Monday, April 06, 2020

PKP Hari Ke-20: Love Song, Please!



PKP Hari ke-20, walaupun graf pesakit yang positif Covid-19 mendatar, namun masih terdapat kes-kes baharu dan kematian sehingga hari ini menjangkau 62 orang.

Apa perasaan saya hari ini?

Terfikir, berapa lamakah lagi PKP akan berlangsung? Berapa lamakah lagi virus ini akan mendiami Malaysia dan dunia? Mampukah saya terselamat?

Apa yang perlu saya isi dalam tempoh yang diberikan ini? Dan jika saya dipilih untuk sakit dan mempunyai hayat yang pendek, adakah saya akan pergi dengan puas?

Love Song, sebuah keinginan untuk hidup

Dunia mendatar, trauma akibat selalu dibuli, kehilangan ibu bapa sejak kecil dan hidup di rumah kebajikan membuatkan Sakura Sano kehilangan semangat untuk hidup. Keadaan ini juga membuatkan Sakura mengalami gagap yang serius dan tiada keyakinan diri bergaul dengan sesiapa.

Sikapnya ini menimbulkan banyak masalah kepada dirinya dan orang sekeliling (ah, panik betul babak Mami pengsan dan berdarah, Sakura pula gagal bercakap dengan bahagian kecemasan).

Keadaan ini juga menyukarkan Sakura di tempat kerjanya sehinggalah suatu hari dia dipaksa oleh majikannya bertemu dengan doktor psikiatri, Dr. Kohei  Kamishiro di tempat mereka bekerja.

Dengan bantuan Dr. Natsuki (rakan baik Dr. Kohei), Sakura memperoleh kekuatan untuk memulihkan gagapnya dan dalam masa yang sama, Sakura jatuh hati kepada Dr. Kohei yang terlalu baik kepadanya.

Keinginan Sakura memulihkan gagapnya bukan sahaja kerana cintanya kepada Dr. Kohei tetapi dia juga perlu menyiapkan diri untuk ucapan di majlis perkahwinan kawan baiknya Mami. Dr. Natsuki dapat mengenalpasti bantuan yang berkesan untuk Sakura mengatasi gagapnya - dengan menyanyi.



Ketika mendengar suara Sakura menyanyi, Dr. Kohei  seperti terjaga dari lena sekian lama. Dr. Kohei sebenarnya seorang komposer muzik yang terkenal suatu masa dulu namun berhenti bermain muzik kerana peristiwa sedih 20 tahun lalu melibatkan kematian kekasihnya (adik Dr. Natsuki). Mendengar suara Sakura, keinginan bermain muzik dalam diri Dr. Kohei timbul kembali.


Cinta itu menguatkan?

Selalu kita dengar, cinta itu menguatkan seseorang. Perasaan Sakura berbunga-bunga dan sanggup apa sahaja asalkan Dr. Kohei di sisinya. Namun, cintanya ditolak.

Apa yang Sakura buat? Sakura tidak patah semangat.

Dia bersyukur kerana dia mampu menyampaikan apa yang dia rasa walaupun cintanya tak berbalas. Dia menikmati kebebasannya menyanyi dan tentunya dia berterima kasih kepada Dr. Kohei walaupun hatinya patah.

Namun, langit tak selalunya cerah. Ketika kemuncak dirinya mula mendapat keyakinan diri mengadakan persembahan nyanyian dan muziknya diterima umum, dia disahkan menghidap kanser larynx. 

Kerana memikirkan masanya tidak lama (peratus suaranya pulih selepas pembedahan amat tipis), Sakura ingin menikmati hidupnya semaksimum mungkin. Dia dan rakan baiknya, Soraichi (yang menaruh hati kepadanya) terus merancang persembahan solo (tanpa petikan gitar Dr. Kohei). Mami yang kemudiannya mengetahui keadaan Sakura segera mempercepatkan majlis perkahwinannya bagi membolehkan Sakura menyampaikan ucapan pada majlis itu sebelum pembedahan dijalankan. 

Pembedahan berlangsung dengan jaya, namun kemudian Sakura menghilangkan diri...

Apa yang terjadi? Silalah menonton.

Love Song, tentang kita

Drama ini kaya dengan nilai persahabatan (Sakura, Mami, Soraichi), juga kesetiaan seorang kawan (Dr. Natsuki kepada Dr. Kohei).

Penonton dibujuk dengan semangat Sakura memulihkan dirinya yang tiada keyakinan dalam pergaulan dan diri sendiri.

Banyak cara untuk kita melahirkan penghargaan, sayang dan cinta kepada seseorang. Drama ini membuktikannya.

Setiap orang ada kelemahan dan kelemahan itu perlu diatasi. Fokus kepada kekuatan dan isilah hidup dengan sesuatu yang membahagiakan diri sendiri dan orang sekeliling.

Cerita yang sederhana tetapi besar implikasi kepada penonton yang inginkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Dan saya? Masih tidak mahu meninggalkan apa-apa untuk orang-orang yang saya sayangi? Buku tulisan sendiri misalnya. Takkan dah sakit teruk atau tahu hayat tidak panjang baru nak bertindak?

Maklumat drama:

http://asianwiki.com/Love_Song_(Japanese_Drama)



No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...