https://www.pexels.com/photo/white-and-pink-flowerson-a-book-beside-eyeglasses-545042/ |
"laksana layang-layang dalam pusaran angin
aku terkenangkanmu
laksana pusaran angin tanpa layang-layang
kau kehilanganku."
— T. Alias Taib (Seberkas Kunci)
Demikian, tiba-tiba teringatkan puisi ini tatkala mahu bercakap soal cinta. Tentang cinta, kata-kata dan abjad pun tidak mencukupi untuk menyatakan segala rasa.
Dari mana saya mahu mulakan? Dari kisah cinta kali pertama sehingga kisah cinta yang datang berkali-kali, tanpa dipinta, tanpa diduga? Setiap orang ada kisahnya yang tersendiri, kan? Sebab itu tema cinta amat popular dalam apa juga genre - baik penulisan (novel, puisi, cerpen dll), juga filem, drama dan apa jua.
Cinta ditafsirkan dengan pelbagai tanggapan, pelbagai rasa, pelbagai kemahuan.
Hari ini terkoyak sehelai kertas di kalendar,
yang muda sehari lebih tua
yang tua setapak lebih dekat ke pusara,
aku tidak bimbang menghadapi kematian
atau bakat yang berkurangan.
Daun-daun pun lekang di dahan
kupu-kupu pun sementara di cahaya pelita.
Aku tidak akan berduka,
kita para kekasih akan mati,
tapi cinta tidak reput di bumi,
cinta bukan milik kulit, daging dan tulang,
ia kepunyaan ingatan dan kesetiaan.
~Baha Zain. Surat ke Semenanjung dari Benua Jauh.
Pedihnya apabila cinta tidak direstui keluarga kerana diri masih muda dan mentah. Lukanya hati apabila cinta hanya berlandaskan nafsu dan cinta luaran sahaja. Tersiksanya menanggung rindu bertahun, hanya surat sebagai pengganti diri, dan kemudian cinta tak menjadi. Cinta pandang pertama, wujudkah? Jadi selepasnya, pandang kedua dan ketiga bukan cintakah?
Usia yang semakin banyak ini menenggelamkan saya kepada pencarian cinta. Debar rasa dan tidur tak lena juga semakin jarang dirasai. Mungkin kerana saya sudah lama memiliki, menikmati suka duka cuka gerahnya rasa atau semakin bosan dengan rasa yang datang menyesakkan dada ketika mata tiba-tiba terpanah pada seseorang yang entah siapa.
Jadi, untuk topik cinta, saya tidak tahu mahu menuliskan apa. Setiap yang merasai pasti tahu dan tidak mampu menggambarkannya dengan kata-kata.
Ada waktu-waktunya
manusia menempuh saat-saat aneh:
ada cinta dan rindu sewaktu pagi
ada kesepian dan kesedihan menjelang senja
dan mimpi-mimpi ngeri sebelum fajar tiba.
Bertahun-tahun dahulu segalanya terjadi
kini aku hanya terkenang dengan tiba-tiba
tak sengaja mengeja namamu di atas meja
aku hanya senyum, tak ada apa-apa lagi antara kita
hanya mengenang keterlanjuran zaman muda.
Adakah apa yang dikatakan keindahan
hanya dalam ingatan dan bayangan
yang membikin kita senyum sendirian
seperti tidak siuman?
Kita bukan hanya jasad,
ada sebuah dunia di dalamnya
berlegar seperti bintang-bintang
dalam cakerawala yang gelap dan ghaib.
Kita hanya tahu dunia itu ada
meskipun tak bersuara dan ghaib di mata
yang kita namakan kenangan.
Apakah engkau masih mengingati namaku juga
walaupun tidak lagi menulisnya setiap hari di dalam diari ?
~Termangu Dalam Arus Waktu. Baha Zain
No comments:
Post a Comment