Tuesday, July 30, 2019

MENANG




Catatan Menang - kalah

Adli Hakim tidak mahu ke sekolah. Ada sukan lumba lari. Dia tidak mahu turut serta. Pasti kalah.
Saya diam. Mengalih fikiran daripada bahan suntingan yang memberatkan fikiran.
"Ibu tidak pernah masuk lumba lari sejak tingkatan 1 sehingga 4. Ini kerana ibu selalu kalah sejak sekolah rendah. Semasa tingkatan 5, ibu dipaksa masuk. Dan...awak tahu, ibu mampu kalahkan atlit sekolah."
"Maknanya Hakim kena tunggu tingkatan 5?" tanya dia.
Tepuk dahi. Kemudian ibu kata, "kalau kita tidak cuba dan cuba, bagaimana kita tahu akan kemampuan kita? Jadikan ia perlumbaan yang menyeronokkan dan bukan menang-kalah. Lari dengan gembira. Bayangkan di hadapan sana ada.... Bla... Bla..."
Tin tin..bunyi hon van sekolah. Hakim memecut pakai kasut.
Di atas meja, wang belanjanya tidak di bawa.

11 Jun 2013

-------------

Engkau lewat lagi hari ini, mentari. Aku menang.
Jawab mentari, tiada menang-kalah dalam cinta. Bukan aku yang lambat, tapi engkau yang terlalu laju.

18 Mei 2015

----------
Hari ini belajar satu perkara - beri kekalahan kepada pihak lawan, dengan cara memenangkannya.
*Walaupun hati pedih, tapi percaya, orang yang tak berusaha untuk menang, andai diberi kemenangan yang banyak sekalipun, dia akan kalah.

24 Jun 2015

----------

Buku terbitan terkini, tetapi kandungannya bukan isu terkini. Jadi, buat apa beli?
Demikian kata seorang kawan yang tak berminat membeli buku-buku terbitan terkini mana-mana penerbit.
Saya, beli apa yang saya mahu baca. Dan membaca buku bukan sebuah perlumbaan menang-kalah. Ia untuk diri sendiri. Bersyukur kali ini tidak 'mabuk' beli buku.
Memang ada penyakit orang beli buku kerana mahu memenuhi kepuasannya membeli buku-buku baharu.
Tak apalah. Beli buku baharu atau lama, sekarang atau bila-bila, yang penting baca.

8 Mei 2017

--------
"Biasa sahaja karya dia. Menang sebab kroni."
Antara kutukan (bukan kritikan) yang biasa kita dengar.
Selalu juga saya jawab bagi pihak pemenang;
"Ya, saya menang sebab saya hantar. Kalau pun kalah, saya tetap menang sebab saya bertanding."
"Jika awak rasa karya awak lebih bagus, marilah bertanding secara adil."
"Atau, cubalah siarkan, terbitkan dan jual karya awak. Laku atau tidak."
Selepas bertarung dengan masa dan suasana, barulah kita boleh kritik dengan adil.
Ini tiada kaitan dengan puisi saya yang menang hari itu. Saya tetap percaya kepada rezeki dan penilaian panel yang dilantik.
Marilah teruskan menulis....

5 November 2017
----------

"Saya ialah manusia yang tiada perlawanan. Tiada menang atau kalah. Jadi, jika awak mahu berlawan dengan saya, sia-sia sahaja. Saya bukan lawan awak. Cuba awak berlawan dengan bayang-bayang sendiri. Begitulah analoginya jika awak mahu berlawan dengan saya. Awak faham itu? Dan sekarang, saya mahu balik."
~Dahlia dan Doa di Pusara. LH

12 februari 2018

------

Sekarang tempoh masa bukan memperbanyakkan tetapi menambah kualiti pada yang sedia ada.
Kemenangan terwujud apabila setiap yang terhasil menjadi sebutan berdasarkan ciri-ciri yang ada padanya.
'Kemenangan' di sini bukanlah menang-kalah perlawanan tetapi objektif, kualiti dan manfaat sesuatu itu terlaksana.
"Tapi orang mahu banyak. Mahu kuantiti. Mahu tunjukkan hasil sebesar 'gunung'." Saya menukas.
"Kalau banyak jadi sampah, buat apa? Sampah yang boleh lupus sendiri tidak mengapalah. Kalau sampah yang makan beratus tahun lupus? Yang membawa penyakit pula?" Dia meningkah.
Diam.
"Ya, jangan terlalu positif tidak bertempat. Terlalu 'jalan terus' tanpa belajar apa-apa dalam perjalanan itu. Kata mahu membina, mahu berjasa? Buatlah sehabis baik. Yang rosak, katakan rosak, buang. Yang baik, sebarkan sebaiknya."

17 Jun 2019
------
Tangan yang menulis cerita tidak sama dengan fikiran yang menyimpan cerita.
"Apa yang ingin disampaikan dalam buku ini kelak? Dari situ boleh fokuskan isu-isunya."
Masih relevankah kenyataan 'sejarah ditulis oleh orang yang menang'?
12 Julai 2019

---------


Masa tidak banyak. Masih mahu berlawan menang-kalah?


No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...