Suatu petang ketika saya sedang tekun menyunting manuskrip, telefon di meja berbunyi. Saya angkat dan suara staf bahagian sumber manusia menerpa pendengaran. Saya diminta segera ke pejabat sumber manusia. Ketika sampai, saya diminta masuk ke bilik pengurus sumber manusia. Dalam debar yang bukan sedikit, saya masuk perlahan-lahan. Di dalam bilik itu, kelihatan ketua jabatan saya, ketua sumber manusia dan staf bahagian itu.
Sebetulnya saya lupa apa yang terjadi, namun situasinya lebih kurang begini: Mereka bertanya sesuatu yang serius, yang menuntut pegakuan saya. Saya terkaku dengan soalan itu tapi sebelum sempat saya berfikir lebih jauh, mereka pun tertawa dan mengatakan sekadar mempermainkan saya. Saya menjerit kecil dan menangis.
Begitulah saya dipermainkan oleh pakatan bos dan staf sumber manusia. Saya tidak marah kerana sebetulnya saya dapat duit (entah sebab apa) dalam peristiwa itu.
Namun, ada beberapa hal lain, seseorang yang saya tidak sukai, melakukan 'prank' yang mencalarkan kredibiliti saya.
Menyimpulkan hal 'prank' yang saya alami, saya membuat kesimpulan sendiri bahawa saya bukanlah orang yang sesuai untuk dijadikan mangsa 'prank'.
Mengingat hal ini, saya juga teringat beberapa program 'prank' yang dilakukan di televisyen dan radio. Kebanyakan mangsa, ya, ketawa dan mungkin terhibur tetapi kelukaan, kekecewaan dan aib yang dilakukan secara visual dan audio, bagaimana diselesaikan?
Syukur alhamdulillah program-program seperti itu sudah tiada (barangkali, kerana saya jarang menonton TV dan mendengar radio berkenaan). Begitu juga dengan rancangan lawak yang ada di negara ini. Bukan kesukaan saya apabila sesekali tertonton, lawak yang dipersembahkan kebanyakannya sejenis merendahkan, memperlekeh dan mempermainkan orang lain.
Saya seorang yang serius. Garang. Tak kena waktu, saya akan menunjukkan sikap tidak suka. Wajah saya, kata orang-orang terdekat, wajah yang tidak pandai berpura. Jadi, untuk hal ini saya selalu berdoa agar tiada sesiapa - sama ada orang yang saya kenali atau tidak cuba-cuba untuk mengenakan atau mempermainkan saya (prank).
Catatan hari kelima ini menjawab prompt yang bertajuk:
No comments:
Post a Comment