Sunday, July 21, 2019

SEDERHANA


Kita pernah menjadi bodoh. Gila-gila. Berbahaya. Kurang berfikir (malah mungkin tidak langsung berfikir). Tidak mahu mendengar pendapat orang. Mencuba sesuatu secara semberono. Tidak percaya cakap-cakap orang tua yang lebih makan garam. Tidak mengambil iktibar. Tidak peduli siapapun dan apa pun.

Waktu itu, usia menginjak remaja dari peralihan zaman persekolahan. Kita bertenaga, penuh dengan keterujaan atas apa-apa.

Marahkan emak dan abah yang katanya tidak mengerti. Cemburukan kawan-kawan yang padahal tidak menguntungkan apa pun. Berbuat sesuatu, meraih perhatian yang akhirnya merugikan diri dan mencalarkan emosi. 

Kita juga pernah gila bercinta sehingga lupa segala. Tidak peduli kata-kata orang lain dan nasihat yang klise. Kita hanya anggap dunia ini kita punya dan kita berhak menentukannya. 

Sampai satu tahap, kita rasa letih. Rasa menyesal. Rasa kerugian amat. 

Tiba waktu itu, usia pun sudah lelah menemani kita. Tinggal beberapa waktu, kita pun tidak mampu menahan takdir, nyawa akan dipulangkan kepada pemilik-Nya. 

Sekarang, bagaimana wahai diri?
Masih angkuh, masih sombong, masih kemahuan tinggi-tinggi dan gila belaka? 

Bersederhanalah. 

"Untuk hidup, manusia hanya memerlukan sekeping roti, dan selebihnya hanyalah nafsu," kata dia.

Kerana hidup ini tidak pernah mencukupkan keinginan. Semuanya tidak mampu kita capai sepenuhnya. 

Sekurang-kurangnya berbahagialah dengan apa yang telah kita nikmati dan capai. Usaha lebih sikit lagi untuk membantu orang-orang yang ada di sekeliling.

Bersederhana dalam kehidupan, memaksimumkan kesanggupan.








No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...