Friday, April 03, 2020

PKP Hari Ke-17: Tentang Politik

Gambar oleh Markus Spiske - Pexels

Hari ke-17 PKP, apa khabar Perdana Menteri? Apa khabar menteri-menteri?

Membaca hantaran kawan-kawan, semasa tempoh PKP berlangsung fasa kedua ini, sedikit aman apabil isu politik semakin kurang dibicarakan. Jika ada pun ia berpunca daripada pihak pembangkang yang tidak puas hati (dalam bahasa slanga disebut 'koyak') dengan kerajaan baharu hasil "Langkah Sheraton" yang dibuat oleh beberapa pemimpin demi menyelamatkan situasi politik di Malaysia. 

Ada hikmahnya Langkah Sheraton terjadi sebelum virus Covid memuncak begini. Penukaran tampuk pimpinan amat perlu apabila pimpinan lama dilihat gagal selama 22 bulan selepas menjatuhkan kerajaan BN. Bukan sahaja gagal menunaikan manifesto, tetapi juga merosakkan lagi negara yang sedia ada. Saya gembira? Sudah tentu. 

Sebagai rakyat, dalam era teknologi dan media sosial menjadi suara masyarakat, kegagalan kerajaan PH amat jelas. Saya tidak ada masalah siapa pun memimpin, tapi kegagalan ini membuatkan saya melihat siapakah menterinya dan apakah bawaan parti politiknya.

Mengapa tiba-tiba cerita tentang politik?

Dulu saya merupakan wartawan merangkap jurufoto. Tugas utama ialah buat berita (berdasarkan berita semasa dalam dan luar negeri), mengambil gambar acara atau program dan menulis artikel.

Saya tiada masalah buat berita atau ambil gambar apa jua majlis dan program. Pergi majlis, ambil gambar dan buat berita. Senang. 

Tapi saya ada masalah jika diminta buat artikel tentang politik. Sungguh. Saya tidak minat politik. Jika ada sesuatu isu yang berkaitan dasar atau tindakan pemimpin terhadap sesuatu isu, saya akan ulas isu sahaja tanpa mengulas dengan kritis keseluruhan isu tersebut. 

Seingat saya, memang saya tidak pernah menulis artikel berkaitan politik (pure politik). Mujur juga bos waktu itu tidak mendesak. yelah, saya pun bukan orang yang pakar atau berkelayakan menulis tentangnya.

Namun, menjadi wartawan memang tidak akan lepas daripada menggelumangi dunia politik. Sedikit sebanyak tahu tentang pemimpin itu dan ini, tentang dasar mereka, tentang sikap mereka di belakang wartawan.

Ada sebuah cerita, tak ingat tahun berapa. Barangkali tahun 2007 ketika era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, sebuah perhimpunan oleh NGO bernama BERSIH diadakan buat pertama kali. Tuntutannya tentulah tentang pilihan raya yang bersih dan adil. Sekumpulan manusia dengan memakai baju kuning menyeru rakyat turun demontrasi mendesak kerajaan menggubal/mengubah bentuk pilihan raya agar lebih telus.

Sebagai wartawan, dan waktu itu saya juga ingin tahu perkembangan politik semasa (dan ada juga tidak puas hati dengan kerajaan), ingin sekali menyertainya - sebagai pemerhati luar. Sudah terbayang mengangkut kamera DSLR, mengambil gambar sana sini, merakam sejarah.

Namun, entah bagaimana, barangkali bos ketika itu tahu niat saya, maka saya dihantar pula ke sebuah forum/ceramah  berkaitan ketatanegaraan (ha ha ha). Mendongkol betul waktu itu apabila terpaksa mendengar penceramah bercerita tentang tanggungjawab sebagai warganegara, sejarah bangsa dan entah apa-apa lagi. 

Saya tidak ingat bagaimana, saya beranikan diri bertanya soalan kepada salah seoarng penceramah (setiausaha politik seorang menteri). Soalan saya, lebih kurang begini: Bagaimana segala maklumat dan dasar kerajaan dapat disampaikan kepada umum dalam ledakan teknologi maklumat di hujung jari? Bagaimana kerajaan menyekat dan mendidik masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang betul?

Jawapannya panjang lebar dan tentulah menyinggung tugas saya sebagai wartawan yang perlu menulis sesuatu yang mendukung aspirasi kerajaan.

Malah, beliau juga bercerita mengapa dan kenapa kerajaan menjalankan beberapa dasar - tentulah ada serampang tiga matanya. Dan ketika itu saya sedikit sebanyak faham tentang politik. Strategi, pilihan dan menang. Apa yang satu selama ini hanya permukaan.

Mempelajari politik.

Jika berminat tentang politik, tentu sahaja kita akan mendekatkan diri dalam dunia politik, belajar melalui buku dan sejarah lalu dan mengamalkannya.

Jika sekadar mahu tahu dan berfungsi sebagai masyarakat yang berilmu, boleh sahaja pilih buku politik yang sesuai dan mula membaca. Begitu juga dengan filem atau drama yang berkaitan. Setakat ini, usaha saya memahami sedikit sebanyak tentang politik hanya melalui buku (karya kreatif) - puisi, novel dan cerpen, juga drama (kebanyakannya drama Korea la). 

Antara novel tempatan tentang politik ialah Merentas Gerhana oleh Norhisham Mustafa. mengenai PRK di sebuah kampung dan apa yang berlaku memberi gambaran jelas kepada saya walaupun sedikit. Dan ada beberapa novel lainnya (ah, sebenarnya tak banyak yang saya baca berkaitan politik).

 

Baru-baru ini juga saya menonton sebuah drama Korea bertajuk The Great Show, berkenaan seorang lelaki yang berlawan kawasan dengan politikus yang zalim. Sangat menarik. Dalam drama Encounter juga ada sedikit tentang politik. Sedikit tapi menarik. Ada lagi beberapa, sudah lupa.

Dapat tahu ragam politik, strategi, kepimpinan dan pahit maung liciknya politik, pun memadai sebagai rakyat biasa yang punya hak memilih pemimpin dan mengkritik beberapa perkara yang dilihat tidak betul. Sebagai rakyat, kita punya hak itu.

Malam ini, tiba-tiba juga berminat bercerita tentang ini apabila diberi peluang menyunting tesis seorang tokoh politik. Tesisnya mengenai kepimpinan Dato' Najib Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang sangat banyak kontroversi (atau fitnah oleh pembangkang) semasa pemerintahannya (2009 - 2018).

Apa yang menarik, banyak dasar/program yang beliau lakukan (lebih baik daripada pemimpin sebelumnya malah lebih baik daripada Tun M sendiri) dari aspek ekonomi (dilabel sebagai Najibnomics) dan demokrasi rakyat.
Sayang sekali, segala dasar, program dan apa sahaja yang beliau lakukan tidak sampai kepada masyarakat sepenuhnya akibat ketirisan pengurusan menteri bawahannya dan juga propaganda yang dimainkan oleh pembangkang dengan begitu dahsyat.

Berminat dengan politik? 

Tidak. Tapi sebagai rakyat, janganlah buta melihat pemimpin melalui kepartian. Taasub lalu membenarkan dan menyetujui semuanya asalnya kekal sebagai pemimpin.

kejatuhan PH dan kegagalannya dalam pentadbiran selama 22 tahun sepatutnya menyedarkan masyarakat. Tapi masih ada yang menyokong dan tidak menerima hakikah PH telah digulingkan. 

Namun, tidaklah pula saya menyokong kerajaan baharu (Perikatan Nasional) semberono. Masih terlalu awal menilai. Dalam tempoh PKP dan usaha menangani Covid-19, nampaknya semua terkawal dan nampak kerajaan mengutamakan rakyat. 

Mana yang elok kita sokong, mana yang kurang kita betulkan. 

*Cuma dapat bayangkan jika PH masih memimpin. Mesti huru-hara dengan perangai setiap menterinya yang gelojoh, kurang cerdik dan kurang matang. Belum lagi hal merendahkan rakyat (suruh rakyat berusaha sendiri), haloba dalam menangani kekayaan negara serta mengandungi niat tidak baik kepada negara. Fikirlah sendiri isunya apa. Banyak!


No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...