SplitShire from Pexels |
Isnin, dan lagi seminggu raya akan menjelang. Tiada persiapan, tiada bayangan, tiada apa-apa. Beginilah perasaannya orang yang sebatang kara dan hidup sendirian di kota yang asing? Baju raya, kuih raya dan kemeriahan raya tidak terasa. Begitu penangan virus yang sekecil kuman.
Tapi, manusia tidak insaf. Suasana benar-benar kembali kepada asalnya apabila Parlimen bersidang semula. Kemunculan watak-watak politik negara mula menjadi kebisingan dan sampah-sarap yang memualkan.
Ingatkan saudara/i beberapa bulan yang lepas ketika kita terkurung dalam PKP? Tiada kebodohan dan kemualan muka politik muncul. Segalanya aman dan baik-baik sahaja. Dan hari ini, mereka muncul lagi.
Hujan lebat dan kita tidak akan ke mana-mana...
Begitulah perasaan menjelang hari raya dalam situasi PKPB. Suasana seperti mendung yang berat dan hujan yang melimpah selepasnya. Tak berhenti. Mebecakkan jalan, mengeruhkan sungai, melencunkan apa sahaja yang terterpa olehnya.
Dari jendela, kita melihat titis-titis hujan. Satu-satu, dengan bunyinya yang penuh gemuruh.Kita pandang langit dan perlahan-lahan mengikuti perjalanan rintik hujan ke bawah - bumi. Pohon-pohon segar, menari bersama-sama hujan.
Kita hanya duduk di rumah, menikmati makanan sedia ada. Menghitung detik dan waktu agar esok segera menjelma. Habiskan cepat hari ini. Hujanlah puas-puas hari ini. Bersihkan semua.
No comments:
Post a Comment