sumber: pexel |
Api dari matamu
hutan rasaku terbakar tujuh tanjung
burung tak bernyanyi, sungai terhenti mengalir
sengketa berlangsung di hujung bulan purnama...
(Konfrontasi, Usman Awang, 1989)
Meneruskan PKP hari ke-26, dengan cuaca yang membahang. Bangun agak awal, terjaga kerana kaki sakit pedih akibat semalamnya terlalu banyak makanan manis saya telan. Bangun, solat Subuh dengan sedikit payah dan kemudian berbaring semula.
Hari ini hari Ahad. Sejak PKP, setiap hari adalah hari Ahad. Cuma dulu, mungkin hari Ahad saya agak tenang, dan memang selalu cuba untuk bertenang dan berehat sepenuhnya sebelum Isnin menjelang. Saya akan cuba mengelakkan apa-apa konflik kerana tidak mahu ia mengikut saya ke pejabat kelak.
Tapi hari ini, entah kenapa satu per satu hal terjadi menyebabkan perasaan sangat semak dan sedih. Konfrontasi ini benar-benar menyakitkan hati.
Umar
Sejak pagi dia sudah melawan. Entah kenapa kebelakangan ini kerap betul dia mengeluarkan kata-kata melawan seperti, 'okey, okey', menghentak kaki ketika berjalan, hempas pintu dan mengulang cakap ibunya dengan nada mengejek? Adakah sebab lama terkurung? Entah.
Ketika menyediakan karipap yang baru digoreng, saya menegur dia yang membuka aplikasi permainan (games) di telefon bimbit. Setelah saya tergur agak keras, dia meninggalkan meja makan dan hilang dari pandangan.
Saya tidak pedulikan dia. Terus memasak untuk makan tengah hari dan mandi segera kerana Suhaila, bekas rakan pejabat akan datang mengambil kopi yang dibeli daripada saya (kepunyaan Mak teh).
Ketika keluar menuju ke pintu hadapan, saya terlihat ruang kasut saya kosong. Saya fikirkan ada yang menyusunnya di rak lain. Tapi tidak, memang kasut kerja itu tiada. Mahu melangkah keluar, selipar saya juga tiada. Apabila saya tanya Iyad, dia tidak tahu. Beberapa ketika Umar mengaku dia sembunyikan kasut itu di celah pasu bunga di luar rumah berdekatan dengan tong sampah.
Hati saya mendidih. Dahlah cuaca panas. Saya arahkan dia cari, tapi memang kasut itu sudah tiada di situ. Mustahil diambil oleh lori sampah kerana sampah pagi tadi masih ada dalam tongnya.
Saya beritahu Umar agar dia dapatkan balik kasut dan selipar itu, dan selagi itu jangan masuk ke rumah. Selepas Suhaila datang, ambil kopi, saya terus masuk ke rumah. Sejam kemudian, menjenguk dia di luar (bimbang jugalag dia bersendirian di luar walaupun pintu gril tutup). Kasut masih tiada tapi dia dengan santai membaca komik di luar rumah. Hati saya semakin mendidih.
Dua jam kemudian, saya jenguk lagi. Dia sedang menyiram pokok bunga. Agak kelakar tapi ia belum mampu melembutkan hati saya. Kasut baharu kot. Patutlah rasa tak sedap hati semasa bawa keluar daripada kereta. Kasut yang baru beberapa kali saya pakai dan dibeli dengan harga agak mahal (bagi saya yang berstatus B40 ini).
Saya seterusnya membiarkan sahaja dia di luar, kerana dia pun tidak menunjukkan kekesalan terhadap perbuatannya. Dan sekarang sudah malam. Dia masuk ke rumah jam 7 malam tadi ketika babahnya balik. Walaupun babahnya sudah memarahi dia, saya masih belum terbuka hati mahu memaafkan selagi dia tidak menunjukkan kekesalan dan meminta maaf secara baik dengan saya.
Malah, kebiasaannya dia akan berlari masuk ke bilik kerana bimbang babahnya menyuruh dia membaca dan buat latihan sekolah. Kali ini dia sanggup! Saya dengar dia membaca iqra, membuat kerja sekolah dan menangis apabila dimarahi babahnya. Dia sanggup itu semua daripada masuk ke bilik meminta maaf dengan ibunya.
Jika diikutkan ini kali pertama dia 'pedajal' ibunya sendiri dengan menyembunyikan barang ibunya. Sebelum ini ada beberapa kali dia menunjukkan rusuh dengan abang-abangnya dengan cara yang sama. Abang-abangnya ada mengadu itu ini tapi saya tak ambil port sebab saya fikir hal ini kecil sahaja.
Hari ini apabila saya yang terkena, sakitnya hati, ya Allah. Bukan soal kasut itu semata-mata tapi kerana keangkuhan dia yang tidak insaf. Mungkin selama ini saya banyak back-up dia, saya cepat cair dan cepat melupakan kesalahan dia, maka dia jadi sebegini angkuh.
Sehingga ke saat ini (jam 11 malam) dia keluar masuk ke bilik dengan muka meminta berdamai, saya tidak hiraukan. Selalunya juga dia melukis tanda minta maaf, tapi tiada lukisan pun malam ini. Mungkin dia takut atau benar-benar dia keras hati.
Lukisan tahun lepas, hari yang sama, kami bergaduh dan dia minta maaf |
Saya tak tahu bagaimana cara mahu melupakan kesakitan ini. Malam ini biar dia tidur di luar dan saya tak mahu memulakan pendamaian.
Biarkan dia.
Prinsip
Dalam berkawan memang banyak ragam. Sejak kecil, zaman sekolah, zaman universiti, fasa bekerja dan sehingga kini; sangat banyak pengalaman berkawan yang menjadi pengajaran selain kenangan manis/pahit.
Kadangkala kita berkawan kerana serasi, berkawan kerana minat dan hobi yang sama, berkawan kerana satu daerah kelahiran, berkawan kerana bulan kelahiran sama dan banyak lagi. Setiap orang berkawan dengan sebab tertentu. Amat jarang rasanya kawan-berkawan wujud tanpa ada sebab.
Ketika berkawan juga kita mengenali siapa kawan kita, bagaimana sikapnya, apa kesukaannya, apa yang tidak disukai, prinsip, sejarah hidupnya dan banyak lagi. Hal ini berlangsung ketika awal-awal perkenalan.
Ada juga situasi tidak sihat berlangsung dalam proses berkawan. Antaranya berkawan kerana mahukan sesuatu (dengan niat tertentu), berkawan kerana mahu menunjukkan sesuatu (yang kita ada), berkawan kerana mahu menguji atau bereksperimen dengan hidup dan pelbagai lagi yang diasaskan oleh hati yang tidak ikhlas.
Jika kita banyak berkawan, sekilas ikan di laut sudah tahu jantan betinanya (oh, saya tidak pernah tahu jantan betina seseekor ikan itu). Maksudnya, dengan pengalaman lalu yang sangat banyak, kita sudah dapat mengagak atau mentafsir niat seseorang berkwan dengan kita.
Malam ini, berkonfrontasi dengan seorang rakan baharu tentang prinsip.
Dia yang suka memberi, saya pula enggan menerima. Prinsip dia ialah dia mahu beri segala yang dia ada. Prinsip saya pula, saya tak akan terima jika saya tidak memerlukannya.
Hal ini menjadikan kami selalu bertengkar walaupun baru berkenalan. Terus terang saya katakan sikap dia (atau dia anggap itu prinsip) yang menawarkan itu ini membuatkan saya tidak selesa malah bertanggapan buruk kepadanya berdasarkan pengalaman lalu yang pernah terjadi sebegini. Saya juga jadi terhina apabila dipaksa-paksa menerima pemberian dia.
Walaupun itu prinsip dia, berkongsi rezeki atau memberi apa yang dia niatkan, tetap saya rasa itu tidak betul apabila dia memaksa saya menerimanya.
Hal ini menjadikan kami selalu bertengkar walaupun baru berkenalan. Terus terang saya katakan sikap dia (atau dia anggap itu prinsip) yang menawarkan itu ini membuatkan saya tidak selesa malah bertanggapan buruk kepadanya berdasarkan pengalaman lalu yang pernah terjadi sebegini. Saya juga jadi terhina apabila dipaksa-paksa menerima pemberian dia.
Walaupun itu prinsip dia, berkongsi rezeki atau memberi apa yang dia niatkan, tetap saya rasa itu tidak betul apabila dia memaksa saya menerimanya.
Ya, peribahasa lama mengatakan, 'kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan' yang bermaksud, orang yang sangat mengharapkan pertolongan, sangat gembira apabila ada orang yang ingin membantu. Namun hakikat simbolik pemilihan 'nyiru' itu sendiri melambangkan, walaupun menerima pemberian orang masih perlu bertapis-tapis dan menimbang-nimbang.
Demikian. Saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan, tetapi perasaan saya tergores dengan keinginan dia yang kuat mahu memberi. Berilah kepada orang lain yang lebih memerlukan jika dia benar-benar ikhlas mahu berkongsi rezeki.
Demikian. Saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan, tetapi perasaan saya tergores dengan keinginan dia yang kuat mahu memberi. Berilah kepada orang lain yang lebih memerlukan jika dia benar-benar ikhlas mahu berkongsi rezeki.
Ada perkara yang tidak boleh sebulatnya saya terima. Saya ini sudah tua, banyak makan garam. Tidak mahu berhutang budi.
Maafkan saya menulis di sini. Sekadar mahu mengingatkan diri.
Tu sebab adik tanya dahulu. Tawarkan bantuan. Kalau akak tidak mahu adik diamkan aja. Kalau ikhlas memberi, Kita sekadar membuat tawaran. Kalau orang tidak mahu menerimanya tidak mengapa.
ReplyDelete