Saturday, May 16, 2020

PKPB 4: Itaewon Class



Kelelahan semalam menatijahkan hari ini yang perlukan rehat secukupnya. Hasrat untuk ke pejabat menyambung semula Teamviewer yang terputus, dibatalkan. Cuaca panas. Dikhabarkan juga di sana sini kes covid-19 bertambah walaupun bilangannya sikit. Mungkin kerana PKPB yang dilaksanakan sejak seminggu lepas membuatkan orang alpa tentang penjarakan sosial, mask dan kebersihan.

Ada beberapa kerja yang 'segera' tetapi saya tiada daya mahu menghadapnya. Kemas baju yang menyendatkan almari - memilih beberapa pasang baju kurung yang tamat perkhidmatannya dan memikirkan tentang raya yang entah macam mana. Akhirnya, saya mengambil keputusan menyambung tontonan drama 'kekerasan hidup' ini: Itaewon Class (2020)

Itaewon Class: Perjuangan menebus maruah


I’m a rock. Go ahead and sear me. I won’t budge an inch because I’m a rock. Go ahead and beat me up. I’m a solid rock. Go ahead and leave me in the darkness. I’m a rock that will shine all alone. I don’t break, I don’t burn, nor do I decay, as I go against nature’s way. I survive. I’m a diamond.
— Gwang Jin

Drama 16 episod ini merupakan adaptasi daripada Webtoon. Itaewon Class bermula dengan babak yang keras - Park Se Ro Yi menumbuk seorang pembuli, Jang Geu Won, anak seorang kaya (Jangga.Co) dan anak kepada majikan bapanya. Seperti drama biasa, orang kaya membuli si miskin, begitulah drama ini bermula.

Park Se Ro Yi (PSRY) diminta meminta maaf dan berlutut (bersujud - tanda minta maaf) kepada Jang Geu Won. Kerana didikan bapanya, PSRY enggan malah mempertahankan kewajarannya menumbuk anak orang kaya ini. Kesannya, PSRY dibuang sekolah dan bapanya meletakkan jawatan kerana bangga dengan prinsip yang dia dan anaknya pegang.

Hidup diteruskan. PSRY dan bapanya berhasrat membuka sebuah restoran makanan apatah lagi bapa PSRY merupakan orang kuat dalam syarikat besar Jangga Co. yang terkenal dalam industri makanan. Hasratnya tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan dan maut. Lebih Menyayat hati, kemalangan itu disebabkan oleh Jang Geu Won (JGW). Walaupun JGW tidak sengaja (memandu dalam keadaan mabuk), tindakan Jang Dae Hee (bapa JGW) menyembunyikan kesalahan anaknya tidak dapat diterima oleh PSRY, lalu dia menyerang JGW di hospital. Akibatnya dia dipenjarakan tiga tahun. 

Dalam penjara, PSRY tidak berputus asa. Atas sokongan kawan baiknya, So Ah (yang disukainya), dia berazam mahu bangkit mengalahkan dan menghancurkan Jangga Co. apabila keluar daripada penjara kelak. Dalam penjara dia menghabiskan masa menelaah autobiografi Jang Dae Hee dan mula belajar selok belok pemasaran indusri makanan. 



Keluar dari penjara, PSRY mula mengatur langkah, bekerja sebagai nelayan di laut dalam selama tujuh tahun dan kemudian membuka sebuah Pub kecil bernama DamBam. Di situlah dia bertemu dengan 'orang-orang' yang dipercayai dan dijaga dengan baik. Menariknya setiap pekerjanya ini terdiri daripada manusia yang aneh tetapi atas jagaan yang baik mereka menjadi sebuah pasukan yang kuat. Kegagalan Dambam pada peringkat awal membuatkan mereka bangkit dan menamakan pasukan mereka Itaewon Class.



Seperti drama biasa, jatuh bangun perniagaan menjalari plot sehingga akhir. PSRY yang membangunkan Itaewon Class menjadi syarikat yang besar mula berlawan dengan Jangga Co. Pengkhianatan, persahabatan, kekeluargaan menjadi teras drama ini. 



Secara jujurnya saya tidak nampak kekuatan tajuk Itaewon Class untuk drama ini kerana sepanjang babak menceritakan cita-cita PSRY mendendami Jangga Co. Tapi ia bukan isu yang besar kerana drama ini memang mengesankan.

Tentang beri dan terima

PSRY tersepit antara dua wanita yang sangat bererti dalam hidupnya mengejar cita-cita - mahu jatuhkan Jangga dan mahu jadikan Itaewon Class (IC Co.) sebagai syarikat peneraju industri makanan Korea.

So Ah, rakan sejak zaman sekolah yang tahu segala sejarah hidupnya dan sanggup berkorban untuk bekerja di Jangga kerana mahu menyelamatkan PSRY. Sejak awal dia dan PSRY menyukai antara satu sama lain dan terikat dengan janji - hanya akan bersama PSRY jika PSRY sudah kaya, akan menyelesaikan semua dendam, membebaskan So Ah daripada ikatan Jangga.

Manakala Jo Yi Seo, seorang gadis muda dengan IQ luar biasa tetapi liar dan bebas. Dibesarkan dengan keinginan sendiri, seorang 'influencer' blogger dan hidup dalam kekosongan. Dia mula temui erti hidup apabila bertemu dengan PSRY dan menyanggupi apa sahaja untuk membantu PSRY memenuhi cita-citanya. Dia mengetahui kisah perit lelaki yang berusia 10 tahun daripada usianya dan berazam menjadikan lelaki itu kepada 'somebody'.

Antara cinta yang menuntut macam-macam pengorbanan dengan cinta yang mendorong, membantu, sedia ada susah dan senang - yang mana satukah pilihan PSRY?

Saya suka dialog Yi Seo ketika mendapatkan bukti pembunuhan bapa PSRY - "Aku sanggup berbuat apa sahaja untuk orang yang aku cintai. Aku boleh jadi gila berhadapan dengan orang yang menyusahkan PSRY."

Akhirnya, drama ini mengajar tentang maruah diri, tentang integriti, kepercayaan kepada orang-orang dalam pasukan dan menghargai setiap peluang yang ada dengan semangat yang tinggi. 



"Hidup tidak pernah berakhir walaupun kau seorang banduan. Hidup sentiasa perlu dimulai walaupun jatuh seteruk mana."

Selain kisah perjalanan hidup dan cinta, Itaewon Class sebetulnya mengangkat isu ekonomi dan sosial dengan baik. Banyak hal dipelajari melalui industri makanan, politik syarikat dan amalan pemasaran, serta kelas sosial yang berlaku di mana-mana. Beraninya Itaewon Class juga apabila mengangkat isu 'rasis' orang kulit hitam (Toni) dan transgender (Hyun Yi).
Maklumat lengkap:







No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...