Tuesday, January 04, 2022

Memecahkan Dinding Rasa


(Oh, saya terpaksa besarkan saiz huruf ini kerana mata agak kabur. Spek mata saya hilang 😖)

Spek hilang ketika balik ke Tampin akhir Disember lalu. Entah mana ia tercicir atau saya salah letak. Maka kembali ke KL dengan mata yang kabur. Belum habis hal spek mata yang perlu dibuat baharu dan tentunya merenggut bajet dan kewangan yang sedia ketat, hati dipagut pula dengan peristiwa yang tak mungkin dapat saya lupakan.

Saya catatkan ia sebagai: basikal yang dikayuh dengan selesa dan nyaman, berantakan. Pedalnya patah, rantainya tercabut....

Demikian saya menggambarkan situasi dan perasaan yang melanda diri akhir Disember lalu. Dengan seorang dua rakan baik, saya adukan hal itu dan tentunya semua menyebelahi dan memujuk sehingga rasa lega. Namun mata ini, entah kenapa sejak memasuki usia 40-an, begitu lemah semangatnya - mudah pecah kolamnya. Maka, tentunya saya dilihat begitu rapuh dan lemah. 

Saya cuba, sehari selepasnya, dua hari selepasnya ... masih pedal yang patah itu tidak mampu saya ganti, apatah lagi baiki. Entah dinding ego atau dinding harga diri yang terjal telah mengepung rasionalisasi saya. Saya cuba menegakkan hujah atas apa yang berlaku. Ya, saya salah tapi cara dia juga salah. Dan ini sungguh menyesakkan dada. 

Semangat hilang seawal tahun begini memang tidak enak. Sungguh. Segala azam dan keinginan dibunuh prejudis. Segala gerak langkah yang dirangka, terus terhenti - dan mulalah hasutan jahat menerpa dengan rakus, memakan sebahagian kebaikan. Mula merasakan sekeliling dilingkungi mereka yang menekan dan memijak-mijak diri. 

Pagi ini bertambah lagi dugaannya. Kereta rosak, tersengguk-sengguk di jalanan sehingga saya terus mengambil keputusan untuk terus ke bengkel yang biasa dikunjungi. Dan hari ini juga dalam terpaksa menggunakan aplikasi Grab untuk kenderaan ke pejabat. Semasa menunggu Grab, telefon berbunyi. Nama seseorang yang biasa muncul. Dan apabila mendengar suara dia, automatik air mata berderai. Entah apa-apa. Seolah-olah anak kecil yang inginkan gula-gula dan kemudian si abang atau bapa datang menghulurkan sebakul gula-gula dengan mesra.

Perbualan berlanjutan - mengadu, merintih - sehingga kereta yang ditempah sampai. Seorang lelaki menyapa dengan anggukan ketika saya membuka pintu kereta dan mula duduk. Air mata saya kesat dan dengan suara basah saya sebutkan, "Maaf, awak pusing jauh ya?" kerana saya melihat keretanya lalu depan saya tapi saya tidak melambai. 

Dia memalingkan wajah, berkata "tidak apa", dan sebelum memulakan pemanduan, "Okey ya?" Dia menyapa santun. Melihat wajah saya sekilas sebelum matanya memeriksa pintu dan keselesaan saya duduk di kerusi belakang. 

Saya terdiam. Sungguh, suaranya dan tindakannya itu memujuk walaupun tadinya saya sudah hanyut dalam lautan tangis. Saya angguk, dan dia meneruskan perjalanan. Siaran radio diperlahankan dan dia memandu dengan penuh cermat.

Saya masuk ke pejabat lewat sejam, terus menunggulkan diri sehingga waktu tamat, (Sebenarnya bergulat mencari dana untuk bayaran kereta yang dibaiki tadi). Pukul 5.20, saya membuka aplikasi Grab dan menekan "book" sebelum mengemas itu ini. Tanpa diduga, kereta Grab begitu cepat sampai dan dalam kelam kabut saya terus turun ke bawah. 

Kelihatan kereta Alza berwarna merah sudah menanti. Dalam tergocoh saya buka pintu dengan agak kasar dan terus membenamkan diri dalam perut kereta. "Minta maaf, saya lewat..." dalam getar suara mengah. "Eh, tak apa. Jangan panik. Tadi turun ikut tangga dari tingkat 10 ke?" dia bergurau. Gurauan itu saya sambut dengan senang kerana terasa genuine dan spontan. 

Sepanjang perjalanan kami berborak seperti sudah lama berkenalan. Sehinggalah sampai ke bengkel dan kami melambai mesra seperti kawan sekampung. 

Apabila memikirkan segala apa yang berlaku hari ini dan segala yang merenggut rasa beberapa hari lepas, sungguh, puisi Kahlil sangat kena dan menampar diri. Saya pernah kongsi di blog ini dan tak pernah jemu mengulang baca kata-katanya;

.... selama ini kau dengar orang berkata bahawa hidup adalah kegelapan
dan dalam keletihanmu kau tirukan kata-kata mereka yang lelah
namun aku berkata bahwa hidup memang kegelapan
kecuali: jika ada dorongan
dan semua dorongan buta belaka
kecuali: jika ada pengetahuan
dan segala pengetahuan adalah hampa
kecuali: jika ada pekerjaan
dan segenap pekerjaan adalah sia-sia
kecuali: jika ada kecintaan
jikalau kau bekerja dengan rasa cinta,
engkau menyatukan dirimu dengan dirimu,
kau satukan dirimu dengan orang lain, dan sebaliknya,
serta kau dekatkan dirimu kepada Tuhan...
~sebahagian petikan puisi Kahlil Gibran tentang kerja.





 

2 comments:

  1. Zalila, semoga tabah menghadapi 2022. Lakukan perkara yang menggembirakan untuk melupakan kesedihan. Jika perlu menangis lagi, saya hulurkan bahu saya.

    ReplyDelete
  2. Saya pujuk hati, beritahu, don't worry, saya ada kawan-kawan yang baik. teruskan berjalan. Jika jatuh saya yakin kawan-kawan akan papah saya, akan pinjamkan bahu. Thanks Kak Emi, meranjau beberapa tahun ini bersama-sama...

    ReplyDelete

Memecahkan Dinding Rasa

(Oh, saya terpaksa besarkan saiz huruf ini kerana mata agak kabur. Spek mata saya hilang 😖) Spek hilang ketika balik ke Tampin akhir Disemb...