Wednesday, April 08, 2020

PKP Hari Ke-22: Menjadi Tukang Apa?

Photo by Huỳnh Đạt from Pexels

PKP hari ke-22, apa yang saudara saudari pelajari di dalam rumah sendiri?

Hari ini, desas-desus kedengaran, PKP akan dilanjutkan lagi. Mungkin sehingga melangkaui Ramadan dan Syawal. Dalam proses pemulihan wabak Covid, inilah yang dijangka berlaku: 18 Mac - 31 Mac (14 hari fasa 1 - Pemantauan), 1 Apr - 14 Apr (14 hari fasa 2 Pencegahan), 15 Apr - 28 Apr (14 hari fasa 3 - Pemulihan), 29 Apr - 12 Mei (14 hari fasa 4 - Pembersihan) 13 Mei- 27 Mei (14 hari fasa 5 - Pembebasan).


Lebih kurang 70 hari, kita akan mengawal pergerakan, duduk di rumah, melalui penjarakan sosial dan elakkan berhimpun atau berkumpul dalam tempoh waktu yang lama dan jumlah yang ramai.

Apa yang kita boleh mahirkan diri dalam tempoh 70 hari di rumah sendiri? Memasak? Pengurusan masa? Menulis? Mengawal emosi? Rancang kewangan? Mengulas filem? Membawang? Eh.

Saya, mahu mahirkan diri buat rendang. Manalah tahu kena beraya di Kuala Lumpur. Buat permulaan, saya beli pes rendang di kedai pagi tadi. Ha ha ha...

(Berharap tidak selama itu kita perlu berkurung).

Menjadi 'Tukang'!


Sudah lama tidak mendengar perkataan ini. Kali terakhir, barangkali ketika zaman sekolah, cikgu menyebut bapa saya sebagai 'tukang kayu'. Pada awalnya saya agak tergores dengan perkataan 'tukang' itu. Ia bernuansa merendahkan. 

Mungkin jika disebut dalam bahasa Inggeris disebut sebagai 'craftsman', atau dalam bahasa Indonesia disebut 'artisan', barulah kita bangga mendongak?


Ah, perangai apakah terasa rendah diri dengan bahasa sendiri? Ini disebabkan tidak memahami makna dan definisi sebenar 'tukang' itu tetapi terperangkap dalam stratifikasi sosial yang tidak sihat. 

Tukang dalam bahasa Melayu:

[tu.kang] | توکڠ

Definisi : 1. orang yg mahir dlm sesuatu pekerjaan tangan, pandai; ~ besi orang yg pandai membuat alat drpd besi (parang, pisau, dll); 2. orang yg pekerjaannya membuat (menjual, mengurus, dll) sesuatu yg tertentu: ~ catat; 3. orang yg suka atau biasa melakukan sesuatu (yg umumnya kurang baik); ~ copet orang yg gemar mencopet; 4. ahli (sbg kata cemuhan);

PRPM menyenaraikan contoh TUKANG, antaranya:

~ kritik orang yg gemar mengkritik orang lain; 
~ air penjual atau pengangkat air; 
~ ampu orang yg suka mengampu (bermuka-muka dgn ketuanya dll); 
~ andam orang yg pandai mengandam pengantin biasanya pengantin perempuan); 
~ api orang yg menjaga api (di kapal dll); 
~ arloji orang yg pekerjaannya membaiki jam; 
~ asah sl orang yg pandai mengasah gigi; 
~ bang bilal, muazin; 
~ batu orang yg pandai membuat perkakas drpd batu; 
~ beca penarik beca; 
~ bendera = 
~ kebut Id penjaga garisan (dlm permainan bola sepak dll): 
~ botol = ~ loak orang yg membeli dan menjual barang-barang lama; ~ canai tukang mengasah pisau dll; ~ catut broker (cangkau); 
~ cerita orang yg suka bercerita; 
~ cetak orang yg pekerjaannya mencetak (buku dll); 
~ cuci dobi, penatu; 
~ cukur orang yg pekerjaan­nya mencukur (janggut, rambut, dll); 
~ daging penjual daging; 
~ dobi pencuci kain (pakaian); 
~ elektrik orang yg memasang dan membaiki alat-alat elektrik; 
~ emas orang yg pandai membuat barang-barang perhiasan dll drpd emas; 

.... dan banyak lagi (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Pendek kata, tukang ialah 'orang yang mahir, pandai, dan memiliki kekhasan dalam sesuatu bidang. Perkataan lainnya ialah: Ahli, juru.

Nah, sekarang mahu rendah diri lagi dengan perkataan tukang? (Kecualilah 'tukang' yang dikaitkan dengan hal negatif).

Menjadi tukang apa dalam masa 70 hari?


Semasa awal PKP, saya berazam untuk menulis novel dan menyiapkan kumpulan cerpen. Kononnya, dalam tempoh berkurung itu pastinya kerja-kerja penulisan akan bergerak lancar, fokus dan dapat disiapkan segera. 


Tapi saya salah. Sangat salah. Penulisan bukanlah kerja yang boleh dibuat semudah itu. Ia memerlukan persediaan dari aspek mental dan fizikal.

1. Menangani 'gangguan' daripada anak-anak dan tanggungjawab kerja-kerja di rumah
2. Memilih ruang dan masa yang sesuai
3. Menjaga kesihatan fizikal (bersenam, makan makanan sihat)
4. Menjaga kesihatan emosi (elakkan konflik dan cari ketenangan)
5. Kenal diri sendiri untuk penyusunan jadual lebih berkesan
6. Fokus


Saya tahu, untuk menaikkan semangat (penulis baharu khususnya), ramai 'sifu' atau pengajar yang mengatakan, 'menulis itu mudah'. Saya tidak mengatakan ia salah. Secara dasarnya, ya, mudah. Tapi bagaimana 'mudah' itu dimanifestasikan dalam bentuk karya yang baik. Saya juga tahu, sudah banyak formula dan tip, strategi dan teknik yang dibuat dan menjadi eksperimen kepada kerja-kerja penulisan sehingga melahirkan buku. 

Jika anda sudah tahu caranya, nampak jalannya, maka teruskan. Buktikan - dengan wujudkan buku itu, jualan dan sambutan kepada umum. Gagal? Cuba lagi dengan teknik yang lain.


Dan untuk menjadi 'tukang' dalam sesuatu bidang, bukanlah hanya soal ilmu yang ada, tetapi juga pengalaman menganyam ilmu itu, serta hasilnya yang memberangsangkan.

Lihat sahaja penulis-penulis yang telah berjaya melahirkan banyak buku dan berkualiti pula isinya. Tanyakan pada mereka perjalanan mereka menjadi 'tukang tulis' itu untuk kita manfaatkan. Pastinya, strategi utama untuk menjadi mahir dalam bidang yang dikerjakan ialah FOKUS dan latihan tanpa henti. Seperti belakang kapak, jika diasah, pastikan tajam juga akhirnya. Asah laju-laju, cepatlah tajam, bolehlah kutip hasil (tebang pokok dan jual kayunya). Itu contoh lama la.

Antara buku yang ditulis oleh tukangnya. Pasti ada strategi dan kemahiran tertentu berdasarkan ilmu dan pengalaman masing-masing.

Dalam tempoh PKP, selain menyelesaikan dokumen terjemahan, saya juga membuat kerja-kerja penyuntingan secara sambilan. Membantu rakan-rakan yang memerlukan khidmat 'mencantikkan ayat' dalam buku mereka yang bakal diterbitkan.

Tersenyum apabila salah seorang tokoh menyebut saya sebagai tukang buat buku. Bangga walaupun pengalaman dan ilmu masih kurang. Insya-Allah, kalaupun gagal menjadi tukang tulis, saya berazam untuk jadi tukang buku. Mahu lihat buku-buku di Malaysia mencapai standard yang tinggi dan berbaloi dibaca. Dan saya berharap dapat memanfaatkan tempoh kawalan pergerakan ini dengan baik.





No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...