jiwa (جيوا)
- 1. nyawa, roh (yg ada dlm tubuh manusia); berhutang ~ berhutang nyawa (kerana membunuh orang lain); melayang ~nya mati; membuang ~ membunuh diri; merentang ~ hampir akan mati; putus ~ mati; 2. batin (perasaan, fikiran, cita-cita, dll yg terkandung dlm hati manusia): buku itu mencerminkan ~ pengarangnya; ilmu ~ pengetahuan mengenai batin manusia, psikologi; penyakit ~ penyakit batin (gila dll); 3. benda atau orang yg memberi kegiatan serta semangat kpd sesuatu pertubuhan dll: dialah yg merupakan ~ pergerakan pemuda di kampung itu; 4. buah hati, kekasih: oh ~ku, hanya engkau seoranglah yg kucintai; 5. penjodoh bilangan dlm menghitung penduduk, orang: kampung ini mempunyai beberapa ratus ~ penduduk; cacah ~ = pencatatan ~ penghitungan jumlah penduduk, banci; 6. maksud yg sebenarnya, maksud yg tersirat: segala tindakan yg diambil haruslah sesuai dgn ~ perjanjian persahabatan yg telah ditandatangani itu; ~ raga ki daya usaha yg sungguh-sungguh: dia mengorbankan seluruh ~ raganya utk membesarkan anak-anaknya; ~ bergantung di hujung rambut prb dlm keadaan yg sangat berbahaya; bertukar ~ dgn semangat prb sedang berkasih-kasihan; (sumber: Kamus Dewan)
------
"Jiwa juga diertikan sebagai seluruh kehidupan batin manusia (yang terjadi dari perasaan, fikiran, angan-angan, dan sebagainya)," katanya, membaca kuat-kuat definisi 'jiwa' yang terpapar pada carian Google.
Saya diam. Mencari-cari inti pati dan pemula jalan perbincangan kami.
"Tidak ramai yang menyentuh persoalan jiwa secara mendalam, Zalila. Tidak banyak penulis atau karya yang memperkatakan soal jiwa, dengan bersungguh-sungguh - menepati definisinya, merangkumi seluruh perasaan, hati, fikiran dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan, kata-kata dan tingkah laku seluruhnya."
Dia menyambung lagi, "Penulis boleh lihat contoh watak dan perwatakan di sekitarnya - tentang seorang gadis yang dilamun cinta, seorang wanita yang putus cinta, seorang pelacur, seorang ibu, seorang anak, seorang bapa, seorang pekerja yang stres, seorang bos yang angkuh, dan macam-macam lagi perwatakan."
"Tapi, untuk mendalami jiwa watak yang mahu ditulis, dia, penulis itu harus menjiwainya sungguh-sungguh, sedalamnya, berada dalam kasut watak, merasai ketawa tangis dan jerit pekik watak." Dia diam sebentar, merenung saya, dan mengakhiri percakapannya.
"... sehingga harus menjadi pelacur?" sambut saya.
"... sehingga harus menjadi pelacur?" sambut saya.
Dia senyum. "Engkau kena banyak belajar lagi." Dia membalas.
antara novel-novel yang sangat kuat jiwanya. |
Saya teringat salah satu esei Usman Awang yang bertajuk, Penulis Melayu dengan Kamera Murahnya, yang tersiar di Dewan Masyarakat, November 1964.
Bercakap tentang pengarang-pengarang Melayu, kebanyakannya seperti tukang gambar sahaja – beberapa orang, keluarga, golongan, dikumpulkan tergesa-tergesa lalu digambar dan “kita senang melihat gambar semacam ini kerana kita kenal orangnya atau tempatnya” – memang dapat kita akui kebenarannya kerana sebagai tukang gambar amatur dengan kamera murahnya kebanyakan penulis kita tidak mampu membikin teknik yang baik sebagaimana seorang profesional dengan cine-cameranya. Ini juga hendaknya menarik perhatian penulis-penulis kita untuk lebih tekun dan belajar lagi mengangkat diri dalam teknik penulisan mereka.
Ada pengarang Barat yang hendak menulis tentang pekerja-pekerja lombong arang batu, lalu datang ke suatu lombong arang batu dan meminta bekerja di situ dan hiduplah dia sebagai seorang buruh dengan segala duka dan sukanya. Dan seorang pengarang Indonesia pula tidak akan dapat menulis Blora atau Mereka Yang Dilumpuhkan kalau dia tidak mengalami hidup penjara dan revolusi.
Demikian juga Orang Tua Dengan Laut tidak akan dapat ditulis begitu sahaja kalau pengarangnya tidak mengenal kehidupan nelayan tua di Havana yang tahu tentang angin dan air masin, permainan ikan besar dengan pancingannya. Dan segala ini tentu disenangi oleh pengarang-pengarangnya, melihat sesuatu golongan, keluarga atau orang dengan tempat-tempat yang telah dikenalnya.
Bagaimana penulis harus menjiwai setiap apa yang ditulisnya, agar karya yang terhasil benar-benar masuk ke dalam jiwa pembaca, seterusnya memberi suntikan kesedaran, keinginan untuk mengubah atau bertindak memperbaharui zamannya.
Dalam esei bertajuk “Pengertian bakat, Ilham dan Tugas Sasterawan” yang ditulis pada tahun 1954, Usman Awang ada menyebut, “Masyarakatlah ilham, dan bagi memperolehnya sasterawan “haruslah menerjuni masyarakatnya, mengenali masyarakatnya sendiri dengan segala perhubungannya”. Manakala tugas sasterawan pula ialah: … memperdalamkan dan memperluaskan lagi kesedaran dan keinsafan orang-orang lain tentang diri mereka sendiri dan tentang masyarakat yang mereka diami, mendidik dan membimbing orang-orang lain ke arah kemajuan dan kemerdekaan, membela keadilan dan kesucian, membentuk budi pekerti yang luhur dan mempertinggi peradaban bangsa.”
Bagaimana drama, karya, filem dan seni-budaya kita hari ini? Adakah persoalan pembangunan jiwa dititik beratkan? Jika, ya, bagaimana bentuk paparannya?
Adakah dengan memaparkan drama-drama masyarakat tentang kepincangan kekeluargaan, soal setia-curang suami isteri, soal bobrok remaja yang tidak berkesudahan atau tentang masyarakat yang sudah hilang nilai kemanusiaannya?
Apakah cadangan penambahbaikan dalam karya-karya ini?
Apakah cadangan penambahbaikan dalam karya-karya ini?
(Dan tiba-tiba membandingkan dengan drama-drama Jepun dan Korea yang kini mengungguli persada hiburan di dunia. Drama yang bukan sahaja menghiburkan tetapi mengandungi elemen-elemen kejiwaan yang sangat berseni dan teliti dalam setiap aspek).
Nabi SAW bersabda: “Umat terdahulu selamat (jaya) kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Manakala umat terakhir kelak akan binasa kerana kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong.” (Riwayat Abi Ad dunia).-----
Menunduk, ah, panjang lagi pembelajaran yang harus saya tempuh dalam usaha menulis karya yang penuh dengan jiwa kemanusiaannya.
PABILA MENULIS
Selalunya aku menulis tentang dunia
yang sudah tidak berputar sewajarnya
kutulis perihal kemanusiaan yang bersifat
haiwan
tentang pemimpin yang salah pimpinan
tentang lelaki dan perempuan yang selalu
salah haluan.
Kadangkala aku menulis tentang perasaan
yang menjadi inti dalam hidup insan
kukhabarkan dalam jiwa setiap yang hidup
penuh
cinta saling bertaut.
Jarang-jarang aku menulis tentang tuhan
yang aku sendiri tidak begitu kenal
jarang kutulis tentang dosa dan pahala yang
melingkar
kerana bimbang ia menjadi kata-kata
yang tidak tersimpan dalam genggaman.
Sesekali aku menulis dengan marah
tika suara-fikirku di lontar ke tepi
tika tulis-catatku di salah erti
sedang aku sendiri khilaf
bersuara tika alam membingit rasa
menulis tika mereka tidak mahu membaca.
Sungai Buloh. 2011
Suka sajak di atas.
ReplyDeleteYa, puisi lama tu. Tersiar di Mingguan Malaysia tahun 2011. Terima kasih Puan Kay.
Delete