Thursday, April 16, 2020

PKP Hari Ke-30: Rent A Friend: Berapakah Harga Seorang Kawan?


Apa khabar semua. Hari ini hari ke-30 kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. Sedar tidak sedar, dalam keripuhan rasa dan tidak selesa, dalam keresahan melalui hari-hari yang menakutkan, kita sampai ke peringkat ini - Fasa ke-3, PKP sehingga 28 April ini.

Selamatkah kita daripada virus yang tidak nampak ini? Mampukah kita bertahan jika PKP dilanjutkan lagi dan lagi? Hanya berserah kepada Tuhan.

Namun, seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, kita masih ada rakan-rakan yang meriuhkan suasana hari-hari kurungan kita. Melalui media sosial, entah berapa ribu kawan dan pengikut (follower), sedikit sebanyak menyumbang kepada mood dan kelangsungan kita melalui PKP.

Ada kawan yang memberi tawa setiap hari. Ada kawan yang menjengkelkan, ada yang menyedihkan, memberi motivasi, ilmu baharu dan meluaskan ufuk pemikiran kita dan ada juga kawan yang mencari-cari peluang - perniagaan, khidmat, memudahkan urusan kawan yang lain atau mengambil kesempatan. 

Namun, bagaimana pula dengan mereka yang secara realitinya tidak punya kawan (kawan baik)? Adakah PKP melegakan untuk mereka melalui hari dengan tenang? Atau ...

Rent a Friend; kisah tentang kawan

"Women in love are ugly." Babak awal filem, ayat ini terpapar dan kemudian seorang perempuan  menjerit - Sebenarnya saya seorang penulis di Hello, Projek! Saya membeli alat pengurut payu daya tapi ia tidak berguna....

Filem pendek ini bermula apabila seorang penulis di sebuah portal bernama Nasa perlukan bahan baharu untuk tulisannya. Rakan sepejabatnya membawa dia ke sebuah kelab malam untuk merehatkan fikiran dan sebagai penghargaan kerana kerja-kerja sebelum ini dapat dibereskan dengan bantuannya.

Di kelab itu Nasa kebosanan kerana dia memang tidak gemar tempat sebegitu oleh kerana faktor usia juga. Di tengah-tengah perbualan tentang jurang perbezaan pergaulan antara lelaki dengan perempuan zaman dahulu dan kini (Nasa lebih tua, berusia 29 tahun berbanding rakan sepejabatnya yang masih muda), mereka didatangi seorang lelaki yang membuat trick silap mata. Kemudian perkenalan bermula. 

Ketika berdua dengan lelaki yang bernama Sota (rakan pejabatnya sudah menghilang dengan rakan Sota), Nasa berasa janggal dan tiba-tiba bertanyakan soalan, "Adakah awak fikir perempuan dan lelaki boleh berkawan?"

Sota menjawab, "Saya fikir boleh. Sebab saya boleh 'switch' hal itu."

Hal ini menarik minat Nasa. Namun mereka terpaksa berpisah dengan segera kerana Sota mempunyai urusan lain.


Di pejabat, rakannya mengadu, lelaki yang dijumpai semalam sangat membosankan kerana tidak tahu berkomunikasi. Dan dia memecahkan rahsia, lelaki yang bersama Nasa itu ialah Rental Friend lelaki itu. Bermakna, lelaki itu menyewa seorang kawan untuk menghubungkan dia dengan perempuan yang diminatinya.

Nasa terkejut dengan perkara itu tetapi segera mendapat idea penulisan. Dia akan menulis tentang Rental Friend dan mengesahkan pendapatnya: Lelaki dan wanita boleh menjadi kawan akrab. Nasa segera menghubungi ejen rakan sewaan itu dan dia mahukan khidmat Sota sebagai rakan sewaannya dengan alasan mahu menulis sebuah novel berkaitan persahabatan lelaki dan wanita. 




Kisah rental friend di portal Nasa meningkat naik. Rental Friend bukan untuk orang yang kesepian sahaja tetapi untuk mereka yang mencari kawan yang boleh menerima tanpa syarat. Nasa juga mahu membuktikan bahawa perempuan dan lelaki boleh sekadar menjadi kawan apabila Sota menjelaskan kerjayanya itu sangat profesional.

Kisah Rental Friend semakin mendapat sambutan hangat di portal itu. Ketua Nasa memberi cadangan demi menaikkan lagi 'hit' portal yang membuatkan Nasa berasa serba salah. Namun dia terpaksa menurut atas desakan kerja. 




Apakah yang berlaku? Bagaimana Nasa melakukan rancangan untuk mengajak Sota ke hotel atau tempat sunyi untuk menguji keprofesionalan Sota itu? Dan malam itu, Nasa ke rumah Sota untuk mendengar muzik yang dimainkan oleh Sota. Ketika mahu pulang, dia sengaja meninggalkan telefon bimbitnya di rumah Sota. Apa yang terjadi malam itu?

Nilai Sebuah Perhubungan

Filem ini sebetulnya tidaklah begitu mengesankan bagi saya. Filem biasa sahaja walaupun menang beberapa anugerah dalam festival filem pendek Jepun ini. Banyak kelompongan boleh diisi lagi. Sebagai contoh, mengapa seseorang perlukan rakan sewa. Dalam dunia moden ini, konflik sosial sangat tinggi. Kemunculan media sosial menjadikan hubungan sosial realiti masyarakat agak rapuh. Saya jangkakan isu-isu moden ini akan diketengahkan.

Seperti yang ditunjukkan awal babak, Nasa berbual dengan kawannya berkenaan dengan perbezaan 'nilai' kawan zaman dahulu dengan sekarang. 
"Sekarang orang berkawan tidak lihat rupa tetapi status sosial."
 Dan soal-soal tradisional dilanggar seperti, 
"Orang muda sekarang tidak kisah melakukan hubungan seks walaupun hanya berkawan dengan seseorang."
Dari situ saya menjangkakan filem ini akan membawa falsafah dan nilai budaya sosialisasi di Jepun. Tapi saya hampa. Sekadar situasi biasa dalam hubungan berkawan yang boleh sahaja tersinggung, mengambil kesempatan (Nasa juga menggunakan Sota untuk tujuan penulisannya) dan babak-babak klise dalam hubungan harian.


Namun, filem ini masih menarik untuk di tonton pada babak Nasa mengalami dilema apabila Sota mula rapat dengan rakan serumahnya. Nasa menjadi sedikit cemburu dan mempersoalkan keprofesionalan Sota. Namun Sota ada hujahnya tersendiri. 
"Words a not a symbol, similar though. There are different way to  interpret a word, similar to music."
Sebagai Rental Friend, Sota tidak menikmati nilai sosial dengan orang lain kerana keinginannya ditentukan oleh pelanggan, manakala dengan Tamaki, dia selesa berkawan kerana minat yang sama. Tamaki memenuhi jiwanya yang lain - muzik. Bagaimanakah mereka mengatasi kecelaruan ini?


Apa jadi dengan 'kenyataan' Nasa yang mengatakan lelaki dan perempuan boleh berkawan baik? Adakah dia berjaya mempertahankan kata-katanya itu?

Mayu Akiyama, pengarah filem ini mengatakan:

Relationships' are dear as well as a bother. It makes no difference if you bought it with money. The film depicts my direct and indirect responses to the question of whether a friendship between a male and a female can exist.
Saya? Saya percaya lelaki dan perempuan boleh jadi kawan baik tanpa ada perasaan selanjutnya jika mereka tahu batasannya.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...