Tuesday, November 19, 2013

Taufan Haiyan dan Misi Besar Seorang Penulis

Taufan Haiyan atau Taufan Yolanda melanda Filifina baru-baru ini. Surat khabar dan media, malah seluruh dunia memperkatakan tentangnya. Dalam masa yang sama juga, saya tertarik dengan dua buah buku terjemahan ITBM, Dunia Sama Rata dan Panas, Rata dan Sesak tulisan Thomas L. Friedman.


Antara perkara yang membuat saya berfikir banyak mengenai alam sekitar dan penulisan ialah kata-kata penulis ;

"...bagaimana krisis pasaran kewangan dam krisis alam sekitar sebenarnya berakar umbi daripada punca yang sama, iaitu kelamahan dari aspek perakaunan dan pengambilan risiko."

Maka, saya tanyakan di FB mengenai buku-buku yang pernah mengangkat isu alam sekitar.


Isu alam sekitar. Novel apa yang boleh saya baca?
Like · · Promote ·

Monday, November 04, 2013

Buku Yang Cantik






Cantik itu subjektif. Benar. Kecantikan merupakan satu ruang katarsis yang subjektif sifatnya. Cukup dengan mengatakan, setiap manusia ada citarasa tersendiri.

Berkaitan dengan buku, apakah yang dimaksudkan dengan buku yang cantik? Kita tanya kepada pembaca;


  • Ilustrasi kulitnya yang menawan?
  • Tajuk yang menarik?
  • Penggunaan font yang menyenangkan pembacaan?
  • Warna-warna dan elemen yang digunakan?
  • Cerita yang menarik dan beri kesan mendalam sehingga beri pengaruh yang baik kepada pembaca?
  • Ceritanya tentang hal yang cantik-cantik sahaja?
  • Penulisnya yang cantik atau kacak?
  • Gaya penerbitan yang kemas?
  • Tiada kesalahan ejaan?
Dan ... nyatakanlah seberapa banyak definisi 'buku yang cantik' pada pandangan pembaca.


*****


Untuk penulis pula, sudah tentulah masing-masing mengimpikan 'buku yang cantik' hasil tulisannya. Setiap penulis mahukan kulit buku yang cantik, suntingan yang kemas tanpa mengganggu hasil karyanya yang asal, cetakan yang terbaik dan sudah tentu yang menjadi keutamaan, bukunya laris 'cantik' di pasaran.

Namun, untuk menghasilkan buku yang cantik mengikut pandangan pembaca atau menurut kehendak penulis bukanlah suatu hal yang mudah dicapai, kalaupun tidak mustahil.

Caranya, penulis terbit sendiri - dan segala kehendak hatinya dapat dipenuhi.

Atau hantar kepada syarikat penerbitan, dengan syarat, penulis tahu haknya, dan mengerti hak syarikat penerbitan yang sudi menerbitkan bukunya.

Ada beberapa hal yang perlu diteliti dengan mendalam, ketika proses penerbitan dengan syarikat yang dipilih dan hal ini bakal menghasilkan buku yang bagaimana yang diingini oleh penulis itu sendiri tanpa mengenepikan hak-hak dan polisi syarikat penerbitan.

Kunci kepada buku yang cantik ialah komunikasi yang cantik antara penulis dengan editor/ syarikat penerbitan itu sendiri. Dengan ini, segala hal yang diimpikan, baik dari pihak penulis mahupun syarikat penerbitan akan terlaksana.

Namun, tidak semua penulis akur dengan syarat itu. Masing-masing, ada yang menganggap karyanya adalah hak miliknya yang mutlak sehingga sebarang perbincangan tidak diambil kira, malah menuduh syarikat penerbitan tidak cekap.

Begitu juga halnya dengan syarikat penerbitan yang menganggap karya penulis yang sudah dihantar kepada mereka, perlu mengikut segala polisi dan gaya yang ditetapkan.

Ini salah!

Buku sepatutnya menjadi unsur yang sangat penting dalam pertembungan antara penulis dengan syarikat penerbitan. Jangan kerana ego, penulis menidakkan kejahilannya dalam sesetengah perkara - contohnya, ejaan yang diragui, isi kandungan buku yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat apatah lagi agama, dan sebagainya. Jangan juga kerana angkuh, syarikat penerbitan sesuka hati 'menggayakan' karya tanpa merujuk penulisnya dahulu.

Buku akan menjadi buruk dengan sikap-sikap begini.

Masih banyak cara untuk kita lahirkan buku-buku yang cantik. Mari berusaha - penulis dan penerbit!


Tuesday, October 29, 2013

Keperluan Bengkel Penulisan?




Gambar sekadar hiasan

 
Baru-baru ini saya dijemput sebagai penceramah oleh sebuah bengkel penulisan untuk bercakap mengenai ruang dan peluang penerbitan (yang mewakili organisasi saya bekerja). Dalam keengganan kerana keterlibatan diri dalam bidang penerbitan amat sikit dan baru, saya diyakinkan bahawa pengalaman yang sedikit tetaplah pengalaman diri sendiri dan orang lain tidak tahu. Saya terfikir-fikir lagi keperluan bengkel begini kepada penulis memandangkan ini zaman teknologi maklumat di hujung jari. Ramai juga penulis yang berjaya tanpa menghadiri bengkel pun. 

Tetapi akhirnya saya sedar, bengkel sebegini ada keperluan tersendiri apatah lagi sesi perbincangan secara terus memungkinkan semangat peserta akan lebih mencanak.

Maka, saya katakan saya bersedia untuk memberi sedikit pendedahan kepada penulis tentang bidang penerbitan dan peluang mereka untuk menghantar karya.

Pesediaan yang agak teliti saya lakukan sedari menyediakan bahan berbentuk powerpoint dengan gambar-gambar berkaitan. Saya bahagikan kandungan ceramah kepada tiga bahagian kecil;

  1. Pra penghantaran karya - persediaan asas penulis sebelum karyanya dihantar, meliputi semakan terakhir bahan, membuat penyelidikan mengenai syarikat penerbitan yang dipilih dan tatacara menghantar karya.
  2. Penghantaran karya - Menggunakan e-mel, pos atau hantar terus kepada penerbit - ada borang tertentu dan tatacara tertentu. 
  3. Proses penerbitan karya - penilaian, pemakluman lulus/tolak karya, pengurusan penyuntingan sehingga ke percetakan.
Alhamdulillah, bengkel berjalan seperti adanya walaupun ada beberapa kelemahan yang mengganggu proses perkongsian maklumat yang ingin saya sampaikan dengan fikiran bahawa cabaran itu membuatkan manusia lebih kreatif, tabah dan berhati-hati selepas ini.

Apa yang menarik perhatian saya pada waktu ini ialah kekaguman kepada peserta yang mahu karyanya siap, diterbitkan dan menjadi karya 'bestseller' atau masyarakat menyukainya. Peserta sanggup datang dari jauh, membayar sekian-sekian harga dan meluangkan masa berharga mereka. 

Sudah tentulah jika bengkel yang dihadiri tidak menepati sasaran/objektif, malah, peserta juga merasakan tiada nilai tambah melalui bengkel tersebut, ia menjadi satu kerugian yang besar. Saya juga seorang penulis, dan saya tahu harapan-harapan besar penulis di luar sana (terutama penulis baharu), supaya karyanya terbit dan laku.

Namun, saya berharap, perkongsian kali pertama ini memberi input kepada peserta untuk bertindak sebagaimana sepatutnya setelah karyanya siap di tulis.

Jika ada sebuah bengkel dengan yuran yang lebih tinggi, dengan jaminan karya AKAN diterbitkan, rasanya adakah peserta yang berminat?

Sekadar pertanyaan rambang apabila memikirkan perolehan karya yang bermutu semakin kurang walaupun teknologi semakin baik di negara ini. Kita cari puncanya, kita perbaiki kualitinya. Mahu? Angkat tangan!
 

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...