Sunday, March 29, 2020

PKP Hari Ke-12: Membaca Mata



Hari ini hari ke-12 PKP dan jumlah kes semakin bertambah. Berbual-bual dengan beberapa rakan maya, ternyata masing-masing pun gusar. Segala macam menu dan aktiviti sudah tidak mampu membendung kerisauan dan keresahan kami.

Masuk hari ke-12, bagaimanakah saudara saudari sekalian?

Saya, seolah-olah tiada pilihan, selain menonton drama dan menjalankan rutin harian, maka membaca adalah acara terbaik mengisi waktu 'lapang' ini.

Okky!

Hari ini saya memilih untuk melangsaikan bacaan novel Okky Madasari, Mata dan Rahasia di Pulau Gapi.

Novel kedua dari Siri Mata ini dihadiahkan oleh Anis Azam, pemilik kedai Gadis Buku. Hadiah? Oh, rasa sangat terharu. Sudahlah sehari sebelum hadiah ini diberi, saya baru memenangi dua hadiah besar penulisan (cerpen media baharu dan puisi) dalam Hadiah Sastera Karya Utusan (HSKU). 





Dihadiahkan pula buku penulis kesukaan. Sangat bahagia! Siri pertama Mata juga saya dapatkan bukunya melalui Anis. Dan ya, saya sudah membaca kesemua novel Mbak Okky sebelumnya. Maka, ada apa dengan Mata dan Rahasia di Pulau Gapi?

Mata, Kisah Gadis Cilik yang Berani!

Setelah agak terkejut setelah membaca siri pertama Mata (Mata dan Rahasia di Tanah Melus) yang saya kira percubaan berani Okky menjelajah genre fantasi kanak-kanak/remaja ini, maka siri keduanya ini saya lebih santai menikmati perjalanan Matara seterusnya.

Jika siri pertama membawa Mata menjelajah ke alam 'bunian' atau makhluk halus dan bercerita tentang bangsa serta budaya, maka siri kedua ini lebih ringan, barangkali.

Mata dan Rahasia di Pulau Gapi bermula dengan sebuah perjalanan baharu - ibu bapa Mata tinggal bersama dan memilih Pulau Gapi  di Wilayah Timur Laut Kepulauan Indonesia (Sebelum ini ada sedikit ketegangan dalam rumah tangga ibu bapanya maka Mata dan mamanya sahaja mengembara ke Tanah Melus).

Ada apa di Pulau Gapi? 

dalam siri kedua ini, Okky mendekatkan pembaca dengan sejarah Pulau Gapi melalui pembuka rahsianya, Pak Zul, guru mengaji Mata yang gemar bercerita - tentang manusia-manusia istimewa dari pelbagai penjuru dunia.

Suatu hari Pak Zul bercerita tentang sejarah ratusan tahun lalu di Pulau Gapi. Mata menjadi teruja.  Cerota-cerota Pak Zul menjadikan Mata ingin mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Pulau Gapi. Tanpa berfikir panjang suatu pagi Mata senyap-senyap keluar dari rumah menuju pelabuhan dan bertemu dengan seekor kucing yang pandai bercakap bernama Molu. Cerita menjadi lebih menarik apabila Molu membuka rahsia hidupnya bermula ratusan tahun lalu.

Peredaran zaman mengubah landskap Pulau Gapi menuju kemodenan. Namun ada sesuatu yang berlaku yang dianggap misteri menghantui penghuni pulau itu apabila Sultan dan para penari ketika satu acara dijalankan di sebuah benteng, kesurupan. Puncanya si Laba-laba yang menjadi penjaga harta Sultan sejak ratusan tahun lalu. 

Atas nama amanah dan menjaga kesucian pulau, konflik berlaku antara Laba-laba beracun itu dengan manusia yang ingin membangunkan Pulau Gapi.

Apa yang terjadi seterusnya? Kenalah baca. :)

Okky dan Imaginasi Kearifan Tempatan

Jika dilihat atau dibaca sepintas lalu, novel ini tidaklah terlalu 'wow' jika mahu dibariskan dengan ribuan novel fantasi kanak-kanak yang lain. Namun, Okky menulis dengan keistimewaannya tersendiri.

Mengambil watak kanak-kanak perempuan, sesuatu yang harus diraikan dalam dunia moden hari ini. Seorang perempuan harus sejak kecil diajar mampu tangani suasana, berfikiran kritis dan berani. Itu yang disogokkan melalui watak Matara.

Selain itu, menggunakan idea kearifan tempatan menunjukkan setiap bangsa, atau negara mempunyai cerita-ceritanya yang tersendiri. Ini seterusnya membangunkan watak dan cerita baharu (hero) dalam setiap bangsa dan tidak hanya terikat dengan cerita-cerita klasik yang sudah berkali-kali diulang baca.

Mengambil sudut latar sejarah, ini juga satu keberanian yang bukan sedikit ekpada penulisnya. Tidak semua cerita tentang sejarah mampu dikupas dengan begitu kemas dan menarik. Walaupun hanya asas sejarah diceritakan, ia mampu menjadikan plot lebih menarik dan bergerak dengan lancar.

Membaca ini, membuatkan kita tahu, setiap daerah/negeri mempunyai sejarah tersendiri yang harus dipelihara dan menjadi kebanggaan penduduknya, dan tentunya banyak lagi sejarah tempatan yang tidak kita tahu atau ambil tahu kini.

Terima kasih Okky, menulis sebuah cerita fantasi yang berguna untuk bacaan anak tempatan. :)





1 comment:

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...