Demikian, hari ini masuk hari ke-9 sejak PKP dilaksanakan akibat tularan wabak COVID-19. Virus yang membunuh ini amat meresahkan saya dan seluruh warga dunia. Datangnya tanpa sapaan, simptom yang seakan selesema, batuk, sakit tekak, tetapi mampu menyerang paru-paru dan seterusnya menyekat pernafasan sehingga meragut nyawa.
Apa khabar kawan-kawan?
Duduk di rumah dengan perintah kawalan pergerakan, bukannya mudah bagi setiap orang. Sama ada yang bekerja ataupun tidak. Ada rezeki yang diperoleh sepenuhnya ketika keluar rumah. Malah rezeki yang diperoleh ketika berada di rumah pun sukar digerakkan atas faktor keselamatan.
Di media sosial, gurauan dan gambar makanan sudah agak berkurangan sejak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pelaksanaan PKP akan dilanjutkan lagi selama 14 hari, bermakna 'kurungan' ini berlangsung sehingga 14 April 2020. Itupun jika kes-kes yang dilaporkan berkurangan dan masyarakat akur dengan PKP.
Tidak dapat disenaraikan satu per satu urusan yang terganggu. Kebimbangan, tidak dapat bertemu ahli keluarga yang jauh serta ekonomi negara (juga dunia) yang meruncing.
Akhir zaman, demikian pandangan orang-orang agama. Ada benarnya, tentang akhir zaman, tentang situasi dan keadaan yang seakan-akan seperti yang dinyatakan dalam Quran.
Hari-hari Kurungan Seorang Zalila
Sumber: Drama Korea bertajuk A Girl Who Can See a Smell |
Saya, yang selama ini menjadikan pejabat dan dunia luar sebagai eskapisme diri dalam menyeimbangkan emosi, agak 'down'. 'Down' yang banyak sebenarnya. Sejak 18 Mac, tidak ke pejabat dan terperuk dalam rumah yang tidak bertingkap ini, sedikit sebanyak saya beremosi.
Apa yang saya buat?
Memasak (ah, ini wajib kerana anak-anak perlu makan), makan, membaca sebuah dua buku dan menonton drama Korea tanpa henti (setiap satu 16 episod) sehingga kepada sakit dan badan lesu.
Drama:
1. Catch a Ghost - Siri penyiasatan jenayah pembunuhan bersiri
2. A Girl Who Can See a Smell - Genre supernatural seorang gadis yang boleh melihat bau dan menyelesaikan jenayah pembunuhan bersiri.
3. The Great Show - Tentang politik dan pemilihan calon
Buku:
1. 7 Petala Sasterawan negara, UMT, 2019
2. Mata, Okky Madasari, 2018,
Dalam tempoh ini, sekali dua ada ke pejabat menyelesaikan beberapa dokumen yang penting dan berharap tiada dokumen baharu perlu diuruskan kerana untuk ke pejabat walaupun sedikit melegakan rasa dapat keluar rumah, tetap membimbangkan.
Apatah lagi ini juga masanya saya singgah ke pasar raya dan membeli keperluan rumah untuk seminggu (walaupun tak sampai seminggu beras 5kg sudah habis).
Facebook pula bermasalah sedikit, entah kenapa. Sedikit sebanyak juga emosi rasa berat kerana apa yang mahu diluahkan, tidak terluah.
Menulis? Tiada mood langsung. Hari ini barulah terdetik mahu menulis di blog, entah kenapa. Kerja-kerja menyunting juga tidak disentuh. :(
Sehari demi sehari, kes meningkat dan saya amat bimbangkan keluarga, bimbangkan rakan dan kenalan, ibu bapa serta sesiapa sahaja yang mudah terjangkiti tanpa sedar.
Ujian yang besar untuk tahun 2020 ini, yang kita sangka ia tahun gemilang, tahun kemjuan dan kebebasan. Tapi, perancangan Allah lebih baik, kan?
BOSAN?
Anak-anak bosan. Data saya dikerjakan semasak-masaknya. Beli dan beli setiap hari (RM2 untuk 10GB) digunakan seisi keluarga kerana kami tak punya televisyen.
Rakan-rakan lain pun pastinya merasai hal yang sama apatah lagi jika rumah mereka bukan syurga seperti orang lain.
Kemurungan dan tekanan perasaan pasti berlaku. Saya doakan semuanya tabah dan bertahan.
PKP Hari ke-9
Hari ini katanya kes berkurang tetapi kematian bertambah.
https://malaysiagazette.com/2020/03/26/covid-19-seorang-lagi-meninggal-jumlah-kematian-meningkat-kepada-21-orang/?fbclid=IwAR3TX_9W9XBT5SSYEnTYKnNKtbKoVn9AD9Hg0OV_5HXECJroSbgObzVd7CA
Berdoalah, semoga semua ini akan berakhir segera.
No comments:
Post a Comment