Sunday, September 19, 2021

Nightbooks dan Seruan 'La Tahzan'



Allah SWT berfirman, maksudnya: “Janganlah kamu lemah dan bersedih.” (Surah al-Imran: 139). Kesedihan ialah kegelapan yang menutup jiwa yang kosong dan keluar dari kebiasaan. Jangan bersedih, kerana kesedihan ialah pintu masuk syaitan, kerana syaitan paling sukakan hamba itu berterusan sedih, perjalanannya terhalang dan keluar dari jalan yang lurus.

La Tahzan

Menonton filem Nightbooks mengingatkan saya kepada ayat dan buku La Tahzan. Sebuah buku yang memujuk mereka yang berada dalam kesedihan. Apakah pentingnya menangani kesedihan dengan baik?

Kesedihan yang tidak ditangani dengan baik akan membawa kepada perkara-perkara yang lebih buruk; kekecewaan, kemurungan, tidak percaya diri, depresi dan seterusnya boleh membuatkan individu berkenaan hilang kewarasan dan melakukan hal lebih teruk. Apatah lagi jika kesedihan dialami oleh kanak-kanak yang memerlukan perhatian orang dewasa.

Filem ini dimulakan dengan kesedihan dan kekecewaan yang dialami watak utamanya, Alex. Dan hal kesedihan itu pula ditanya oleh watak 'villain' yang boleh digambarkan sebagai syaitan.

"Mengapa kamu mahu membakar buku tulisan kamu?" Demikian soalan Natacha, perempuan sihir yang memerangkap kanak-kanak yang kecewa dan sedih. Soalan itu ditanya berkali-kali kepada Alex Mosher yang berjaya diperangkap ke dalam apartment misteri Natacha. 

Kenapa soalan itu ditanya berkali-kali? Kerana Natacha mahu Alex terus bersedih dan kecewa. Dengan itu, Alex tidak akan kembali ke rumah dan kehidupan realitinya, dan terus terperangkap di apartment itu selama-lamanya.

Alex, penulis cilik yang berbakat besar...

Nightbooks, sebuah filem adaptasi daripada novel kanak-kanak bergenre 'horror-fantasy' oleh J. A. White (terbitan 2018). Filem ini mengisahkan Alex, seorang kanak-kanak (dalam lingkungan usia 10 tahun) yang berbakat besar menulis cerita seram. Kisah dikembangkan dengan kekecewaan Alex yang tersisih daripada kawan-kawannya. Kegemaran Alex menulis cerita seram tidak disenangi rakan-rakannya yang menganggap dia aneh. 

Sehingga kemuncaknya, pada hari lahirnya tidak seorang pun rakannya datang. Ibu bapanya berkonfrontasi akan hal itu dan berhasrat mahu menghentikan apa yang Alex sukai  menulis cerita seram. Alex kecewa, marah dan berazam tidak mahu menulis cerita seram lagi, lalu dia mengambil semua catatan dan buku-buku seram bacaannya, turun ke tingkat bawah, dan mahu membakar buku-buku itu.

Namun, semasa menuju ke tingkat B, lif terganggu dan berhenti di tingkat 4. Alex memberanikan diri keluar dan terpesona dengan tayangan filem seram daripada sebuah televisyen semasa melalui sebuah apartment. Di situlah Alex tergoda untuk masuk dan terperangkap dalam rumah perempuan sihir, Natacha.

Penulis dan Penulisan...

Alex dikehendaki menulis cerita seram setiap hari dan membacakannya kepada Natacha setiap malam. Hari pertama, Alex bercerita tentang kisah hantu di taman permainan (oh, cerita dalam cerita yang menarik). Alex berbakat bukan sahaja sebagai penulis tetapi juga pencerita. Dan paparan cerita Alex divisualkan dalam bentuk semi-lukisan yang cantik. Babak ini juga terselit unsur humor apabila Natacha memberi kritikan terhadap tulisan Alex. 

"Such an amateur writer...."

Saya suka babak apabila Natacha memberi komen begini, "Everyone knows ghost don't have actual physical hand so they could never push him on swing." --> mengkritik logik cerita yang disampaikan oleh Alex. Namun, Alex menyediakan jawapan tersendiri sebagai logik penceritaannya.

Dan ayat-ayat Natacha serta Alex dalam babak ini boleh menjadi tip yang berguna kepada penulis baharu.

"Writer always insecure..."

"It's just hard to concentrate with someone staring at me all time."

"My fault ... I'll write faster."

Anehnya, Alex tidak dibenarkan menulis cerita yang berakhir dengan gembira.

"Happy ending is a dangerous things. Never forget that!"

Di samping Alex juga ada Yasmin, seorang budak perempuan yang terperangkap lebih lama daripada Alex. Yasmin menjadi 'orang gaji' di apartment misteri itu.

Perpustakaan yang sama seperti ilustrasi kulit bukunya

Kisah diteruskan dengan babak-babak penulisan Alex  dipertemukan dengan perpustakaan yang sangat cantik dan besar, proses penulisan yang terbantut, ketiadaan idea, buku catatannya dimakan makhluk aneh, terdesak menulis cerita dan lain-lain sehinggalah Alex bertemu dengan sebuah buku yang memberi petanda bahawa mereka boleh keluar dari apartment itu, iaitu catatan oleh gadis bernama 'Unicorn Girl'. 

Alex dan Yasmin mula menelaah setiap buku yang ada di perpustakaan itu, dan mereka berjaya mendapat 'petunjuk' untuk keluar iaitu membuat 'air jampi' (potion) yang boleh menidurkan Natacha. 

Helah mereka ialah melalui kepandaian Alex menulis cerita. Alex sengaja menulis dengan fakta yang salah semata-mata untuk mengetahui rahsia ramuan akhir air jampi yang bakal mereka buat. Ini ialah satu helah yang bijak dalam penulisan. Saya terbayangkan sekian banyak tulisan yang ditulis untuk 'provokasi' pembaca sasaran. 

Alex dan Yasmin akhirnya berjaya mendapatkan kunci pintu keluar apabila berjaya menidurkan Natacha. Namun, sedihnya, mereka sebenarnya masih terperangkap dalam ruang misteri apartment itu apabila melihat sekeliling yang dipenuhi hutan. Di hujung perjalanan mereka menemui sebuah rumah yang sama seperti dalam kisah dongeng Hansel and Gretel. Apakah yang terjadi seterusnya? Siapakah Natacha sebenarnya? Apakah yang berlaku dalam rumah sihir kedua itu? Silakan menonton.

Amaran kecil: 'Plot twist' yang menarik.

Api yang kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan...



Demikian, premis filem ini berdiri. Kesedihan jika tidak diuruskan dengan baik akan menjadi kekecewaan dan seterusnya menjadi dendam. 

Alex, kecewa dengan pengkhianatan kawan sekelasnya, Josh. Natacha kecewa dengan keluarganya yang berpindah tanpa diketahui ke mana dan kemudian mengkhianati kanak-kanak lain. Yasmin pula sudah tidak mengharapkan apa-apa yang dinamakan persahabatan. 

Namun, Alex masih waras dan sangat menghargai persahabatan dan ini merosakkan segala rancangan Natacha.

Ahli sihir yang suka mendengar cerita seram!

Secara seluruhnya saya berpuas hati menonton filem ini walaupun merasakan pertembungan antara Nightbooks dengan sebahagian plot Hansel and Gretel agak bertentangan. Mungkin sekuel Hansel and Gretel? Mungkin. Namun, kedua-dua kisah ini bermula dengan kesedihan, godaan dan pengkhianatan yang selalu berlaku kepada kanak-kanak dan jika tidak ditangani dengan baik meleret sehingga dewasa.

Alex dan Yasmin digoda memasuki apartment sihir melalui apa yang mereka gemari (filem seram dan herba), dan adik-beradik Hansel dan Gretel juga digoda dengan rumah manisan ahli sihir, Holda (atau mungkin anda baca versi yang lain kerana diketahui ahli sihir dalam kisah Hansel and Gretel ada lebih 60 nama). Dalam filem ini, nama baharu diperkenalkan, iaitu Grizelda.

Cuma, kelakar juga apabila Grizelda dalam Nightbooks lebih teruja dengan cerita-cerita seram sad ending!

Benarlah, 'kesedihan' berpanjangan akan menjadi kesukaan syaitan!




No comments:

Post a Comment

Nightbooks dan Seruan 'La Tahzan'

Allah SWT berfirman, maksudnya: “Janganlah kamu lemah dan bersedih.” (Surah al-Imran: 139). Kesedihan ialah kegelapan yang menutup jiwa yang...