Wednesday, April 15, 2020

PKP Hari Ke-29: Mencari Hidup

Photo by fotografierende from Pexels

PKP hari ke-29, khabarnya suasana jalan raya dan luar rumah semakin sesak. PKP fasa ketiga bermula hari ini. Mengapa orang bersesak-sesak di luar? Mereka sudah tidak peduli Covid-19? Kenapa tidak peduli? Tidak sayang nyawa? Sudah bosan hidup?

Hari ini tanpa dirancang, saya ke pejabat lagi (untuk minggu ini). Sebenarnya saya cuba menetapkan seminggu sekali sahaja berada di luar rumah. Selain bimbangkan diri dengan virus yang masih bertapak selesa di negara ini, saya juga bimbangkan anak-anak. Resmi covid yang diketahui umum, merebak tanpa kita nampak tandanya. Sebab itu ditegaskan untuk kita #stayathome sahaja.

Namun, kerja-kerja hakiki perlu diselesaikan.

Mengisi Hidup

Sebenarnya saya kepenatan hari ini. Terkejar-kejar menyiapkan laporan bulanan dan memikirkan beberapa hal lain bersangkutan keluarga di kampung. Namun, saya perlu mengisi blog ini dengan sesuatu - seperti yang saya janjikan kepada diri sendiri, dalam usaha melatih diri memahirkan penulisan sendiri dan juga mendisiplinkan diri konsisten terhadap sesuatu.

Mahu tulis apa? 

Ulasan buku? Semalam saya sudah mengulas buku. Saya perlukan bahan berbeza hari ini.

Filem dan drama? Ah, terlalu panjang pula mahu melayan sebuah filem dalam keadaan tenaga yang tinggal sedikit begini. 

Balik rumah, memasak lagi, tung tang tung tang terpercik minyak, berpeluh di dapur (kemudian nak cakap apa? Nak periuk viral tu ke? hahahha).

Saya cari buku yang sudah dibaca separuh. Mungkin boleh habiskan segera dan buat ulasan. Tapi yelah, kan kata nak selang-selikan bahan dalam blog ini supaya rencam. Semalam kan dah buat ulasan buku. Lagipun, kau bukannya jenis pandai baca cepat (speed reading), Zalila!

Okey, nak isi apa blog ini? 

Lihat semua gambar dalam simpanan peribadi ... berpuluh ribu (termasuk yang disimpan dalam ruang Google Photo). Ya, hampir kebanyakan usia terakam dalam gambar-gambar itu.

Lihat Umar. Eh, panas hati. Teringat kasut kerja kesayangan yang lenyap hilang tanpa khabar itu. Ya, sudah maafkan dia, tapi belum mampu melupakan. 😅

Kemudian saya ambil keputusan melawat laman Pexel. Laman ini diperkenalkan oleh Emila Yusof ketika kami bersama-sama dalam satu projek rahsia dulu. Dan kebanyakan gambar dalam blog ini juga bersumberkan Pexel.

Terpandang satu gambar lalu saya terpikat dengan perkataan yang tertera pada mug di atas: Enjoy the little things. 

'That's it!' kata hati saya. Bagaimana mahu mengisi hidup - menikmati perkara-perkara kecil. Seperti kata Pramoedya,

"Hidup sungguh sangat sederhana. Yang hebat-hebat hanya tafsirannya." (Rumah Kaca)

Life is ...

Setelah menaip 'life' pada bahagian carian, saya terus meneliti keputusan carian. Pelbagai. Daripada gambar manusia dengan pelbagai aksi, gambar bunga, gambar bayi, buku, alam, objek itu ini dan segalanya. 

"Apa ni?" dalam hati saya. Kemudian baru sedar, gambar-gambar itu semua adalah LIFE. Dan pada kata kunci (keyword) yang tertera, saya belajar banyak perkara. 



Life is happy.
Life is nature.
Life is family.
Life is people.
Life is love.
Life is lifestyle.
Life is ... city, travel, home, work, success...

Begitulah. Melihat setiap gambar yang ada di bawah kata kunci 'life' ini saya belajar sesuatu malam ini. Tentang betapa luaskan definisi 'life' atau 'hidup' yang selama ini saya fikir sebatas kehidupan sendiri-sendiri dan hal-hal yang berkaitan diri.

Namun tidak semua hal kita boleh nikmati sekali gus. Hidup ialah kehidupan. Dan dalam kehidupan banyak asam garamnya, banyak ujian dan dugaannya. Itulah yang menambahkan rasa dalam kita menikmati hidup ini.

Hidup tak selalu bahagia. Tidak pula asyik menderita. Orang berkata 'hidup bagaikan roda', yang bermakna, dunia ini berputar. Kadang kita di atas, kadang di bawah. Jika roda tidak berputar dan kita statik berada di atas sahaja atau di bawah sahaja itu maknanya penamat bagi sebuah perjalanan, perhentian bagi sebuah kehidupan. Kita mati.

Memetik lagi kata-kata Pramoedya:

"Kehidupan ini seimbang, Tuan. Barangsiapa hanya memandang pada keceriannya saja, dia orang gila. Barangsiapa memandang pada penderitaannya saja, dia sakit." (Anak Semua Bangsa)

Hidup juga adalah perjalanan kita menuju ke dunia abadi. Setiap orang penghujungnya sama - mati - dan akan dibangkitkan semula di akhirat kelak. Maka, dalam perjalanan peribadi ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia dan perkara.

Terpulang kepada kita, mengikut ilmu, hati dan fikiran dalam melangkah. Hidup kita adalah pilihan kita. Penting bagi orang mungkin tidak penting bagi kita. Okey bagi orang, bagi kita biasa sahaja. Orang suka, kita tak suka. Orang gembira, kita berduka.
Begitulah, kawan. Kita semua berbeza bukan sahaja dari aspek fizikal malah juga hati. Jadi, janganlah terlalu mementingkan diri sendiri sehingga mengetepikan perasaan orang lain. Kerana apa? Kerana perjalanan hidup kita sebenarnya bukan sendiri-sendiri. Mati kita pun bukan bersendiri, kecuali teman nan tiga itu tiada:

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”. (Hadis Riwayat Muslim)
         sumber: Hadis.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...