Sunday, September 05, 2021

MITH: Menulis Seperti Kuda yang Berlari....

 
Antara karya Bernerd Werber yang popular di Korea selama 10 tahun.

Master in The House (MITH) episod 76, membawakan seorang master, Bernerd Werber, penulis novel fiksyen sains, dari Perancis, yang novelnya sangat laku dan popular di Korea sejak 10 tahun lalu sehingga kini.

Antara tugas awal keempat-empat hos ini ialah melukis (atau dekorasi) bentuk-bentuk asas lukisan yang disediakan oleh Bernerd, iaitu bentuk bulat, tiga segi, empat segi, +, bentuk tangga (zigzag) dan bentuk tiga baring (bentuk dua bukit). Imaginasi, personaliti dan pemikiran hos akan dibongkar melalui lukisan yang mereka hasilkan kelak.

Bentuk bulat mewakili apa yang kita fikirkan tentang diri kita, bentuk tiga segi pula mewakili apa yang orang lain fikirkan tentang diri kita. Tangga (zigzag) ialah evolusi kehidupan. Tanda + pula menunjukkan kerohanian, apa yang kita fikirkan tentang kehidupan luar. Kotak empat segi memperlihatkan apa yang kita fikir tentang keluarga dan lambang 3 baring pula melihat bagaimana kita menilai cinta (baru perasan rupanya ia bentuk 'love' yang dipotong bahagian bawahnya).

Dan hasilnya, pelbagai. Seunggi misalnya melukis bulat menjadi seekor ulat comel yang terkeluar daripada kotak pemisah. Lukisan ini dipuji oleh Bernerd dengan mengatakan Seunggi seorang yang tidak terikat dengan peraturan dan bersikap bebas serta kreatif.




Lukisan Seung Gi Paling banyak dipuji. Walaupun tangga tu melambangkan entah apa.

Selepas menilai dan bergelak ketawa dengan lukisan-lukisan hos ini, Bernerd mengatakan, tiada istilah imaginasi yang bagus atau buruk. Semua bergantung kepada keikhlasan penulis/pengkarya.

Seperti kuda yang berlari, kuda tidak memikirkan betapa bagus lariannya. Kuda hanya menggunakan tubuhnya untuk berlari dengan bebas. Begitu juga dengan penulis. Gunakan imaginasi dengan kekuatan dalaman dan luaran sendiri. Jangan terlalu memikirkan idea itu bagus atau tidak.

Bernerd juga berkongsi bagaimana otak bekerja. Otak kiri bekerja untuk melakukan yang betul dan mengawalnya. Manakala otak kanan hanya fokus kepada sesuatu yang menggembirakan. Jika otak kiri ialah guru, otak kanan pula ialah muridnya. Untuk berkarya, otak kanan perlu dibiarkan bebas.


Kemudian mereka melalui latihan untuk mengaktifkan otak kanan, iaitu:
1. Meditasi/imaginasi (imagination): Meditasi untuk mencipta imaginasi. Ini menarik. Saya sendiri jarang melakukannya ketika menulis. Dalam imaginasi, bukan hanya subjek yang perlu dikenal pasti, tetapi juga bunyi, warna, bentuk dll. Bernerd juga menyifatkan, lokasi bermeditasi memainkan peranan dalam usaha membina imaginasi.

2. Pemerhatian (observation): Dalam latihan ini, hos diminta memilih seorang kawan baik dan berdiri secara berhadapan, merenung mata kawan dan cuba senaraikan kekuatan dan kelemahan, hubungan dengan bapa, dengan ibu, dan apakah rahsia kawan itu yang ada tahu. Latihan ini akan membuatkan anda melihat orang sekeliling dengan pandangan yang lebih telus serta belajar membuat pemerhatian lebih teliti dan melatih persepsi diri terhadap sekeliling.



Novel ini disebut oleh Lee Seung Gi dan dia berhasrat menulis cerita pendeknya berdasarkan novel ini. 

Dan kemudian mereka mula berlatih menulis sebuah cerita pendek. Seperti dijangka, tentulah mahaguru berkongsi idea yang 'wow' sehingga setiap hos faham tentang bagaimana mahu membina cerita hanya melalui imagiansi dan pemerhatian yang mereka pelajari tadi.

Saya teringat tentang cerpen-cerpen yang pernah saya tulis. Adakah kesemua karya itu saya tulis berpandukan dua pendekatan ini? Imaginasi dan pemerhatian. Tentulah. Tapi ia menjadi sedikit sukar apabila saya hanya mengharapkan ilham itu datang tanpa saya berusaha mencarinya. Sebab itulah saya tidak begitu laju menulis cerpen atau karya lain.

Baru-baru ini juga saya ada mengadu dengan seorang rakan penulis, tentang hasrat menulis cerpen berdasarkan kisah benar. Tentang seorang manusia yang aneh, yang bermusuhan dengan saya entah apa puncanya dan kami menjadi musuh yang nyata dalam beberapa kejadian. Dia memburukkan saya dalam kalangan rakannya dan juga media sosial.
"Rasa nak tulis tentang dia. Guna nama sebenar. Saya nak beritahu dunia tentang dusta-dusta yang dia taburkan kepada saya."

Demikian, kita banyak benda nak tulis tapi akhirnya, perlukan kita menulis tentang hal yang ingin sangat ditulis itu? Berbaloikah? Untuk apa?





No comments:

Post a Comment

Nightbooks dan Seruan 'La Tahzan'

Allah SWT berfirman, maksudnya: “Janganlah kamu lemah dan bersedih.” (Surah al-Imran: 139). Kesedihan ialah kegelapan yang menutup jiwa yang...