Jika kes berkurangan dan keadaan reda, mungkin hari ini kita sudah menamatkan kesengsaraan berkurung dan kembali kepada rutin biasa. Tapi, demikianlah virus punya angkara. Maka, hari ini menjadi hari ke-15 fasa PKP.
Apa khabar awak hari ini? Didoakan baik-baik sahaja dan bertahanlah!
Seminggu Sekali Sahaja!
Demikian saya menetapkan pergerakan dalam tempoh PKP. Hanya sekali dalam seminggu, pilihlah hari apa, untuk saya ke pejabat bagi kerja-kerja cetak dokumen, cap dan tandatangan sebelum diimbas (scan) dan die-mel kepada pelanggan.
Seminggu hanya sekali. Dan saya memilih hari RABU. Tiada sebab khusus mengapa hari Rabu dipilih. Mungkin kerana kebanyakan dokumen diselesaikan pada hari Rabu. Mungkin. Tetapi jika ada keperluan mendesak (pembetulan segera), maka saya akan keluar juga untuk menyelesaikannya.
Pada waktu begini, saya akan cuba menggunakan peluang keluar rumah ini sebaik-baiknya. Jika ada urusan lain (beli barangan keperluan dapur dan pos barang), akan diselesaikan dalam tempoh hari itu juga. Seronoknya keluar rumah, ya Allah... bagai mendapat udara baharu, bagai bercuti ke tempat paling indah tanpa gangguan (ya, kenderaan tidak banyak dan tidak bersesak di pasar raya).
Sebenarnya, boleh sahaja jika mahu keluar setiap hari. Asalkan keluar sendirian. Tiada masalah. Saya memang biasa ke sana sini dan uruskan itu ini sendirian. Cuma, kebimbangan terhadap virus yang tidak kelihatan itu meresahkan saya dan tentunya jika diminta ke pejabat setiap hari pun saya akan memohon untuk longgarkan syarat.
Siapa yang berani berperang dengan musuh yang tidak kelihatan kan?
Erti Kebebasan
Demikian, fitrah manusia, selain bernafsu-nafsi ialah inginkan kebebasan. Tiada siapa suka dipaksa-paksa dalam menjalani kehidupan. Tapi kebebasan sebenar bukanlah bermakna boleh melakukan apa sahaja tanpa batasan.
Kita boleh bercakap tentang kebebasan diri sendiri dalam melakukan sesuatu perkara. "Suka hati akulah, duit aku", "Suka hati aku nak buat apa, ini dunia aku...".
Tetapi sebagai manusia yang darjatnya diangkat lebih tinggi daripada makhluk lain, tentunya apa yang kita lakukan akan memberi natijah atau kesan kepada orang sekeliling sama ada kecil atau besar. Kerana kita bukan hidup sendirian di dunia ini.
PKP yang dilaksanakan kerana ia mampu menyekat penyebaran virus. Tidak seperti di beberapa negara lain yang teruk diserang Covid-19 yang sudah 'lockdown', kita masih dalam situasi terkawal.
Gunakan PKP ini untuk menyelesaikan hal-hal yang perlu sahaja. Jangan berkeliaran tanpa sebab yang munasabah. Jadilah rantaian yang mengekang wabak ini daripada terus menular dan bukannya menjadi penyebar atas nama kebebasan diri.
Kebebasan umpama angin. Angin yang sederhana akan memenuhi ruang, menyejukkan kepanasan, menyamankan bumi. Angin, jika terlalu kuat berhembus, api yang kecil akan menjadi marak membakar tiap isi bumi, menjadi taufan, menjadi ribut menghentam setiap isi dunia.
No comments:
Post a Comment