Friday, March 27, 2020

PKP: Hari ke-10


Sumber: Drama Korea bertajuk The Great Show


Hari ke-10 PKP, apa yang saya jangkakan? 

Tiada jangkaan. Cuma berharap situasi semakin reda walaupun ini fasa/puncak Covid-19 mengganas di seluruh dunia. Setakat semalam, kes di Malaysia terus meningkat (positif Covid dan kematian). Walaupun tidak sebanyak negara lain, tetap membimbangkan apatah lagi sudah ada kawasan yang diperintahkan 'lockdown'. 

Tugasan pejabat juga ada beberapa yang perlu diselesaikan tetapi saya sudah berazam untuk keluar hanya sekali seminggu. Jika keluar saya akan ke pejabat selesaikan kerja yang sepatutnya, tidak berlama, mungkin hanya dua atau tiga jam sahaja. Balik dari pejabat terus singgah pasar raya Hero dan beli barangan dapur.

Hand Sanitizer baru sampai pagi tadi. Harap membantu mengurangkan risiko kami sekeluarga. Masak macam biasa walaupun sudah kehabisan idea mahu masak apa (padahal masak itu-itu sahaja). Huh, skil memasak saya memang terhad memandangkan semua yang ada di rumah ini tidak memilih dan tidak meminta. Alhamdulillah, kan?

Hari ke-10 saya sudah agak waras - boleh menulis dan membaca sikit-sikit. Berazam mahu kemas rak depan. Sebenarnya ada beli meja kerja kecil dan sebuah kerusi empuk yang relatif murah untuk kegunaan di rumah. Tapi barangan dialamatkan ke pejabat. Harap sampai sebelum Rabu depan. Bolehlah menulis dan membaca dengan lebih selesa.

Menulis? 

Menonton beberapa drama Korea dan Jepun beberapa hari ini serta membaca novel Mata karya Okky Madasari mengingatkan saya bahawa menulis bukanlah sukar mana. Hanya perlukan konsistensi, seperti yang saya gembar-gemburkan dengan banyak kali di FB sebelum ini. 

Hanya tahu menasihati tapi sendiri tidak melakukannya. Sebab tiada tekanan untuk melakukannya?

Agak banyak juga aktiviti penulisan dijalankan termasuk buat zine sendiri, bengkel penulisan dan pertandingan menulis semasa situasi Covid berlangsung. Ye la, masing-masing berusaha meneruskan kerja-kerja dalam industri ini walaupun situasi menyekat pergerakan. 

Saya diingatkan oleh dia, kawan baik saya, agar segera siapkan novel dan kumpulan puisi untuk pertandingan menulis oleh PENA. Saya sambil lewa sahaja. Tiada keyakinan. Tapi sebelum-sebelum ini pun begitulah perangai. Menulis suka-suka. Ada juga yang menang kan? Jadi, mengapa tidak saya menulis dengan lebih serius dan fokus? 

Selamanya mahu bekerja makan gaji? Apatah lagi kerja terkini pula bukanlah sesuatu yang saya cintai seperti kerjaya editor.

Semoga tempoh ini mengajar saya sesuatu yang bermakna. Dan bukan sekadar hanyut ditelan masa.

Ingat, Zalila... had waktu manusia tidak lama, dan tidak tentu bila penamatnya. Jadilah manusia yang hidupnya memberi manfaat yang banyak dan tidak terputus walaupun sudah mati kelak.





No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...