"Traveling – it leaves you speechless, then turns you into a storyteller.” – Ibn BattutaMelancong? Siapa tidak mahu kan? Jika diberi kesempatan, semua orang ingin melancong, menjengah setiap pelosok bumi, mengenali bangsa-bangsanya, menikmati indah ciptaan-Nya.
Namun, tidak semua orang diberi kesempatan sama ada dari sudut kewangan dan juga ruang masa.
Jangan putus asa, merancanglah. Bukankah dengan merancang kita berusaha mencapai apa yang diinginkan.
JOGJA
Gunung Merapi yang membawa kepada erti persahabatan dengan alam
Jogja mengajarku erti kesungguhan erti kesusahan, erti kepuasan. Semuanya amat sukar dicapai tetapi apabila sudah dalam genggaman, hanya Tuhan yang tahu nikmatnya.
Seperti pesanmu, "Biar ia berlama-lama dalam hati. Masanya akan tiba. Detiknya pasti ada."Demikian catatan saya pada 22 September 2017. Sebuah perjalanan yang cukup mengajarkan sesuatu. Bermula 18-22 September 2017, kami melalui sebuah perjalanan yang menarik. Perancangannya, lima bulan sebelum tarikh perjalanan. Jika tidak dirancang (beli tiket awal), tentulah tidak ke mana-mana angan pergi melancong itu.
Bercakap mengenai Jogja, tentulah ia berbeza dengan perjalanan saya yang lainnya. Walaupun pernah ke Pekan Baru, Riau dan juga Jakarta, Myanmar serta satu Malaysia sudah saya tawan, tapi ia bukanlah bermakna benar-benar melancong kerana pada waktu itu perjalanan lebih kepada berjalan dalam 'bekerja'.
Apabila rakan-rakan di pejabat lama mempelawa saya mengikuti trip mereka ke Jogja, saya terus bersetuju. Terujanya lain macam kerana persediaan dilakukan dengan rapi dan teliti lima bulan awalnya - beli tiket, rancang perjalanan, rangka aktiviti dan sebagainya.
Terlalu banyak ingin diceritakan jika bercakap soal melancong. Akhirnya apa yang kita dapat daripada perjalanan itu?
Apa yang pasti, selain menikmati makanan dan meneliti budayanya yang tidak jauh beza dari Malaysia, Jogja juga mengajar saya erti sabar dan perit mendapatkan sesuatu. Setiap tempatnya yang indah dan mengasyikkan tidak boleh diterjah sekelip mata atau dengan petik jari sahaja.
Perlu melalui dan menempuh perjalanan yang panjang dan memenatkan. Ke Kalibiru misalnya, sebuah hutan yang indah dan layak menjadi tempat wisata yang menarik untuk memotret diri. Namun, jika mahu ke sana perjalanannya tidak mudah (jika dari tempat sewaan - bandar, memakan masa yang agak lama sekitar 30 minit sehingga ke sejam lebih). Bukan sahaja perjalanan lama tetapi juga menempuh jalan yang berliku, mendaki, berbatu-batu dan menyakitkan seluruh badan. Ini terpakai juga untuk ke Pantai Timang, Hutan Pinus, Parangritis, Pantai Pasir Gumuk, gereja Ayam, Borobodur, Parambanan, Tubing Pindul dan banyak lagi.
Terlalu banyak yang seharusnya saya catat. Mungkin masih ada dalam kepala, hanya perlu keluarkan ketika merenung gambar-gambar yang pernah dirakam. Banyak hal boleh dicatat dan diambil iktibar.
Bukan sahaja keindahan alamnya semata-mata. Benarlah kata Fiersa Besari, seorang penulis, karyawan dan pendaki gunung yang aktif di Indonesia, bahawa Indonesia merupakan tempat paling indah di dunia. Barangkali ya. :) Bolehlah lihat kebenaran kata-kata Fiersa melalui video-videonya yang mengasyikkan di Youtube.
Selain melihat keramah-tamahan penduduknya, kesabaran mereka menghadapi hiruk pikuk jem yang anehnya lebih mendamaikan daripada Malaysia, juga tentang 'struggle' dan 'survival' yang tentunya memberi perspektif berbeza kepada saya.
Terlalu banyak tempat di Jogja yang perlu anda lawati. Dan ia menjadi sebuah perjalanan yang bermakna buat saya. Termasuklah beberapa kafe kopi dan kedai makan yang popular seperti Sellie Coffee, Kedai Losbter pap Sis Pantai Timang, Warung Makan Bu Ageng, Tirtodipuran, Jogja. dan banyak lagi.
Ya, kami pergi banyak tempat. :) Gambar-gambarnya sahaja mencecah ribuan.
Sayangnya, begitulah, masih juga ia sekadar melancong. Tiada catatan bernas sempat saya tuliskan kerana menikmati setiap perjalanan sendiri-sendiri sahaja selain catatan-catatan ringkas di media sosial.
Jika diberi kesempatan, saya ingin melancong sendirian. Menikmati dan mencatat dengan aman. Berdiam dan berdiskusi dengan diri sehingga memperoleh sesuatu yang bermakna dan diabadikan dalam bentuk tulisan.
Itu hanya impian.
Tapi, saya tetap berdoa masanya akan tiba. Dan saya akan bersedia dengan jaya.
Hutan Pinus.
Borong buku. :P
Dan paling utama, mengembaralah dengan niat yang betul dan tujuan yang membawa diri kepada penciptaan-Nya seperti dalam Surah Ar-Rum, ayat 9 ini:
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-Rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Terima kasih Norsaadah Ahmad yang menimbulkan semula keinginan untuk melancong dan menulis tentangnya.
#julyblogposts #july2019entries
"Indonesia merupakan tempat paling indah di dunia."
ReplyDeleteHampir setuju. :D
Setiap video Fiersa disebutkan tentang itu. Huhuhu... tentulah, dia sendiri sudah menerokainya.
Delete