Sumber: Drama Korea bertajuk Diary of Prosecutor |
Hari ke-11. Apa khabar kawan-kawan? Sudah betah berkurung atau masih rengsa dan gundah? Bagaimana dengan rutin harian? Sudah susun elok-elok atau masih bercempera? Bagaimana rumah atau tempat yang anda diami semasa tempoh PKP ini? Tetap syurga atau sudah menjadi neraka?
Ketika awal PKP dua minggu lalu (bermula 18 Mac 2020), saya menulis satu status di Facebook tentang bagaimana rumah yang didiami ketika tempoh berkurung ini.
Entah. Tiba-tiba terfikir tidak semua rumah boleh disebut Rumahku Syurgaku. Bagaimana dengan orang yang tidak betah di rumah. Yang rumahnya bagai neraka. Yang rumahnya hanya menjadi tempat salin pakaian dan tidur menunggu esok pagi untuk keluar mencari rezeki. Dan kini tempoh 14 gari akan ditambah lagi 14 hari. Oh...
Sebenarnya ketika itu seorang kenalan menghantar mesej, menceritakan keadaan rumahnya, perasaannya yang 'broken' dan sudah tidak mampu berbuat apa-apa ketika tempoh PKP ini - hanya menghadap situasi yang berlaku di rumahnya dengan ketabahan berganda.
"I was diagnosed with bipolar disorder." Demikian dia bercerita tentang tingkah laku bapanya yang bobrok.
Mudah sahaja kita sebagai orang luar akan memberi jalan - "Awak sudah kerja, kan? Keluarlah dari rumah itu. Beli atau sewa rumah lain, bawa emak sekali."
Ya, mudah. Tapi keadaan sebenar tentu memerlukan keberanian, kewarasan dan kekuatan diri mangsa sendiri.
Setiap orang ada masalah tersendiri. Syurga bagi kita, neraka bagi orang lain. Jadi, bagaimana boleh kita bantu? Sentiasa bertanya khabar, memantau tulisan-tulisannya di media sosial agar dapat bertindak awal jika kelihatan sesuatu yang buruk akan berlaku, cuba beri beberapa alternatif lain agar dia dapat keluar dari situasi itu atau sekadar memberi kata-kata manis setiap waktu agar perasaannya tidak memburuk.
Tempoh berkurung yang agak lama ini tentu sukar bagi sesetengah orang. Tapi, apakan daya. Kita perlu kurangkan pergerakan ke sana sini dalam tempoh PKP ini agar virus Corona segera menghilang.
Namun, jika keadaan parah, boleh sahaja kita keluar daripada bumbung yang memedihkan itu. Pergilah ke mana-mana yang kita selesa, Rumah saudara mara, kenalan atau tempat yang boleh menyelamatkan diri sendiri daripada mengalami depresi. Ceritakan kepada pihak polis jika dalam tempoh mahu keluar itu, kita ditahan.
Soal perasaan yang sakit bukan benda main-main. Dalam situasi sengit begini, utamakan diri, jangan sampai kita mati bukan kerana virus tetapi kerana sakitnya hati kepada orang yang tinggal serumah dengan kita.
Rumah Kita
Menonton Kdrama bertajuk Diary of Prosecutor baru-baru ini, saya tertarik dengan pengenalan awal tentang latar tempat yang menjadi landas penceritaan (rujuk gambar di atas).
Bagaimana sesebuah tempat (rumah khususnya) boleh kita labelkan dengan sesuatu - sama ada kita mahu tempat itu menjadi begini atau begitu atau kita merancang sesuatu agar tempat itu menjadi begini atau begitu.
"Inilah rumah saya. Sebuah rumah yang ceria dan dipenuhi adab dan ilmu." Contohnya.
Sebuah rumah yang dihuni mungkin lebih daripada dua orang memerlukan satu 'label' yang dinamakan haluan atau harapan agar isi rumah yang berlindung di dalamnya akan menjadi seperti apa yang kita inginkan - mahukan suami/isteri yang berilmu dan bertolak ansur, mahukan anak-anak yang bijak, soleh solehah dan menyenangkan, mahukan isi rumah yang bersatu dengan tujuan dan fikiran yang sama....
Semuanya memerlukan usaha banyak pihak.
Banyak kali juga dengar kisah pasangan saling menyalahkan antara satu sama lain, mengungkit kesilapan lampau atau mengkritik keturunan masing-masing (hello, tiada siapa paksa kau kahwin dengan aku. Kalau sibuk memburukkan keturunan aku, kau boleh berhambus!)
Sangat menjelekkan jika pasangan sibuk meletakkan kesalahan kepada pasangannya atas soal mendidik anak, menguruskan rumah tangga dan lain-lain.
JELEK!
Teringat Dr. Muhaya menyebut tentang blue print ketika saya menemu ramah beliau mengenai isu kekeluargaan.
"Sangat sukar menemukan titik persamaan antara pasangan kerana masing-masing datang daripada keluarga yang berbeza latar belakang dan budaya. Blue print setiap manusia memang berbeza."
Jadi, apakah titik pemula atau titik tengah untuk menyatukan hal yang berbeza ini?
Tentulah saling percaya dan menerima kelemahan masing-masing serta berazam bersama-sama membina sebuah rumah yang bahagia. Tapi, ramai yang gagal berbanding berjaya, kan? Lumrah dan asam garam rumah tangga diibaratkan seperti 'sedangkan lidah lagi tergigit' yang menggambarkan lidah dan gigi yang elok diletakkan dalam sebuah ruang (mulut) pun kadang tergigit juga.
Namun, harus diingat juga, perkahwinan bukan 'ultimate' dalam hidup manusia. Perkahwinan bukan jalan akhir untuk menemukan bahagia atau melengkapkan kehidupan. BUKAN!
Jadi, tidak salah jika kita mengambil keputusan untuk menarik diri, meninggalkan sesuatu yang kita tidak mampu lagi untuk tangani atau hadapi. Jangan takut dengan perpisahan kerana itu juga sebahagian perjalanan hidup manusia. Mungkin dengan perpisahan itu, kita akan menemui jalan baharu yang lebih baik dan bahagia.
Ambillah keputusan dengan tepat dan berhentilah menyakiti hati pasangan/anak-anak kerana dosa menyakiti hati orang lebih besar daripada berpisah (bercerai).
Rumahku Syurgaku, kitalah yang mengisinya!
RUMAH awak, bagaimana?
No comments:
Post a Comment