by me. |
Ketika menuliskan tajuk ini, mata saya hampir tertutup kerana kepenatan amat. Hari ini memang hari yang 'hectic'. Saya terfikir, sebagai orang sastera dan orang buku, saya sepatutnya meletakkan tajuk yang lebih sesuai - lebih sastera, lebih simbolik dan puitis. Ah.
PKPKB hari ketiga, beginilah. Segalanya sudah mula kembali kepada kebiasaan lama. Orang ramai berpusu-pusu keluar -bekerja dan melunaskan keperluan harian. Keadaan kembalis esak. Udara kembali kotor, bumi kembali 'semak'.
Minggu depan juga jadual baharu kerja sudah keluar. Baguslah. Cuma kasihan anak-anak masih terperap di rumah. Apa boleh buat.
Bagaimana ia bermula...
Kita selalu ingin tahu bagaimana sesuatu itu bermula. Sama ada ia bergerak secara kronologi, atau jungkar balik. Bercakap soal plot, saya suka membaca catatan Dr. Fatimah Busu tentang PLOT. Setiap cerita terdapat pelbagai cara mengisahkannya. Mahu bermula dari mana? Kitalah yang memilih dan bertanggungjawab mengisinya.
Setiap kisah, menarik atau tidak bergantung bagaimana cara kita memulakannya, mengisi ceritanya dan mengakhirinya. Sebetulnya saya sangat letih ketika menulis blog ini. Namun saya perlu tinggalkan cerita hari ini di sini. Bukanlah bermakna cerita saya menarik. Sekadar mahu berlatih menulis sahaja.
Hari ini cerita saya bermula dengan indah. Bangun sahur tepat pada waktunya, memasak lauk-lauk baharu (yang bukan dipanaskan) dan Umar berkali-kali mengucapkan terima kasih kerana lauk sedap. Entah kepenatan apa, selepas sahur saya tertidur sebentar sebelum terjaga dan jam menunjukkan pukul 7.30 pagi. Kelam kabut bersiap kerana hari ini saya sudah memulakan hari bekerja mengikut waktu pejabat yang biasa - 8.00 pagi-4.30 petang.
Sampai di pejabat, memulakan kerja dengan menyisihkan dokumen yang perlu dihantar hari ini sebelum menyemak dan memproses dokumen baharu - cetak, hubungi penterjemah. Entah bagaimana, hari bekerja bermula agak kalut. Dengan selitan e-mel itu ini, urusan itu ini, menjawab mesej peribadi, menyemak hal-hal lain dan ketika jam menunjukkan pulul 10.30 pagi barulah saya perasan ada tiga dokumen baharu yang saya fikir 'deadline' pada minggu depan rupa-rupanya perlu dihantar kepada pelanggan hari ini juga dengan tandaan 'ambil sendiri'. Bermakna pelanggan akan datang ambil bahan terjemahan sendiri!
Pergelutan bermula!
Saya hubungi penterjemah semula. Jika sejam sebelum ini saya baru menghantar e-mel melantik mereka menjadi penterjemah, maka jam ini saya hubungi mereka, memohon bahan dihantar sebelum pukul 2 petang. Mujurlah bahan semua ringan sahaja; Sijil akademik, 1 halaman. Selepas penterjemah menghantar bahan (paling lewat jam 2 petang), saya segera menghantar bahan tersebut kepada penyunting. Alhamdulillah, Sufian sekali lagi menyelamatkan saya. Tidak sampai 15 minit semua bahan selesai disemak dan saya segera menghantarnya.
Kecuaian saya apabila melihat dokumen masuk semalam (hari Khamis saya ke pejabat untuk memuat turun dan buat sambungan Teamviewer antara PC pejabat dengan lap top) ialah tidak menyemak dokumen tersebut dengan teliti. "Ah, tak apalah. Esok (Jumaat, hari ini) saya akan datang juga ke pajabat. Padahal dokumen itu sudah dimasukkan dalam senarai tugas saya sejak hari Selasa! Silapnya Teamviewer bermasalah dan saya tidak menyangka akan jadi kekalutan begini, hari ini.
Selesai segala tugas dokumen itu, saya segera berkemas. Hasrat hati mahu membuat pesanan makanan dalam talian juga jadi lemau melihat kelewatan begini tentunya tidak banyak tawaran makanan yang dibuka.
Melihat kedai-kedai makan yang dibuka pula. punyalah ramai orang beratur. Jam menunjukkan pukul lima petang ketika saya sampai di rumah. Segera memanggil Umar, mengajak dia keluar mencari juadah berbuka.
Selesai semua. Balik. Berbuka. Dan rasa amat letih. Tapi lega, kerana kekalutan yang disebabkan kecuaian diri dapat diatasi. Saya menggambarkan hari ini seperti:
Jika mahu digambarkan bagaimana hari ini, mungkin boleh dilihat seperti kekalutan PM7 letak jawatan, Langkah Sheraton dan akhirnya kerajaan baharu dibentuk dengan aman.
No comments:
Post a Comment