Monday, May 04, 2020

PKP Hari Ke-48: Crash Landing On You




Sebetulnya saya menghabiskan drama ini semalam, membunuh waktu yang terlalu lama bergulir. Namun, sehingga hari ini bayangan Kapten Ri (Hyun BIn) yang elok rupa paras dalam pakaian seragam tentera ini mengganggu fikiran. 


Mujurlah kerja-kerja pejabat berjaya dilangsaikan walaupun sesekali dialog dan senyuman Hyun Bin menampar realiti. :P

Crash Landing On You sebuah drama konflik dua negara

Sebetulnya saya tidak berniat mahu menonton drama ini. Beberapa hari lalu menonton Secret Garden, sebuah drama 2010 yang dibintangi oleh Hyun Bin 'zaman kurus' dan 'kayu'. Kerana terlalu bosan dan tidak sabar, saya berhenti menonton drama itu lalu mencari drama Hyun Bin yang terkini. 

Ketika semua orang 'gila bayang' akan Kapten Ri ini, saya tidak turut serta kerana tidak mahu hanyut dengan komen-komen orang tentangnya. Saya mahu menonton dengan damai dan tenang. Maka semalamlah harinya. 


Cerita bertemakan cinta, kekeluargaan dan kenegaraan. Menariknya ia melibatkan dua negara yang bersempadan dan penuh konflik - Korea utara dan Korea Selatan. 

Yon Se-Ri, seorang wanita kaya, yang mempunyai masalah kekeluargaan membuat penerbangan paragliding (uji produk keluarannya iaitu baju paragliding). Ribut melanda dan dia terdampar di sebuah hutan memasuki kawasan Korea Utara. Se-Ri ditemui seorang tentera elit khas, Ri Jyeong Hyeok.


Kerana kasihan (atau cinta pandang pertama agaknya) Kapten Ri menyembunyikan Se-Ri di rumahnya dengan niat mahu menghantar Se-Ri ke sempadan tanpa melalui badan siasatan khas Korea Utara yang pastinya lebih rumit dan boleh membawa ke arah yang tidak terjangka - penceroboh akan dibunuh.

Menariknya cerita ini mengangkat kedua-dua negara yang berkonflik itu. Se-Ri mempelajari banyak perkara tentang Korea Utara yang dia sendiri tidak mahu melaluinya, sering memuji negaranya. Banyak kemajuan, dialek dan budaya yang dapat dilihat berbeza antara kedua negara itu.




Seperti biasa, hero dan heroin bercinta. Adegan menarik dan menyayat hati berlaku. Tentang pengkhianatan kawan, tentang musuh yang ingin menghancurkan, cinta tiga segi, kekeluargaan, kesetiaan dalam persahabatan dan pertempuran-pertempuran ringan.
Malah, banyak lawan dan adegan lucu dapat dinikmati menyeimbangkan babak cemas dan sedih. 

Sebenarnya tidak banyak perkara yang ingin saya ulaskan melalui drama ini. Cerita yang biasa-biasa tetapi sedap ditonton. 

Ada buku, ada kamera dan kenangan, ada Switzerland, alunan muzik, ada kebetulan dan takdir, ada air mata, kasih sayang kekeluargaan dan kekacakan watak berseragam tentera. :)

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...