Wednesday, January 13, 2021

PKP 2.0 & MASTER IN THE HOUSE



Perasaan berbaur. Kita belum menang. Tahun 2021 yang kita harapkan boleh bermula dengan ketiadaan Covid, nampaknya hanya bayangan. Masih samar. Masih perlu SOP, penjarakan sosial, masih perlu memakai pelitup wajah. Masih perlu kurangkan kesesakan. 

Permulaan yang tertangguh. Kata seorang rakan penulis. Ah, menulis sahajalah kawan. Seorang rakan penerbit pula mengeluh kecil. Segala aktiviti penerbitan dan percetakan sedikit terganggu. Perancangan untuk tahun ini sedikit 'pause'.

Tapi saya percaya, setiap yang berlaku, bukan... bukan tentang hikmah semata-mata (jika kau kata itu klise), setiap yang berlaku akan menemukan kita dengan sesuatu yang lain. Hikmah la tu kan. Pedih bagaimana pun perjalanan menentang Covid ini, kena teruskan.

Hari pertama PKP 2.0 ini sudah tidak gelabah apa. Beli keperluan dapur semalam di pasar raya Hero pun sekadarnya (sebab poket pun kosong). Tapi orang lain, tetap sama. Barang di rak hampir kosong. Ayam ikan, sayur. 

Work From Home (WFH) berkuatkuasa kembali. Saya gembira dengan WFH tapi dalam masa yang sama perit juga kerana setiap hari ada submission. Jadi, kena pi pejabat jugalah sekejap untuk urusan cetak dan cap. 

Beberapa hal juga membimbangkan apabila memikirkan emak dan abah di kampung yang katanya sudah ada kes positif di sana rentetan kenduri kendara akhir tahun lalu. Dahlah keluarga kami memang ada buat bisnes sewa khemah dan masak-masak untuk kenduri. Bimbang juga dengan perancangan majlis kahwin adik bongsu yang akan diadakan akhir bulan dua. PKP ni, tak mungkin hanya 14 hari memandangkan kesnya sangat banyak dan seluruh KL dan Selangor merupakan zon merah.

Master In The House (MITH) 2017


Perkataan-perkataan mereka mengandungi perjalanan masa. Perbuatan, tingkahlaku juga melambangkan pengalaman yang banyak dan panjang - suka suka, perit pilu perjalanan kerjaya sebagai seseorang yang pakar dalam bidangnya. 

Saya temui kata-kata ini dalam program Realiti TV Master In The House (MITH) atau dikenali juga sebagai The Butlers atau Jibsabu yang dihoskan oleh (tentulah) Lee Seung Gi, Yang Se-Hyung, Lee Sang-Yoon dan Yook Sung-Jae.

"Membaca buku atau catatan tentang mereka tidak cukup untuk kita ambil pengajaran dan mencontohi keberjayaan mereka." Kata-kata Lee Seung Gi dalam episod pertama MITH ini terus menarik minat saya menonton setiap episod dengan paparan 'master' yang hebat dalam setiap episod.

Bagi saya, rancangan ini sangat menarik dan memberi nilai tambah kepada penonton umumnya dan hos tentunya mengenai kepakaran, kemahiran, keistimewaan, kelebihan dan keunikan setiap orang dalam bidang amsing-masing.

BoA (dalam episod ini yang saya tonton hari ini) contohnya, tidak bersekolah biasa sejak umurnya 14 tahun kerana fokus kepada bidang nyanyian dan tarian. Tentulah BoA yang pada hari ini walaupun masih dalam lingkungan 30-an mempunyai pengalaman yang sangat besar dan luas dalam bidangnya.

Setiap episod menawarkan pengalaman yang berbeza dengan setiap 'master'. Sungguh mengesankan bagi kita yang selalu terumbang-ambing mencari arah dan kelebihan sendiri.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...