Monday, July 29, 2019

KAYA



Apabila menyebut perkataan KAYA, yang tergambar adalah hal-hal berbentuk material - rumah besar, duit memenuhi akaun bank, emas berlian sehingga ke pangkal lengan, kereta mewah, pakaian berjenama memenuhi almari, makanan enak dan mahal ... apa lagi?

Itulah lambang kekayaan. 


Seiring kedewasaan juga, kita dihidangkan dengan konsep dan istilah kaya seperti yang disebutkan di atas. maka, kita anak-anak sekolah pun dimomokkan dengan 'belajar tinggi-tinggi, dapat kerja baik dan jadi kaya'. 

Menonton drama-drama di televisyen, ya, kaya itu adalah seperti yang saya sebutkan dalam perenggan pertama itu.

Itulah KAYA!

----

Hakikatnya, itulah kaya. Tiada selainnya. Setuju?

----

Seiring kedewasaan, kita pun berjaya mencapai apa yang kita mahukan - belajar sehingga ke universiti, kerja yang baik, gaji setiap bulan sehingga mampu membeli pakaian yang diidamkan, kereta yang termampu dan rumah (jika mampu beli), makanan yang diinginkan semasa kecil. 

Adakah itu definisi kaya? 

Belum. Kata kita. 

Sebab ada masanya, terutama untuk membeli lebih daripada gaji yang diperoleh setiap bulan, kita masih bermimpi. 

Kadang juga, belum sampai 10 hari gaji, duit dalam simpanan pun semakin nihil.

Kita pun berusaha lagi, mencari wang sampingan, kerja tambahan, membeli masa keluarga, meninggalkan anak-anak untuk mencari duit lebih. 

Alasan, perbelanjaan semasa menghambat kita agar terus bekerja dan mencari wang kerana apa yang ada masih belum mencukupi. 

Alasan lain, untuk bantu orang lain yang dalam kesusahan. 

Kita gagal. Kaya masih belum dicapai malah sebenarnya sukar dicapai jika tiada perancangan jitu.

---

Kaya sebenar ialah kaya hati. Itulah bahagia hakiki, bukan duit. Kekayaan tidak mampu beli masa, tidak mampu menyihatkan yang sakit, tak mampu beli usia, tidak mampu beri cinta sepenuhnya. 

Kata seseorang. 

"Saya akan membahagiakan awak dengan cinta. Kita akan hidup bahagia dengan cinta yang mekar ini," kata lelaki itu, walaupun ketika itu mereka masih dalam pengajian dan belum punya pekerjaan pun.

(Jika saya berada di tempat wanita itu - dengan pengalaman panjang tentang kaya-miskin dan hakikat kehidupan sebenar - maka saya nasihatkan perempuan itu cari lelaki lain, dan jeritkan, "Hey, wake up. Cinta tak boleh beli beras!)


Sarkastik!

---

Perlukah kaya?

PERLU - dalam erti kata sebenar - kaya harta. Jangan terlalu tenggelam dengan ayat, "Tidak apa miskin harta asalkan kaya adab dan budiman."

Adakah orang kaya semuanya tidak bahagia, tidak beradab dan tidak beriman?

Perlu kaya ....

Kaya sehingga mampu bantu sesiapa sahaja, dan berbuat sesuatu demi bangsa dan agama. 

Rasulullah SAW bersabda: "ALLAH SWT memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemah serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya." (Riwayat Ibn an-Najjar)
Dalam hadis itu, Islam tidak menghalang umatnya untuk mengumpul sebanyak mana harta kekayaan yang diingini, namun mestilah dengan cara yang halal dan diredai.
Hanya dengan mencari kekayaan, nasib umat Islam akan terbela dan dapat menghindarkan diri kita daripada meminta-minta, sebaliknya mengumpul pahala dengan cara membelanjakan harta ke jalan ALLAH.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...