Monday, May 25, 2020

Find Me in Your Memory



2 Syawal 1441H. Raya kedua, sudah tiada suasana hari raya di rumah ini. Kepenatan semalam memberi ingatan bahawa penatnya emak memasak tidak henti setiap kali hari raya. Lenguh sungguh kaki berada di dapur memasak dan menyediakan juadah. Pengalaman berharga ini akan saya kenang dan jadikan iktibar. Terima kasih Covid-19. Eh.

Semalam sambutan raya kami amat sederhana. Seawal pagi saya memasak, menggosok baju dan bersiap untuk bermaaf-maafan. Anak-anak solat pagi raya dengan babahnya. Khutbah ringkas dibacakan. Takbir raya dilontarkan.
Adik-adik datang beraya, berbual, bervideo 'call' dengan keluarga belah sana dan sini. Makan. Makan. Tidur. 

Menjelang malam semua sudah lesu. Saya buka lap top, buat sedikit kerja suntingan dan menyambung tontonan Kdrama ini, Find Me in Your Memory.

Antara mengingati dan melupakan...

Dalam jutaan manusia di dunia, katanya hanya 20 orang (lebih kurang) pesakit Hyperthymesia dan di Korea hanya seorang, Lee Jung Hoon. Demikian drama ini memulakan cerita. Jung Hoon kemudiannya menarik minat seorang doktor untuk melakukan kajian ke atasnya. Masa berlalu, Jung Hoon dewasa dengan baik, menjadi teraju utama dalam program penting (berita utama) di sebuah syarikat penyiaran dan mula menjalinkan hubungan dengan sorang wanita. 

Malang menimpa, kekasihnya mati dibunuh oleh seorang 'stalker' yang mental. Hari berganti hari, Jung Hoon meneruskan kehidupan dengan beban ingatan yang mendera perasaan. Setiap hal pedih, gembira tidak dapat dilupakan.

Suatu hari Jung Hoon ditugaskan menemubual seorang artis wanita, Yeo Ha Jin. Sesuatu berlaku semasa program berlangsung. Jung Hoon terdiam, terpelanting kepada ingatan bekas kekasihnya dan keadaan sangat mencemaskan (terdiam semasa bersiaran). 




Hal ini menjadi pemula kisah Jung Hoon dan Yeo Ha Jin yang masing-masing mempunyai sejarah yang berkaitan dalam situasi sakit yang berbeza - Jung Hoon tidak dapat melupakan, manakala Ha Jin melupakan dan harus melupai sejarah lampaunya. Cerita mereka berdua sangat berkait rapat dan akhirnya berlaga dalam satu konflik antara melupakan dan mengingati.

Ingatan

Drama ini menarik daripada aspek tema yang dibawa. Walaupun aspek hyperthymesia tidak kuat digambarkan (tidak mendalam), beberapa babak menceritakan penderitaan Jung Hoon hidup dalam memori yang penuh - tentang kematian kekasih ketika salji turun, tentang kegembiraan bersama ibunya, ketakutan kepada bapanya yang pernah mengurung dia dalam almari dan manfaat kepada kerjayanya - yang mengingati banyak peristiwa lalu membolehkan dia menguruskan hal kerja dengan cemerlang selain menghafal skrip!

Saya sangat suka babak-babak berkenaan ibunya.

1. Segala kenangan zaman kecil, berupa perkataan, perbuatan dan material (pensel, pen, batu, mainan) merupakan ingatan abadi seseorang tentang ibu yang dikasihi. 
2. Ketika ibu Jung Hoon meninggal, dia tidak mahu Jung Hoon tahu yang dirinya akan terlantar di hospital dan mati. Ibu Jung Hoon merayu kepada suaminya agar kematiannya tidak diberitahu kepada anaknya, Jong Hoon, agar anaknya itu tidak 'merakam' momen sedih perpisahan itu. 



Kita, bagaimana ingatan kita terhadap seseorang dan sesuatu? Bersyukurlah sel otak kita mampu melupakan sesuatu yang tak perlu kita ingati. 

Maklumat lengkap drama: 

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...