Monday, March 30, 2020

PKP Hari Ke-13: Membaca Diari Baha Zain



PKP hari ke-13. Setakat hari ini dijumlahkan sebanyak 37 kes kematian sejak virus ini menyerang Malaysia. Kebimbangan memuncak apabila terdengar khabar angin PKP akan dilanjutkan lagi dan mungkin akan melibatkan bulan Ramadan dan Syawal.

Laporan hari ini tentang Covid-19: http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan

Dalam tempoh ini, masa yang ada bukan lagi untuk memikirkan siapa yang berkuasa, siapa yang kaya. Namun, beberapa hari ini negara diributkan dengan sikap manusia-manusianya. Selepas pengumuman pakej rangsangan oleh Perdana Menteri Malaysia, soal siapa patut dapat bantuan pula menjadi isu. Dalam situasi masing-masing perlu menjaga diri dan saling membantu, perikemanusiaan semakin sirna. 

Duduk diam-diam di rumah, belajarlah daripada situasi ini. Sebagai penulis misalnya, banyak catatan yang boleh dibuat - merakam sejarah, mendidik manusia dan mengingatkan diri sendiri tentang kemanusian. Tulislah, walaupun hanya sebagai diari untuk bacaan diri.

Tentang Masa

Sejak semalam menonton sebuah drama Jepun, tapi sehingga pagi ini, petang ini, terasa plotnya semakin memualkan dan akhirnya saya membuat keputusan untuk menghentikan tontonan, setelah membuang waktu untuk 11 episod!

Mengulit masa dengan hal yang sia-sia membuatkan diri rasa entah apa. Bodoh? Tapi, kita tak akan tahu sesuatu selagi kita tak mengalaminya kan? 

Selepas menutup komputer riba, kepala jadi sakit. Perlu sesuatu untuk meredakan rasa kesal dengan masa yang dipersia hari ini. Perlu sesuatu yang bersifat sunyi dan peribadi, tetapi menjalar cakerawala dalam diam. Apa lagi kalau bukan sajak. 

Bercakap tentang sajak, tiba-tiba teringat salah satu video Masterclass Writing yang menampilkan beberapa penulis terkenal pelbagai genre. Dalam salah satu video trailer tersebut, Billy Collins, seorang penulis sajak terkenal Amerika menyatakan: 

"A lot of poetry begins as a secret and covert activity. So poetry is sort of a diary without the lock. The diary you want people to read it."

Ah, kalau bercakap tentang apa itu sajak, habis tempoh PKP pun tak akan selesai.

Merenung timbunan buku di dalam bilik - yang sebahagiannya sudah dibaca dan sebahagiannya belum, lalu saya mengambil sebuah buku. Melihat tajuknya, Siang Tak Pernah Mungkir dan Kau Akan Dewasa, terbitan DBP tahun 2015. Sebuah kumpulan puisi. Adakah masa akan terubat dengan membaca sajak? Membaca dengan cara apa? Pendekatan bagaimana?

Rasanya pernah baca ini tahun 2015 dahulu. Ini buktinya.



Buka dan semak Goodreads. Tiada catatan ia sudah dibaca. Maka, saya ambil keputusan untuk membacanya 'betul-betul' kali ini (selain mahu mengisi tandaan 'sudah dibaca' di Goodreads. Bacaan kali kedua ini, saya ingin mengambil pendekatan seperti yang dinyatakan oleh Billy Collins. Bukan pendekatan tapi sudut pembacaan melihat buku ini sebagai sebuah diari Baha Zain.

Diari Baha, Rakaman Lima Musim Kehidupan

Diari lima musim kehidupan. Sengaja saya gunakan istilah ini kerana buku ini merupakan edisi khas Sasterawan Negara (Baha Zain, Sasterawan Negara ke-12 [2013]) yang terdiri daripada 81 buah puisi daripada lima kumpulan puisi yang pernah terbit sebelum ini: 

1. Perempuan dan Bayang-bayang (1974)
2. Dari Catatan Kertas Tengah Malam (1978)
3. Tiga Catatan Perjalanan (1980)
4. Jalan Desa ke Kota (1994)
5. Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain (2011).

Maka, lima kumpulan puisi dengan perjalanan tahun berbeza ini bolehlah diertikan dengan lima musim perjalanan hidup. Beberapa catatan atau kata kunci sempat saya tandakan ketika membaca kata pengantar (pengenalan) buku ini oleh Dr. Shamsudin Othman.

Antara kata kunci kepengarangan Baha dalam tempoh lima 'musim' ini: 

Romantis
Sinikal
Puisi-puisi yang penuh muatan ilmu
 Hujah-hujah bersandarkan prinsip perjuangannya
Menyihir perasaan pembaca
Berlegar antara kenangan lalu dan masa depan yang kreatif dan inovasi
Bukan pemabuk kata-kata
Konsisten menyederhanakan kata-kata dalam pemikiran yang kritis
Memiliki gaya bahasa segar
Medium idealisme yang jelas
Berani, sinis, kritis dan sinikal terhadap perkembangan dunia semasa


Terima kasih Dr. Shamsudin Othman untuk pengenalan yang panjang tetapi amat perlu dibaca untuk memahami bentuk dan corak kepengarangan Baha Zain sepanjang beliau menulis. Jika mengambil sudut pandangan 'diari', ya, buku ini bagai sebuah diari Baha Zain dalam menyimpulkan dapatan pengalaman dan kematangan fikiran beliau dalam tempoh tersebut.

Tidak dinafikan, saya memang penggemar sajak-sajak sederhana Baha Zain. Namun, membaca kesemua sajak di dalam kumpulan puisi ini tidak begitu memberi kepuasan kepada saya. Mungkin kerana saya sudah membaca banyak sajak Baha Zain yang terkumpul di dalam buku Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain terbitan ITBM (150 sajak) yang lebih menarik dan disertakan CD sekali. 


Ada beberapa sajak yangs aya suka, malah pernah kongsikan di media sosial sebelum ini. Dan kali ini saya turunkan sebuah sajak yang paling saya suka dalam buku ini:

Apakah Ertinya Kata-kata

Apakah erti kata-kata?
yang rancu muzik dan nada.

Apakah erti kata-kata?
yang tak merubah dunia.

Apakah makna kata-kata
bagi kita yang tak membezakan
antara direktur dan koruptor
antara menteri dan pencuri
antara patriot dan pengkhianat
antara pencipta dan peniru
antara sahabat dan seteru
dan antara yang tulen dengan yang palsu.

Jadi, apa diharap daripada kata-kata?
tergantung kepada pentafsir
yang menterjemahkan makna di dunia fikir
dari lembah pengalaman
dari belantara pengembaraan
untuk manusia yang berlainan 
padang dan tempat permainan.

(tiada catatan tahun bila puisi ini ditulis. Barangkali sekitar tahun 2011 kerana ia terangkum dalam kumpulan puisi Menangguhkan kebenaran dan Sajak-sajak lain).




Laporan kes Covid-19 setakat hari ini. :(

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...