita tentang depresi. Sungguh, saya jadi peminat penyanyi ini Yonnyboii yang menyanyi penuh penghayatan dengan suaranya yang tersendiri. Ditambah pula suara Azlan yang bernada tinggi. Menariknya saya terperasan dalam video lagu ini terdapat buku terbitan kawan saya, Masih Ada yang Sayang (terbitan Dua Penulis) iaitu himpunan kisah tentang pesakit mental. Maka, saya segera memaklumkan dalam 'group' WhatsApp kami. Video ini menjadi lebih menarik dengan adanya promosi buku itu. 

3. Holo - Lee Hi


Juga mengenai depresi, Lee Hi yang mengalami jatuh bangun dalam kerjaya seninya sejak berusia 18 tahun, pada tahun ini telah bertukar syarikat rakaman (AOMG) dan melahirkan lagu terbaharunya, Holo (Alone). Lagu ini katanya mengenai semangat yang merudum dalam diri seseorang yang perlu dipulihkan. Boleh baca tentang Lee Hi di SINI.

4. Cute (Stop Lah Being So Cute) - Harith Zazman, MFMF., LOCA B 



Pada awalnya tidak begitu menangkap dengan lagu ini kerana mungkin saya tidak begitu suka dengan lagu yang campur-campur bahasa Melayu + bahasa Inggeris. Namun saya suka suara Loca B yng halus lembut merdu. Saya cuba menonton muzik videonya. Memang cute. Apatah lagi dengan watak-watak sampingan (geng Sterk dan MFMF). Haritz Zazman bukanlah penyanyi yang pro. Beliau merupakan salah seorang ahli Sterk Production yang banyak buat video kelakar. Menariknya lagu ini bermula dengan 'suka-suka' apabila Haritz Zazman dalam tempoh PKP terasa bosan dan merindui 'crush'-nya. Dia mencipta lagu pendek dan memuatkan ke dalam tik tok (kalau tak silap). MFMF merasakan lagu itu sangat catchy lalu mempelawa Haritz untuk merakamkannya dalam versi panjang dengan kolaborasi Loca B. Lagu ini mendapat reaksi positif dari pelbagai negara kerana muziknya yang catchy.

5. The Ordinary Man - Lee Seung Gi


Ya, ya. Tahun 2020 saya dipenuhi dengan Lee Seung Gi. Selepas menonton hampir kesemua dramanya, baru saya tahu Lee Seung Gi merupakan penyanyi sejak awal kemunculannya sebagai artis pada usia 18 tahun. Bergelar 'Prince Ballad' Lee Seung Gi pernah popular pada awal-awal kemunculannya sehingga sedikit tenggelam pada tahun 2016. Pada tahun itu corak hiburan di Korea Selatan mula mengalami revolusi dengan kemunculan artis kpop seperti BTS, Blackpink dan lain-lain yang menenggelamkan sedikit genre balada. Lee Seung Gi kemudiannya berkhidmat dalam 'military' dan tahun 2020 beliau mengambil keputusan untuk menyanyi semula kerana itulah passion yang dia ada selain berlakon dan mengacara program realiti. Melihat usianya yang masih muda (33 tahun), cukup mengkagumkan dengan pencapaian dan penampilannya dalam pelbagai program TV, drama serta filem. Ini katanya album ke-7 yang bakal menguji semula kemampuan Seung Gi sebagai penyanyi balada. Oh, saya terus jadi fangirl Lee Seung Gi. :) Boleh baca di SINI.

6. Munajat - Daqmi


Suara Daqmi yang nyaring dan bergetar ini saya nikmati pertama kali ketika mendengar lagunya Tangis Sebatang Tamar yang menang dalam Anugerah Nasyid IKIM fm tahun 2014. Tidak ramai penyanyi nasyid/lagu keagamaan di Malaysia yang suaranya sedap begini. Lahir dengan album terbaharu, Daqmi membawakan lagu Munajat yang mengisi tahun 2020 yang penuh dengan ujian.

7. Spring Day - Song So He (Immortal Song)


Menyanyikan semula lagu Spring Day nyanyian BTS (tahun 2017) ini dalam Immortal Song 2 merupakan satu cabaran baharu buat penyanyi ini. Terkenal dengan genre atau stail 'pansori' iaitu seni nyanyian tradisional di Korea, Song So Hee membawakan lagu ini dengan sedap sekali. Menelusuri lagu ini, saya mendapat tahu BTS menyanyikannya dengan nada yang sama - kepiluan. Lagu ini katanya tentang tragedi Feri Sewol yang mengorbankan 300 pelajar di Korea Selatan dan mendapat kritikan hebat masyarakat kerana kecuaian pengendaliannya. Boleh baca di SINI.

8. 7 Nasihat - Dato' Siti Nurhaliza ft Kmy Kmo & Luca Sickta


Ah, siapa tidak kenal Dato' Siti Nurhaliza, kan. Muncul dengan genre irama tradisional + rap tentunya mengembalikan kerinduan kepada suara emas penyanyi kesayangan ramai ini. Sebuah lagu yang menarik dengan lirik memuatkan pantun nasihat kepada umum. Menariknya irama tradisional (joget) ini popular di Tik Tok dengan masing-masing mempamerkan bakat menari rentak tradisional. Oh, mujurlah saya sudah tua, jika tidak mahu juga join menari... :P

9. Sing [LOVE]+[I Give You My Heart] - IU & Lee Seung Gi


Seperti yang saya sebutkan, tahun 2020 ialah tahun saya dipenuhi Lee Seung Gi. :P maka, pilihan lagu ini termasuk dalam senarai. Semasa dalam perkhidmatan ketenteraan (military), IU menerima jemputan Lee Seung Gi untuk mengadakan persembahan dalam kem. Seung Gi berbesar hati apabila IU menerima pelawaan itu walaupun jadualnya sibuk. Kemudian Seung Gi membalas jasa IU dengan menghantar selori kopi (Coffee Truck) ke lokasi penggambaran drama IU. Dalam program live 'Naver Now', Seung Gi menghubungi IU melalui telefon untuk berbual. Mereka saling bertukar pandangan mengenai lagu dan saling memberi dorongan untuk melalui 2020 dengan tabah. Dalam perbualan itu juga, IU mengajak Seung Gi ke program live-nya, Pallete. Dalam Pallete, mereka menyanyikan lagu ini (bertukar lagu) dan saya merasakan mereka pasangan duet yang bagus. Semoga mereka berdua disatukan dalam sebuah drama/filem. 

10. Rose - Lee Hi


Selepas mendengar lagu Holo, saya terjumpa video 'live' ini. Lagu lama Lee Hi, Rose (2013) yang dinyanyikan secara akustik ini sangatlah sedap dan semakin matang. Lebih sedap daripada versi asalnya. Maka nikmati sahaja!

***
Sebenarnya banyak lagi lagu sedap yang mengisi tahun 2020 saya. Cukuplah ini yang dipaparkan. Semoga terhibur.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...