Setiap orang ada suara. Suara yang tersembunyi atau suara yang mampu dilihat, ia tetap suara yang memberi kesan kepada kehidupan. Ada orang suka simpan dalam hati. Ada pula yang suka lontarkan.
Semalam, saya menonton filem indie Jepun bertajuk Wander Life (2018). Terima kasih Kak Nisah yang memberi 'link' filem-filem sempena Festival Filem Jepun ini.
Wander Life: Memahami Suara Hati
Bermula dengan bunyi goresan pensel pada kertas dan latar bunyi piano yang sederhana, seorang gadis memakai seragam sekolah, menulis catatan pada bukunya. Angin bertiup menerbangkan anak rambut dan catatannya menjadi lebih laju dan laju - ada jeritan dari dalam dirinya yang meminta didengari. Tapi dia tidak tahu bagaimana. Adakah kehadirannya di dunia ini akan dipedulikan oleh orang lain atau hanya menjadi bahan jenaka kawan-kawan lain?
Filem arahan Naho Kamimura ini mengangkat tema 'suara' melalui watak Hinano, seorang pelajar sekolah berusia 14 tahun yang sering dibuli rakan sekelas kerana sikapnya yang suka bersendirian dan asyik menulis sesuatu dalam buku notanya.
Suatu hari, rakan sekelas membaca dengan nada mengejek mengenai catatan Hinano. Hinano jadi marah tapi dia tidak mampu menunjukkan kemarahannya lalu berlari meninggalkan kelas dan menuju ke bilik kesihatan sekolah. Di situ Hinano bertemu dengan jururawat bernama Shindo yang sempat membaca catatan Hinano ketika bukunya itu tertinggal di atas katil.
Jururawat Shindo membaca buku itu dan sejak itu mereka menjadi rapat. Namun sesuatu berlaku. Hinano berasa dikhianati apabila jururawat Shindo dan guru kelasnya terpalit dengan skandal. Malu diejek kawan-kawan yang mengatakan, "Jururawat dan guru itu hanya mahu ambil kesempatan atas keadaan Hinano, supaya mereka boleh bertemu dan bercinta senyap-senyap!", Hinano pulang ke rumah dan menangis sepuas-puasnya sambil mencatatkan kata-kata penuh perasaan marah pada buku-buku notanya.
Rakan sekolahnya datang, menyerahkan sepucuk surat daripada jururawat Shindo. Sambil membaca surat itu, Hinano mendengar sebuah lagu daripada band yang disukai kakaknya. Antara lirik dalam lagu itu ialah,
"Been overthinking too many things, am I honest or just naive ... but still if you open it all, when you tell how you truly feel, surely, surely everything's gonna be alright...
Dalam surat itu, terdapat lakaran The nurse's corner: Your universe, merupakan catatan jururawat Shindo tentang bilik kesihatan yang menjadi dunianya, dunia Hinano untuk melakukan apa yang mereka suka tanpa gangguan.
Dari situ, juga dengan semangat oleh lagu Swanky Dogs itu, Hinano mendapat kekuatan menulis apa yang dia rasa dan mahu meminta maaf serta beri semangat kepada jururawat Shindo yang banyak membantunya selama ini.
Hinano menemui band Swanky Dogs dan merayu meminta mereka melagukan catatannya dalam buku itu untuk diberi kepada jururawat Shindo. Semalaman menunggu lagu itu siap dan paginya, Hinano segera berlari ke sekolah tepat-tepat ketika jururawat Shindo menerima penghinaan atas perbuatannya menjalinkan hubungan dengan guru sekolah yang sudah berkahwin.
Lagu catatan hatinya itu dibuka dengan kuat supaya satus ekolah mendengar suara hati itu - suara Hinano dan suara jururawat Shindo. Dari situ jururawat Shindo jadi kuat menjawab cemuhan terhadap dirinya sedangkan dia tahu perasaannya benar - mencintai lelaki itu.
Filem tentang remaja
Apabila menyebut remaja, kita akan terbayang dunai mereka yang penuh misteri. Ia jadi aneh apabila kitalah remaja itu, yang amat terhad dalam menimbangtara sesuatu perkara. Sebagai remaja juga, kita amat bergantung kepada orang dewasa untuk membantu dalam mendepani cabaran akan datang.
Aneh juga apabila kita menjadi dewasa yang tidak menoleh ke belakang, tidak memahami malah menjadi contoh buruk kepada remaja.
Babak awal filem yang dilatari bunyi semula jadi - bunyi tapak kaki, bunyi kerusi meja yang diseret, bunyi kapur tulis di papan hitam, bunyi goresan pensel, bunyi angin, bunyi riang-riang di padang sekolah, bunyi suara sumbang rakan-rakan yang suka mengacau, bunyi kekecewaan, bunyi harapan.
Seorang remaja yang mentah mendambakan penerimaan orang dewasa terhadap mereka - memberi perhatian, kepercayaan dan kata-kata motivasi untuk mereka melangkah ke hadapan dengan berani dan betul.
Pertengahan filem, apabila Hinano terpaksa berdepan dengan pilihan, babak menjadi lebih bising dan penuh suara - muzik, suara rakan-rakan yang menekan dan konflik kekeluargaan. Demikian dunia remaja. Rapuh dan melulu jika tiada bimbingan. Sebenarnya, begitu juga dunia orang dewasa, jika salah langkah, pastinya akan huru hara. Pendek kata setiap manusia punya suara hati. Jangan biar orang menakluk dunia kita dan membuat kacau. Suarakan hati kita, lontarkan!
Pengarah filem ini berkata:
By putting sound and visuals to the outcry sitting in the bottom of my stomach, only then I felt that I could make it into 'a voice'. Whatever anyone says, I don't want to stop diving deep into my heart. I hope that the words I've scribbled alone become a lifeline towards tomorrow.https://www.japanesefilmfest.org/streaming/wander_life.html
No comments:
Post a Comment