Monday, July 29, 2019

KERTAS




Kertas, apabila kosong hanyalah sehelai kertas. Namun, apabila dibentuk menjadi sampan, roket, rama-rama, burung dan apa jua bentuk (origami), namanya akan berubah - sampan kertas, roket kertas, rama-rama kertas ...

Kertas, apabila ditulis sesuatu di atasnya, ia akan menjadi ...

SURAT

Ketika Zainuddin meminjamkan payung kepada Hayati, gadis Minangkabau itu terpana kerana perbuatan itu sungguh berbudi dan membantunya. Lantas, demi mengucapkan terima kasih, dipulangkan payung itu beserta surat.


Surat itu dibaca oleh Zainuddin, dengan perasaan sebagai seorang lelaki. Lalu, dibalas surat itu, selepas pertemuan mata kali kedua di tepian sawah ketika Hayati menghantar bekalan makanan untuk pak ciknya. Surat yang panjang, mengadukan nasib dirinya, orang Mengkasar terbuang yang ingin mencari teduh di bumi Padang.


Sudikah engkau jadi sahabatku Hayati? Saya akui, saya orang dagang melarat dan anak orang terbuang yang datang dari negeri jauh, yatim dan piatu. Saya akui kerendahan saya. Itu agaknya yang akan menangguhkan hatimu bersahabat dengan daku. Tapi Hayati, meskipun bagaimana, percayalah bahawa hatiku baik. Sukar engkau akan bertemu dengan hati yang begini, yang bersih lantaran senantiasa dibasuh dengan air kemalangan sejak lahirnya ke dunia! Zainuddin.


Sehelai surat ucapan terima kasih, kertas menjadi surat-surat panjang menyemai rasa cinta, putus kasih dan penyesalan yang berakhir dengan kematian kedua-dua insan.

Sebuah kisah tragis, perlawanan antara budaya, adat warisan dengan agama. Zainuddin tewas, Hayati tertindas.

Nilai kertas yang berubah peranan menjadi surat, yang mencatat sejarah dan rasa.

BUKU

sumber: kamus dewan 

Apabila kertas-kertas dijilid cantik, mengandungi tulisan-tulisan, ia disebut buku. Dan ia telah menemani manusia sejak ....

Buku dikatakan muncul dalam sejarah umat manusia, apabila orang Mesir mencipta kertas papirus pada tahun sekitar 2400 SM. Adapun kertas papirus yang diturunkan tulisan ini digulungkan untuk menjadi "skrol" (scroll), dan ia diyakini adalah bentuk buku yang paling awal.
Selain itu, buku juga muncul di tamadun yang lain dengan bentuk yang lain. Contohnya, di Kemboja, Sami Budha di situ membaca "buku" yang dibuat daripada daun dan amalan ini masih dikekalkan sehingga hari ini dan perkara pernah dilaporkan oleh Nasional Geografi. Manakala di negeri Cina, sebelum terciptanya kertas, para cendekiawan di situ menurunkan tulisan mereka di atas lidi buluh dan mengikat lidi ini menjadi buku. Amalan menulis di atas lidi telah mempengaruhi sistem tulisan Cina sehinggakan orang Cina mengamalkan tulisan menegak sehingga pada awal moden
Buku memasuki satu era yang baru apabila industri kertas menjadi mantap. Kertas dipercayai muncul di negeri Cina seawal-awalnya pada 200 SM, selepas itu teknologi ini dibawa oleh pedagang muslim ke Eropah sebelum abad ke-11. Dengan adanya kertas, penulisan menjadi lebih mudah kerana kertas mempunyai ciri-ciri mudah disimpan dan juga bertahan lama.
sumber: wikipedia.

KERTAS-KERTAS YANG MERUBAH FIKIR


Himpunan kertas-kertas yang dijilid kemas, dalam dadanya tersusun aksara yang mengusung makna. Secara tradisi, kertas-kertas berjilid inilah yang menjadi buku lalu menghiasi rak dan mengisi aktiviti membaca. Di manakah keasyikannya, dan bagaimanakah aktiviti ini mampu merubah manusia? Benarkah membaca dapat memperbaharui erti kehidupan, sama ada daripada sudut perasaan, intelek, kematangan mahupun nilai kendiri?

Begitu pertanyaan-pertanyaan kecil pada awalnya, akhirnya membentuk kemunculan buku ini. Sekumpulan rakan pelbagai latar di forum Goodreads Malaysia yang sama-sama mencintai buku, menurunkan pengalaman "membaca" mereka ke atas kertas. Ramai antara mereka pernah menghasilkan karya-karya yang jauh lebih besar, dan begitu gembira dapat menyumbangkan buah fikiran masing-masing untuk buku yang sederhana ini.

Hasilnya, 21 karya dengan rempah-ratus enak yang dimuatkan dalam naskhah ini bakal membawa pembaca ke dunia buku melalui sorotan pengalaman "membaca" itu sendiri. Di samping memperkenalkan buku-buku yang telah "memerangkap" rakan-rakan Goodreads Malaysia, pembaca turut dibawa ke daerah buku yang penuh dengan misteri dan keunikan. Sudah bersedia? 


Membaca semula blurb buku ini, saya tersenyum sendirian. 

Apabila terpilih menyertai projek buku oleh kumpulan Goodreads Malaysia dan diterbitkan oleh Jejak Tarbiah, saya berasa bahagia. Selain berkongsi kisah bagaimana saya mengenali kertas-kertas yang merubah dunia baca saya, saya juga membaca kisah 20 penulis lain tentang kertas-kertas yang merubah fikiran dan hidup mereka. 

Bagaimana sebuah buku yang menghimpunkan kertas-kertas bertulis pelbagai kisah, merubah pemikiran pembaca sehingga mampu mempengaruhi yang lainnya. 

Memetik kata-kata Sayidina Ali r.a, "Ikatlah ilmu dengan menulis," yang memaknakan tanggungjawab menyantuni kertas dengan tulisan yang bermanfaat dan memberi faedah bukan sahaja kepada pembaca tetapi juga menjadi 'bekal' pahala buat penulis.

💟

Ada apa dengan kertas selain dibentuk-bentukkan menjadi sampan, roket dan rama-rama? 
Ada apa dengan kertas setelah digunakan sebagai penyambung hayat rasa antara dua manusia? 
Ada apa dengan kertas setelah menjadi buku, surat khabar, majalah ....


#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...