Tuesday, March 31, 2020

PKP Hari Ke-14: Bekerja Dari Rumah, Bagaimana?


Photo by Karl Solano from Pexels

Hari ini PKP hari ke-14. Kematian terus mencatat ke angka 43 orang. Sepatutnya hari ini menjadi hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan seluruh Malaysia. Tapi nampaknya virus ini masih berlegar dan mencatatkan penambahan kes positif dan kematian. Maka, PKP fasa kedua akan bermula esok sehingga 14 April ini.

Apa khabar saudara saudari? Sudah betah atau masih resah?

Ibu, dan Kerja dari Rumah

"Ibu, cuba tengok ni?"
"Ibu, ibu pernah tak tengok kartun ni?"
"Ibu, lapar la. Gorengkan telur boleh?"

Itu belum lagi bab anak yang tak mahu berenggang (jika ada anak kecil dan anak besar yang manja amat), bermain telefon di sebelah kita, menyanyi, bergaduh sesama adik-beradik. Halahhhh...



Dalam tempoh berkurung, kerja-kerja menguruskan dokumen yang perlu diterjemahkan, terus berjalan walaupun kuantitinya berkurangan (banyak) daripada sebelumnya. Sedikit lega, dan dalam masa yang sama sedih juga kerana semakin kurang dokumen yang masuk, semakin kurang jugalah pendapatan syarikat.

Dalam tempoh dua minggu ada beberapa dokumen yang perlu dihantar. Komputer riba di rumah (Alhamdulillah, ada komputer riba yang 'dimiliki' sebelum PKP berlangsung). Bolehlah buat kerja dari rumah sahaja. Saya pun bimbang dan tidak mahu merisikokan diri keluar rumah terlalu kerap.

Sejak PKP saya hanya keluar seminggu sekali untuk ke pejabat dan beli barangan dapur. Namun apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah proses bekerja dari rumah.

Semalam, saya menjadi hilang sabar kerana ada dokumen yang perlu dihantar kepada penyunting tetapi komputer yang telah dimasukkan 'TeamViewer' bermasalah sedikit. Jadinya saya tidak dapat melihat dokumen dari komputer di pejabat. Saya perlu merujuk telefon untuk mendapatkan password, melihat lap top dan memastikan Internet 'mantul' supaya kerja penghantaran dokumen tidak tersekat.

Umar pula memang asyik bermain dengan telefon bimbit apabila saya menggunakan lap top. Tak boleh tegah sebab itu sahajalah hiburan dia di rumah kerana kami memang tiada televisyen.

Bukan masalah peralatan sahaja, ruang dan 'privacy' juga tiada. Sekejap-sekejap mereka (anak-anak) masuk ke bilik untuk menggunakan bilik air atau Umar yang asyik lapar dan berkongsi aktivitinya dengan ibu.

Saya tahu, ini mungkin baharu untuk saya walaupun saya selalu juga buat kerja pejabat atau kerja sampingan di rumah. Namun kali ini, situasi berbeza. Saya buat kerja bukan sebagai sampingan atau penangguhan tetapi memang kena buat. Perasaan tertekan sedikit muncul dan mempengaruhi emosi seluruhnya.

Menulis di Facebook dengan nada bersenda, ramai juga rakan yang memberi reaksi balas. Saya baca kesemuanya. Ada yang berkongsi pengalaman yang sama dan ada juga yang memberi tip. Terima kasih.

Saya tulis juga dalam salah satu komen, "Barangkali Tuhan mahu saya bersedia awal menangani emosi dan menyediakan tempat bekerja yang lebih sesuai jika suatu hari nanti saya benar-benar bekerja dari rumah."

Apabila membuat carian di Google, memang banyak tip malah buku yang boleh menjadi panduan apabila seseorang berkeputusan atau terpaksa bekerja dari rumah atas faktor-faktor tertentu.

Saya percaya, selain jadual kerja yang perlu disediakan, ruang dan waktu bekerja juga menjadi faktor utama. Untunglah mereka yang mempunyai ruang peribadi atau bilik khas untuk melakukan kerja-kerja dari rumah.

Semoga PKP segera berakhir. Rindunya suasana pejabat. :(


No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...