Pages

Tuesday, January 05, 2016

Membuang Resah


Membawa hal-hal lama dalam fikiran, itu biasa, apatah lagi jika ianya belum selesai. Membuang hal-hal lama dalam fikiran, itu tidak biasa, tapi boleh dilakukan.

Malam tadi bermimpi seseorang. Entah apa nasib (kejadahnya), mimpi individu yang amat kita benci. amat.

Teringat seorang penulis, kawan saya, yang membuang segala resah dalam bentuk penulisan. Cerpen dan novel, puisi dan artikel, semuanya tentang membuang resah yang bermanfaat. Saya belum secekal itu mahu menulis segala perkara yang meresahkan dalam bentuk tulisan yang akhirnya memberi pulangan yang memuaskan.

Dan begitulah, apabila menjadi editor, sedikit sebanyak 'resah' sang penulis boleh dibaca. Mungkin ada tulisan yang sekadar tulisan biasa dan ada diantaranya yang memang meresahkan, yang boleh dirasai oleh pembaca. Dan itu tentulah sukar dilakukan jika menulis sekadar menulis.

Saya, dalam membuang resah melalui status-status FB, kadangkala memakan diri. Membaca kembali status-status lama, ada antaranya mengembalikan peristiwa lama, adakalanya memaksa diri menutup mata enggan membacanya semula, dan adakalanya rasa mahu padam sejarah kerana malu kita yang menuliskannya. Begitulah, seharusnya kita belajar daripada sejarah.

Tapi, malam tadi bermimpi. Mimpi yang meresahkan. Tak tahu bagaimana mahu membuangnya.

*Ada banyak cerita sebenarnya - apatah lagi ketika menulis ini, saya menyunting sebuah naskhah yang ditulis oleh penulis luar negara, dalam BM yang agak baik dan ceritanya meluas sehingga ke seluruh dunia. Ya, menulis perlukan pembacaan yang luas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...