Monday, May 11, 2020

PKP Hari Ke-55: Debaran Semusim di Cotabato



Hari ini hari ke-55 PKP dan esok hari terakhir untuk PKP sebelum menyambung PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat selama sebulan sehingga 9 Jun. Saya tidak tahu sama ada mahu menyambung tajuk entri bermula dengan PKP atau terus kepada tajuk. Tengok mood bagaimana.
Hari ke-55, perasaan berbaur. Antara gembira kerana kes positif Covid-19 semakin berkurang dan banyak sektor mula beroperasi kembali, dengan gusarnya hati kerana virus ini masih berlegar-legar di sekitar.

Dalam situasi begini, saya masih bersyukur walaupun berasa janggal dengan normal baharu ini. Bersyukur kerana Malaysia masih aman terutama selepas membaca buku ini: Debaran Semusim di Cotabato oleh Muhaymin Wahab.

Misi Damai di Mindanao

Mengenali Muhaymin melalui beberapa projek penulisan sebelum ini masih belum mengakrabkan kami untuk mengenali lebih jauh latar belakang beliau. Memilih untuk membeli bukunya ini pun, saya berada dalam pertimbangan 50/50 dengan pelbagai persoalan: Berbaloikah saya membeli buku ini walaupun harganya hanya RM20? Adakah saya mampu menghabiskan bacaan? Adakah ceritanya sekadar pengalaman bekerja yang biasa-biasa dengan gaya penceritaan yang klise?

Muhaymin merupakan petugas dalam Pasukan pemantau Antarabangsa Mindanao 13 (IMT M-13) yang menghabiskan masa selama setahun di bumi bergolak dan penuh konflik, Mindanao. Beliau bukan sahaja membawa nama Malaysia dalam misi menjadi pihak tengah antara kumpulan-kumpulan yang bergolak di sana (Filipina), tetapi juga menaruhkan keselamatan dan nyawa sepanjang berada di sana.

Ketika memulakan bacaan buku ini, saya baru habis menonton drama Korea bertajuk Crash Landing on You. Sedikit sebanyak pergolakan antara Korea Selatan dengan Korea Utara melatari pembacaan buku ini - di samping catatan-catatan berunsur humor, debaran dan gambaran indah tempat-tempat menarik di Manila. 

Muhaymin memulakan catatan dengan sedikit sejarah ringkas menggambarkan situasi yang melanda bumi Mindanao sejak ratusan tahun lalu sehingga hari ini. Jujurnya saya kurang mengamati sejarah yang bersifat geografikal begini. Sambil membaca, sambil Google peta. Ha ha ha...

Penceritaan bersifat kronologi - tentang hari pertama tiba di sana, persepsi awal dan kelainan-kelainan yang ada di tempat mereka ditugaskan. Ini banyak membantu pembaca seperti saya mengenali latar tempat dan budaya di sana dengan lebih jelas. 

Kemudian peristiwa demi peristiwa diceritakan yang bersifat penuh debaran, kelakar, sedih, mengenali hal-hal baharu, memberi pengajaran betapa bertuahnya kita berada di negara yang aman dan maju serta catatan-catatan kembara Muhaymin di beberapa tempat menarik di sana.

Melalui buku ini kita diperkenalkan dengan bandar Cotabato yang menjadi sarang pengganas dan nyawa begitu mudah melayang di sana. Diperkenalkan lebih dekat dengan 'Bangsamoro', Intelligent Officer, MILF, Kerajaan Sulu dan beberapa istilah lain yang selama ini hanya diketahui melalui berita di media massa sahaja.

Di samping keadaan persekitaran yang mundur 20 tahun ke belakang berbanding Malaysia membuatkan kita sedar tentang negara-negara kecil dan terpinggir yang masih wujud di mana-mana. Cerita tentang puak-puak yang bertelagah, anak-anak yang miskin, pembunuhan demi pembunuhan dan cerita-cerita santai berbentuk kebudayaan benar-benar melengkapkan kembara imaginasi saya ke bumi Mindanao itu.

Dengan gaya bahasa yang tidak meleret dan penerangan istilah tertentu yang jelas, pembacaan lebih mudah dan lancar. 

Selesainya pembacaan buku ini, saya fikir harga RM20 terlalu kecil berbanding pengalaman yang dikongsikan oleh Muhaymin kepada pembaca. Pengalaman berharga ini tentunya menjadi salah satu pintu kesedaran kepada pembaca tentang dunia dan kerenah-kerenah manusianya yang ada antaranya tak terjangkau dek akal yang logik.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...