Thursday, April 02, 2020

PKP Hari Ke-16: Check In Check Out Harapan.




PKP hari ke-16, dan kita masih dalam situasi keluar masuk yang dikawal ketat untuk fasa kedua. Kerana Tuhan menurunkan ujian untuk kita lebih tabah, maka bertahanlah semua. Sekurang-kurangnya kita masih punya orang sekeliling yang kita sayangi dan makan pakai yang mencukupi, dan sihat ....

Berada di rumah, banyak perkara yang kita boleh belajar daripada isi rumah itu sendiri. Bosan? Bacalah buku. Kerana buku adalah dunia kedua yang amat luas isinya. 

Barbara Tuchman (Penulis terkenal Amerika) mengatakan, "Buku adalah pengusung peradaban. Tanpa buku, sejarah menjadi sunyi, sastera bisu, ilmu pengetahuan lumpuh dan fikiran menjadi kaku."

Hari ini saya menamatkan bacaan buku ke-11 untuk tahun 2020. Aduh, perlahannya saya membaca. Target 100 buah kan?

Check In Check Out, Kembara HKL

Membaca tajuknya, teringat hotel. Kerana perkataan "check in - check out" sinonim dengan hotel. Namun, buku ini akan membawa pembaca mengembara ke dunia hospital bersama-sama penulisnya, Abdul Muiez Ruslee. Terbitan tahun 2017 oleh Buku Puris ini membawa saya jauh mengenali penulisnya, walaupun hanya dengan sekotak rahsia yang disimpannya selama 10 tahun ini.

Abdul Muiez Ruslee yang saya kenali ialah seorang guru sekolah (SMK Sungai Besar), seorang penulis yang aktif, pengacara majlis yang berkaliber dan seorang rakan yang baik dan sentiasa positif dalam hantaran Facebook mahupun ketika berhadapan (kami pernah berjumpa beberapa kali walaupun tidak begitu akrab).

Buku ini dibeli ketika saya dan Cikgu Muiez berada dalam satu program yang sama bulan Mac tahun 2019 anjuran Persatuan penulis Negeri Sembilan (PEN), dua tahun selepas buku ini diterbitkan. Dan setahun selepas itu baru saya habiskan bacaan. :P

Buku ini merupakan catatan yang berusia 9 tahun (bermula tahun 2007) ketika Cikgu Muiez mula mengetahui dirinya mengalami suatu yang aneh, dan amat jarang berlaku kepada seorang lelaki. Bermula dengan mengunjungi klinik kesihatan, kesnya dirujuk ke HKL yang jaraknya dua jam perjalanan dari rumah. Dan selama 9 tahun inilah, kisah dicatatkan untuk ingatan kepada diri dan panduan kepada rakan yang lain - penulis menjadi pelawat tetap Klinik Neurosurgeri, Institut Perubatan Respiratori, Jabatan Oftalmologi. Jabatan Patologi, Dietitian dan beberapa unit lain yang wujud di HKL.

Manusia dan Kembara Rohani

Benar, "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." (surah al-Baqarah, ayat 286)

Penulis 'menelanjangkan' dirinya dalam buku ini - berterus terang tentang perasaannya (yang mungkin tidak pernah diluahkan kepada rakan lain terutama tentang bentuk tubuhnya yang obesiti, ketidakselesaannya diejek gemuk, jujur tentang keresahannya bukan sahaja tentang hospital yang merumitkan tetapi juga tentang perasaannya yang gundah, terganggu, takut dan yang tidak pasti tentang perjalanan kehidupannya berdepan dengan penyakit unik ini.

Bermula dengan cecair putih seakan susu yang keluar daripada payudara, penulis gusar lalu pergi ke klinik kesihatan. Kesnya kemudian dirujuk ke HKL. Di sinilah perjalanannya sebagai pesakit "check in check out" bermula. Apa taknya, proses perubatan ini mengambil masa 9 tahun!

Pengalaman melalui MRI di HKL, memperoleh keputusan yang mengejutkan (kalenjar Pituitari tidak normal). Kalenjar ini pula, menekan saraf mata dan hampir menyebabkan penulis buta. Rawatan menjadi dua: Mengecilkan kalenjar pituitari dan rawatan mata. Tidak jadi dibedah tetapi diberi ubat khas, masalah kecelaruan tidur pula timbul sehingga beliau diberi dua pilihan: Beli mesin rawatan yang berharga RM5k-8k atau kuruskan badan.

Adakah semua perjalanan 'pahit' ini berpunca daripada berat badan yang berlebihan? Mungkin. 

Menariknya, buku ini dimulakan dengan beberapa gambar yang memberi ribuan persoalan kepada pembaca sebelum kisah bermula. Perasaan jadi tidak sabar mahu tahu apakah rahsia penyakit penulis sehingga mahu dibukukan begini?

Selain itu, permulaan setiap bab dimulai dengan sebuah pantun yang memberi gambaran perasaan penulis di samping sebuah fakta tentang jenis-jenis penyakit yang berkaitan dengan penulis.

Gaya motivasi memberi kesedaran secara tidak langsung kepada pembaca mengenai banyak perkara - kegemukan, menghadapi sakit dan prasangka-prasangka lain yang biasanya dialami oleh pesakit. Di samping selitan kisah-kisah pesakit lain yang ditemui di hospital itu.

Kita dan Kehidupan

Meminjam gambar dari FB Cikgu Muiez ketika pertemuan kami tahun 2019


Demikian, setiap tempat merupakan 'check in dan check out' bagi setiap orang. Bagaimana kita masuk dan keluar dari sesuatu tempat atau perkara, pastinya memberi banyak cerita dan pengajaran.

Apatah lagi tempat yang dinamakan hospital. Saya pasti setiap rawatan punya cerita berbeza, mengajar diri tentang kesabaran dan memperoleh pengalaman baharu dan bagaimana pengalaman itu akan menjadi panduan kepada orang lain pula.

Cikgu Muiez telah berjaya melalui fasa 'check in check out' yang akhirnya menyedarkan beliau tentang banyak hal di sekeliling. Terima kasih kerana sudi menuliskannya untuk kami.

Kita, bagaimana pula?


No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...