Sunday, April 05, 2020

PKP Hari ke-19: Kartini, Gerakan Antara Tubuh dengan Fikiran



PKP Hari Ke-19. Apa khabar dunia? Katika tubuh kita masih terpasung entah berapa lama lagi, bagaimana pula dengan fikiran kita?

Ah, berapa ramai penulis agung dan pengkarya yang membuktikan fikiran manusia tidak harus dan tidak pernah terpasung walaupun tubuh terkurung dan terpenjara. Hamka misalnya, yang menulis di sebalik jeriji sehingga terhasilnya karya Tetralogi Burunya.

Bulan ini dimaklumkan bulan memperingati Kartini (21 April 1879). Maka, saya mencapai buku ini, Habis Gelap Terbitlah Terang, buku yang popular tentang Kartini dan pemikirannya. Namun saya tidak akan mengulas buku ini kerana belum habis baca (agak perlahan kerana bahasa Indonesianya agak pekat).



"Tubuh boleh terpasung, tapi jiwa dan fikiran harus terbang sebebas-bebasnya." Demikian dialog Kartini di dalam filem arahan Hanung Bramantyo pada tahun 2017 (pun belum tonton).

Kartini, seorang wanita yang sejak kecil sudah mendapat pendidikan  di sekolah Belanda. Dari situ fikirannya mula bercambah dan melihat persekitarannya yang meminggirkan hak wanita, feudalisme yang keras dan berbangsa-bangsa. (Kartini keturunan biasa tetapi hidup dalam suasana kebangsawanan apabila ayahnya berkahwin lagi satu dengan seorang wanita bangsawan).


Walaupun keluarganya lebih maju dari aspek pendidikan, namun keterikatan dengan adat kebangsawanan, Kartini turut terlingkung sama. Untungnya, Kartini dikelilingi oleh bapa dan pak cik yang mempunyai ilmu yang tinggi, serta berjawatan tinggi pada zaman itu. 

Usianya hanya setakat 25 tahu (meninggal selepas melahirkan anak pertama), tetapi fikirannya telah tiba ke Belanda melalui surat-suratnya yang bukan sahaja membawa impian dan cita-citanya yang besar bagi mengubah adat dan masyarakat di Jawa tetapi juga gaya bahasa sasteranya yang tinggi dalam bahasa Belanda sehingga orang Belanda sendiri kagum dengan kehalusan penulisannya.

Yang menarik setakat awal pembacaan dan pemahaman saya ialah tentang apa yang Kartini lakukan - bukan berbentuk perubahan secara material dan fizikal pada waktu itu tetapi perubahan dan gelombang kemajuan dalam pemikiran.

Ini kerana walaupun Kartini sudah setingkat lebih tinggi pendidikan dan pemikiran daripada anak-anak gadis seusianya, dia masih belum mampu mengubah sekeliling secara besar-besaran. Malah, Kartini banyak mengalah dengan adat dan ketentuan kebangsawanan keluarganya. Malahan, sekolah untuk perempuan yang pertama dibina juga bukanlah sekolah yang dibina oleh Kartini, tetapi oleh perempuan Jawa lain bernama R. Dewi Sartika.

Demikian setakat pembacaan awal, Kartini bergerak melalui fikirannya yang mendahului zaman.

"Orang yang bersifat bekerja ke luar harus bercermin kepada hasil perjuangan orang, sebagai Kartini itu. Kartini cuma seorang penunjuk jalan sahaja."

Namun surat-suratnya menjadi titik terbukanya pandangan orang Belanda kepada anak Jawa ini, dan sebagai bukti Kartini, seorang gadis kecil sudah terdewasa fikirannya kerana persekitarannya yang maju (keluarga yang mementingkan kemajuan pendidikan) dan buku-buku yang dibaca olehnya sejak kecil.

Ya, perubahan tidak semestinya melalui sesuatu yang dilihat secara langsung sebagai bentuk material. Perubahan fikiran adalah satu gerakan yang paling halus tetapi tajam terutama dalam membentuk dan mempengaruhi fikiran orang lain. 

Nanti sambung.

Bacaan menarik: https://gatholotjo.com/2017/08/13/betapa-kartini-telah-terdjinakkan-oleh-joss-wibisono/

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...