Tiga Saluran YouTube!
Bunyinya agak senang tapi, ya, sebagai seorang yang tergolong dalam Generasi Y yang lahir di antara zaman kemunculan awal Internet sehingga ke perkembangannya di Malaysia, saya bukanlah penggemar 'dunia maya' secara total. Maksud saya tidak terlalu menghabiskan masa dengan Internet. Namun, menikmatinya dengan baik.
Bercakap soal YouTube, terfikir tentang sejarah kewujudannya. Sempat Google dan membaca fakta asas ini.
Maklumat tambahan:
Tapak web ini membenarkan para pengguna untuk memuat naik, menonton, memberi penilaian, berkongsi, menambahkan ke kegemaran, melaporkan dan memberi komen kepada kandungan video dan ia menggunakan teknologi seperti WebM, H.264/MPEG-4 AVC dan Adobe Flash Video untuk memaparkan pelbagai jenis media video yang telah dihasilkan para pengguna. Kandungan yang tersedia di dalam YouTube ialah seperti klip video, klip rancangan televisyen, video muzik, filem pendek dan dokumentari, berita, rakaman audio, treler filem dan kandungan lain seperti blog video, video asli pendek dan video pendidikan.
Saya menikmati Youtube seadanya. Pernah juga cuba memuat naik video peribadi dalam YouTube tapi terhenti setakat itu sahaja kerana tidak suka berlama-lama membuat suntingan apatah lagi memang tiada kemahiran seperti itu.
Namun, saya suka melayari YouTube kerana selain hiburan (menikmati lagu dan muzik video secara rawak), banyak ilmu dan manfaat turut diperoleh. Kiranya, YouTube menjadi sumber maklumat kedua selepas Google. Malah, ada karya yang saya hasilkan ketika mendengar dan menonton muzik video sebuah lagu. Menjadi inspirasi.
Dalam kebanyakan saluran Youtube yang saya selalu layari, tiga saluran ini agak kerap saya tonton.
1. Fiersa Besari
Seperti yang pernah saya tulis di dalam entri sebelum ini, Fiersa Besari merupakan susuk Youtuber yang saya kagumi - karya-karyanya, serta keperibadiannya. Hari pertama diperkenalkan dengan Fiersa oleh seorang rakan Facebook, saya terus menghabiskan seluruh hari menonton video-video yang ada di 'playlist' Fiersa. Setakat ini terdapat 94 buah video merangkumi perjalanan muzik Fiersa, diskusi-diskusi buku dan muzik, jurnal (tentang pengalaman pendakian dan travelog sekitar Indonesia), video muzik, menjelang sepasang (video tentang percintaannya)....
Paling saya suka ulang tonton ialah jurnal beliau yang membawa penonton ke serata bumi Indonesia, menikmati keindahan laut dan gunung-gunungnya, sambil mempelajari banyak perkara tentang kehidupan melalui naratif Fiersa yang sedap dan tuntas.
Ah, ingin sekali menghasilkan video seperti itu, tapi ya, Fiersa pun tidak bermula dengan senang. Semuanya perlu dipelajari dan dihasilkan dengan kesabaran dan kos masa, tenaga serta wang.
2. Nara-Z
Apabila bercakap soal buku, hal yang boleh diperkatakan ialah 'review' buku. Saya sendiri pernah ditugaskan mengulas buku ITBM tetapi gagal kerana mood tidak sampai. :P
Menyelongkar YouTube mencari video ulasan buku yang menarik di Malaysia, membuatkan saya tidak berpuas hati sehinggalah bertemu dengan saluran Nara-Z (Youtuber Indonesia). Saluran ini saya tekuni tidaklah sekerap saluran Fiersa. Nara-Z menyajikan kepelbagaian namun saya hanya fokus kepada Buka Buku, iaitu ulasan atau perbincangan buku yang sangat menarik bagi saya. Setiap buku yang diulas memaparkan kesegaran dan rasa ingin mendekat kepada buku. Paparan yang segar begini tidak saya peroleh untuk ulasan-ulasan buku Malaysia. Sedih kan? Mungkin selepas ini, ada ulasan buku Malaysia oleh Youtuber Malaysia yang diketengahkan dalam bentuk mesra pendengar, santai, pendek tapi tuntas.
Kan buku itu mahu dijadikan budaya. Jadi, cara menggamit pembaca pun kenalah santai-santai tapi berisi. Jangan stres!
3. Ustaz Auni Mohamed
"Siapa manusia pertama yang pandai menulis?"
Suara dari komputer riba pemilik kedai membaiki Macbook itu menangkap pendengaran saya ketika saya mengunjungi kedai itu untuk membaiki telefon bimbit yang rosak. Sebenarnya bukan rosak tapi tidak boleh 'update' Google Maps'. :P
Langkah kaki terhenti. Saya bertanya, "Siapa yang beri ceramah tu?" Brader tu jawab, Ustaz Auni, sambil bercerita tentang susuk ustaz ini yang sumpah, saya tidak pernah dengar ceramahnya.
Balik ke rumah, saya terus cari di Youtube. Saya tidak mengenal susuk Ustaz Auni secara tuntas namun ceramah-ceramahnya dikatakan luar biasa dengan isi dan fakta yang segar serta kupasan yang jelas.
Saluran ini walaupun agak jarang saya buka, tetapi sering menjadi rujukan untuk saya menulis cerpen dan menambahkan ilmu. Insya-Allah.
------
Selain ketiga-tiga saluran ini, seperti yang dijelaskan saya memang suka melayari Youtube kerana banyak perkara baharu yang saya belajar tentang dunia ini. Cuma, kena berpadalah terutama tentang masa yang terhad untuk berhibur. Kadang leka juga, terutama menonton video yang berkaitan 'react' muzik (ada beberapa saluran 'react' muzik yang saya gemari seperti Yazik React, Kreativiti Indonesia, Saluran Kpop dan banyak lagi yang menyuburkan pengetahuan dan memperluaskan sudut pandang saya terhadap pelbagai pemikiran. Masing-masing menyumbang pengalaman dan maklumat baharu untuk saya. Manfaatkan deh!
Nah, belanja satu video Umar yang saya sempat up di YouTube. :)
----
Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' - Senaraikan tiga Youtube Channel yang anda selalu tonton bagi menyahut cabaran 21 Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.
No comments:
Post a Comment