Friday, May 01, 2020

PKP Hari Ke-45: Tentang Pintu ...


Laylahaq.Blogspot.com

Diberitakan oleh Perdana Menteri Malaysia, 4 Mei bakal berlaku pelonggaran PKP kepada separuh sektor ekonomi. Sekolah dan institusi pendidikan tinggi masih tutup. Pergerakan merentas negeri dibenarkan kepada yang keluar bekerja dan yang lama terkandas di kampung. Hari raya, tidak dibenarkan balik kampung. 

Perasaan berbaur. Antara sedikit lega apabila ada kelonggaran dan sedikit gerun memikirkan bagaimana bentuk pergerakan awam yang akan berlaku Isnin nanti? 


Mulakan bekerja? Saya okey sahaja memandangkan staf ITBM pun sudah tidak ramai mana. Cuma nanti bagaimana pengawalan virus Corona ini akan dipantau?

Pintu yang terbuka dan tertutup

Tiada apa yang saya mahu ceritakan hari ini. Buku masih belum banyak yang dibaca. Tentang kerja yang bertimpa-timpa, tentang minat dan hilang selera. 

Sejak akhir-akhir ini perasaan sedikit ________ (saya tidak tahu bagaimana mahu gambarkan perasaan ini). 

Tentang seseorang, tentang perkenalan, tentang harga diri. Tentang bagaimana kita tidak mahu membuka pintu kerana bimbang angin yang menerpa akan menyejukkan tubuh. Bimbang jendela ini jika dibuka akan tempias oleh hujan. Tapi angin dan hujan yang datang begitu lembut meniup dan halus titisnya sehingga kita pun terpesona, teringin membuka pintu dan jendela lebih luas dan menikmati dingin dan halus titisnya. 

Musim berubah. Angin dan hujan yang bermain-main di pintu dan jendela kita pun semakin kita akrabi, malah sesekali kira rindui. 

Namun entah kerana apa, tiba-tiba angin dan hujan itu menghilang. Tiada rasa dan baunya pun.

Seharian kita tunggu, kita buka pintu setiap waktu, kita berteleku di jendela saban masa - hujan dan angin semakin jauh meninggalkan kita. 

Ya, begitulah perasaannya beberapa hari ini. Tentang ruang dalam diri yang kosong entah kenapa. Mungkin ini masanya untuk saya menampar pipi sendiri, jangan berkayal, lupakan segala percakapan dengan hujan dan angin yang pernah menyinggah dan bersedia menghadapi musim baharu yang entah apa pula cabarannya.

Saya berharap semua ini akan segera berlalu kerana saya bukan lagi remaja yang punya banyak waktu dan ruang untuk bermain-main dengan perasaan.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...