Wednesday, July 17, 2019

LAUT

"Kita kena naik gondola ini untuk ke seberang?" 
Afiza mengangguk. Saya terus rasa mahu terduduk. Sungguh. Ini pengalaman kali pertama berada di atas lautan yang bergelora, tanpa sebarang peralatan keselamatan. Cukup sekali ini. Kata saya dalam hati.



Gondola tanpa jaket keselamatan

Laut. Sejauh mana keberanian kita merentasinya atau terjun ke dalamnya? Tidak semua orang berani, apatah lagi yang memang membesar jauh daripada laut, yang hanya jumpa laut ketika usianya 17 tahun (itupun hanya bermain di pantai sahaja). Terus mengira-ngira dalam fikiran berapa kali saya menggelumangi laut? 

Laut adalah sebahagian bumi yang penuh rahsia. Ke pantai sahaja perasaan terasa membesar dan membesar penuh persoalan - tentang lautan luas dan pasirnya, tentang deru yang membawa ombak mencecah kaki menghilangkan jejak langkah. Inikan pula terjun ke dalamnya, meneroka isi perutnya.... Berapa banyak tafsiran tentang laut oleh penyajak, juga menjadi suatu renungan yang dalam dan besar. Salah satunya yang sempat saya ingati:


Sebelum berangkat
aku pun mengenalnya.
mengenal laut.

Laut
Adalah:
Rambut bonda
Yang berombak-ombak
Yang menyimpan seribu rahsia.
           



(Laut, S.M Noor. Malaysia Dalam Puisi, 1991: 208).

Tentang laut, teringat ITBM meletakkan tema Lautan Ilmu untuk reruai kami sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun 2018. Dan kebiruan laut menyelimuti reruai kami. Benarlah, segala buku yang kami terbitkan, dan tawarkan, umpama lautan ilmu yang tidak terjangkau dalam sekelip mata. 




Membina ITBM, melalui proses-proses penghasilan buku dan hal-hal seputar keilmuan menjadikan saya bangga berada dalam institusi ini. Apabila ditanya (pada ketika ini, situasi ini), adakah saya akan terus berada di sini (ITBM), dengan pantas saya jawab, "Ya, sehingga laut ini kering saya akan tetap di sini atau tiba-tiba saya tercampak keluar daripada perut lautan ilmu ini, barulah saya akan pergi. 


Kerana saya juga akur, dunia ini seperti laut yang penuh misteri. Perlu diterokai, dipelajari dan diambil iktibar daripada setiap sesuatunya.



“Katakanlah (wahai Muhammad), Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (Surah Al-Kahfi, ayat 109). 

*ingat ya janji awak, mahu bawa saya merentasi laut. Jika perahu kita pecah, tetap kita akan terus berenang sehingga ke hujung sana.





No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...