Photo by Engin Akyurt from Pexels |
Hari ke-24, diumumkan oleh Perdana Menteri bahawa PKP akan dilanjutkan lagi dua minggu. Ini bermakna kerja-kerja dari rumah dan cuti persekolahan anak-anak dilanjutkan.
Pelbagai perasaan menempelak hati - dengan sedikit kesukaran menyiapkan dokumen (dan pejabat terpaksa mengurangkan kemasukan dokumen. Ini bermakna kuranglah pendapatan syarikat), anak-anak yang sudah kebosanan di rumah (untunglah yang punya rumah besar dan halaman luas), persekolahan yang tertangguh, dan paling penting, merindui emak abah di kampung (bimbang kesihatan mereka).
Itu saya. Orang lain tentunya berperasaan lain bergantung kepada situasi masing-masing. Yang bahagia, bahagialah di rumah menikmati kebersamaan ahli keluarga merapatkan kasih sayang. Yang berantakan, hadap sahajalah muka masing-masing di rumah dengan anak-anak yang mungkin sudah besar dan mempunyai perangai tersendiri. Yang sendirian, pastinya kesunyian dan hilang punca (atau bahagia dengan kesendirian itu). Yang sakit, yang sihat, yang perlu bekerja mencari rezeki, yang perlu keluar rumah menjalankan tugas kepada negara sebagai 'frontliner', yang pulang ke kampung sebelum PKP, dan terperangkap di sana tidak boleh balik ke rumah sendiri dengan tidak membawa apa-apa peralatan kerja dan macam-macam lagi.
Hidup dalam 'Kurungan' Zaman
Saya pernah menulis pada awal PKP lalu, "Bolehkah dinamakan terkurung sedangkan kita masih bebas melakukan apa sahaja - dengan Internet."
Bayangkan 30/40 tahun lalu dalam keadaan kebanyakan kawasan bukan sahaja belum kenal apa itu Internet atau 'langit terbuka', malah elektrik dan air paip pun masih terhad. Dulu-dulu apa aktiviti kita?
Seingat saya, semasa kecil berusia 5 tahun kami berpindah ke kawasan penempatan Felda. Rumah kayu dengan satu bilik, (dah lupa). Tiada elektrik, tetapi air paip sudah ada. Malam, pasang lampu gasolin, atau lampu minyak tanah.
Aktiviti harian? Abah dan emak akan pergi ke kebun (menoreh getah) awal pagi. Saya pun ikut sekali. gelap dan sejuk usah kira tapi itulah mata pencarian kami sekeluarga. Petang pula kerja lain dilakukan ikut kemahiran masing-masing.
Ada yang buka kebun, bercucuk tanah, ada yang berniaga kuih, ambil upah bersihkan kebun, gali tanah dan macam-macamlah yang boleh beri pendapatan sampingan. Abah? Abah saya tukang kayu. Tukang buat rumah. Jadi sepanjang hari memang semua sibuk bekerja. Anak-anak, pergi sekolah, bermain dengan anak-anak jiran, mengaji dan berehat di rumah waktu malam.
Ada jiran yang agak senang sikit beli jentera jana kuasa elektrik. Rumah dia terang dengan lampu kalimantang dan ada televisyen pula. Kalau ada cerita best, kami diajak sekali. Tape video penuh di rak, pilih sahaja mahu tonton filem apa. Waktu itu popular dengan rancangan Gusti. Jadi semua layan gusti. :P Tengah malam, jentera dimatikan dan suasana sepi kembali.
Gaya hidup? Kita hanya tahu apa yang berlaku dalam lingkungan kita - keluarga sendiri, jiran dan rakan di sekolah. Selebihnya mungkin cerita 'bawang' mak cik-mak cik tentang orang itu, orang ini. Apabila semua sudah mampu membeli televisyen maka gaya hidup pun berubah. sebahagian besar waktu terisi di depan televisyen. Maka, sedikit demi sedikit dunia menjadi luas (negatif dan positif). Ah, teringat pula novel Tivi oleh Shahnon Ahmad dan puisi tentang televisyen oleh Datuk Zurinah Hassan (tak jumpa pula puisinya).
Demikian, sedikit gambaran zaman beberapa puluh tahun dulu berkurung di rumah.
Bayangkan pula zaman kebelakang lagi, zaman sebelum merdeka, zaman peperangan. Kurungan di rumah pastinya lebih banyak dugaan dan cerita tersendiri. Terkurung dalam ketakutan, kemiskinan, kelaparan...
Kurungan Zaman Moden
Hari ini masuk hari ke-24 sejak fasa pertama PKP dilaksanakan. Fasa awal, sangat sukar mengawal pergerakan masyarakat hari ini yang sudah terbiasa bebas bergerak ke sana ke mari atas tujuan kehidupan yang pelbagai.
Polis dan menteri mengingatkan berkali-kali agar setiap daripada kita kurangkan pergerakan. Sekolah ditutup, pejabat hentikan operasi, pusat sukan, pasar raya besar, jalan raya ... kosong.
Apa kesannya? Ekonomi mula terjejas. Yang berniaga tidak dapat meneruskan pekerjaan. Begitu juga syarikat besar dan kecil. Persekolahan tergendala. Masyarakat mula risau. Ada yang menuntut itu ini sebagai bayaran balik kerugian yang mereka alami akibat arahan PKP. Ada juga yang berdegil masih keluar, marah-marah sana sini di media sosial dan keadaan menjadi kacau bilau.
Kerana apa? Kerana kita tidak pernah alami situasi begini. Kita di Malaysia tidak pernah dilanda bencana besar secara seluruhnya. Tiada gempa bumi, tiada letusan gunung berani, tiada banjir besar yang meranapkan seluruh negeri.
Maka, sedikit sebanyak situasi PKP ini melemaskan.
Maka, sedikit sebanyak situasi PKP ini melemaskan.
Namun, untungnya kita terkurung dalam situasi mewah. Hanya segelintir mungkin kurang berada tapi bantuan diberikan tidak putus oleh kerajaan melalaui Pakej Prihatin Rakyat dan Alhamdulillah, sumbangan orang perseorangan dan NGO juga terus berlaku.
Untungnya juga kita terkurung dalam rumah yang selesa, ada elektrik, kipas angin, pendingin hawa, televisyen, peralatan memasak dan harian yang canggih, Internet.
Jadi, bagaimana kita hidup dalam kurungan mewah ini?
Apa yang saya lihat melalui media sosial, kita baik-baik sahaja. Semua cuba menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Masing-masing berkongsi aktiviti, berkongsi menu, berkongsi lawak, melegakan dan mendoakan sesama mereka.
Namun, menyedihkan apabila tubuh yang terkurung belum mampu menjinakkan minda dan fikiran agar berbaik-baik sesama manusia di ruang maya. Pergaduhan tetap berlaku. Masih ramai mahu jadi Tuhan. Melabel orang sana sini, mengata dan menularkan hal yang tidak perlu.
Namun, menyedihkan apabila tubuh yang terkurung belum mampu menjinakkan minda dan fikiran agar berbaik-baik sesama manusia di ruang maya. Pergaduhan tetap berlaku. Masih ramai mahu jadi Tuhan. Melabel orang sana sini, mengata dan menularkan hal yang tidak perlu.
Setiap orang ada kehidupan sendiri
Jika kita melakukan kerja-kerja kebajikan seperti Ustaz Ebit Lew, Syed Azmi, penjaga rumah-rumah kebajikan dan perlindungan, sukarelawan yang membantu gelandangan, membantu anak-anak terbiar, mengambil peduli kebajikan kampung-kampung pedalaman dan membantu orang susah tanpa kira bangsa dan agama, tentunya kita akan lebih memahami bahawa hidup ini penuh dengan berjuta dugaan dan secara tak sedar ia membuka berjuta peluang untuk kita muhasabah diri dan menjadi makhluk Tuhan paling baik.
Melihat kesusahan orang, kita bantu tanpa banyak soal dan pertikaian.
Melihat ketidaktahuan orang, kita beritahu dengan adab agar dia tahu.
Melihat kesilapan dan aib orang, kita segera menasihati dengan cara terpuji.
Melihat kebahagiaan orang, kita bersyukur dan berdoa agar kebahagiaan itu menular kepada yang lain.
Dalam fasa terkurung ini, yang mungkin bertambah lagi dan lagi tempoh masanya, ambillah masa, berdamai dengan diri dan tanya kepada diri: Apakah yang kita mahukan dalam hidup ini.
No comments:
Post a Comment