Thursday, April 08, 2021

ADA APA DENGAN PERKAHWINAN?



Pagi tadi semasa manatal paparan Facebook, ternampak status seorang rakan yang menamatkan zaman bujangnya dengan kata-kata lebih kurang: Perkahwinan bukan pertandingan tetapi melengkapi (competition vs completion). 

Saya ingin komen, tapi begitulah, tidak perlu (barangkali) walaupun kita ada beribu pendapat). Saya tutup hp, buka radio. Radio Suria.fm pula mengangkat topik; Perkahwinan: Rupa atau Harta. Seperti biasa, topik begini jika dibicarakan di radio pastinya berbaur gurauan melampaui fakta dan keseriusan. Ada yang memilih harta - dengan alasan-alasannya. Ada yang memilih rupa - juga dengan alasan-alasannya. 

Akhirnya, perkahwinan itu didirikan dengan berpandukan alasan-alasan sahaja.

Ketika topik perkahwinan menjadi sesuatu perbincangan yang klise dalam seminar-seminar dan percakapan harian, juga menjadi topik yang boleh mengundang tawa, lucu, sarkastik dan santai-santai, ketahuilah berapa ramai suami/isteri yang sedang menderita dilingkungi perkahwinan yang tidak sihat. Ketahuilah, berapa ramai anak-anak yang merasai tempias keluarga toksik!

Adakah topik perkahwinan sesuatu yang serius? Dan adakah perkahwinan tidak boleh dibincangkan secara santai?

Completion vs Competition

Perkahwinan bukan sebuah pertandingan. Itu jelas. Tiada siapa pun yang akan bersetuju dengan pandangan bahawa perkahwinan ialah perlakuan untuk menunjukkan siapa lebih cantik dan laku, siapa yang lebih bahagia atau duka, siapa yang lebih subur atau mandul dan sebagainya. Jelas, perkahwinan sama sekali bukan sebuah pertandingan walaupun ada yang mahu menjadikannya sebagai sebuah pertandingan dalam hidup. 

Dan perkahwinan juga bukan semata-mata untuk melengkapi. Adakah yang tidak berkahwin atau gagal dalam perkahwinan (janda/duda) bermaknan gagal dalam hidup? Adakah perkahwinan 'final destination' atau acara yang melengkapi sebuah kehidupan? 

TIDAK!

Perkahwinan bukanlah siri akhir atau siri pelengkap hidup. Perkahwinan hanya, HANYA, sisi-sisi perjalanan kehidupan. Seperti simpang-simpang dalam kehidupan seseorang. 

Mungkin benar, dalam Islam dinyatakan:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ



Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah: 71)

Tetapi tidak semua lelaki atau perempuan yang berkahwin menjadi pelengkap kepada pasangan. Dan adakah kita perlu melengkapi kelemahan pasangan? Adakah perlu seorang isteri yang bekerja keras mencari nafkah diri dan keluarga, melengkapi pasangannya yang malas bekerja dan tiada rasa bertanggungjawab?

Setakat manakah terma 'melengkapi' itu terpakai dalam perkahwinan?

Apakah Sebenarnya Perkahwinan?

Perkahwinan ialah ....

Ah, jika mahu tahu apa itu perkahwinan memang tidak akan selesai perbincangan. Rujuklah tuntutan agama sedalam-dalamnya - apakah perkahwinan, apakah tanggungjawab suami dan isteri, apakah hukum-hukum yang ada dan yang melanggari akad nikah, apakah penyelesaian untuk perkahwinan yang gagal dan banyak lagi. Islam menyediakan peraturan dan aturan yang lengkap dan sempurna jika diikuti. IKUT AGAMA!

Apakah persediaan utama sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin?

Harta? Rupa? Ilmu rumah tangga? Kesihatan? 

Teringat filem Ketika Cinta Bertasbih, babak Anna Althafunnisa menyatakan syarat-syarat sebelum menerima lamaran Furqan. Apakah syarat-syaratnya? 




Nah, mungkin kita boleh ambil 'acara' ini sebagai permulaan persetujuan hidup dengan seseorang yang sudah kita pilih (atau dipilihkan) untuk melayari hidup seterusnya. Untuk apa? Untuk menjadikan kita manusia lebih bertanggungjawab, faham erti perkahwinan, faham bahawa hidup bukan sekadar untuk yang sedap-sedap.

Buatlah syarat yang wajar (dan bertulis) seperti;

1. Lelaki yang tidak mampu menyediakan keperluan keluarga (nafkah zahir batin) untuk tempoh tertentu, harus melalui proses 'perbincangan semula' dengan keluarga atau pihak yang tahu hukum agama - supaya boleh menyelesaikan masalah ketidakmampuan atau menamatkan perkahwinan agar pasangan tidak menderita.
2. Lelaki yang memukul atau melakukan kezaliman dan mendatangkan trauma kepada pasangan, automatik (atau dengan perbincangan pihak berkaliber) perlu diberi amaran, didenda atau menamatkan perkahwinan. 
3. Pasangan yang mendatangkan ketidakselesaan atas sebab apapun (ada sikap-sifat pasangan yang menjadi ketidaksukaan pasangannya yang diketahui selepas berkahwin), perlu  dibincangkan semula dan diambil tindakan sewajarnya.

(Ini antaranya, boleh ditambah atau dibincangkan jika perlu)

Perkahwinan bukan suatu keadaan yang sakral, yang tidak boleh diubah, dipertikaikan atau diperbaik mengikut keperluan semasa. Perkahwinan hanyalah perkongsian hidup untuk mendapatkan dan menghasilkan manfaat bagi diri dan agama, juga bangsa.

Jika sesebuah perkahwinan menjadi toksik dengan perangai pasangan yang tidak wajar, maka untuk apa didiamkan, dikekalkan, dipertahankan dan diperjuangkan?

Hidup hanya sekali. Jangan bazirkan masa dengan sesuatu yang memudaratkan, yang merosakkan perasaan, yang menjadikan sebahagian usia kita menjadi dendam.




No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...